Trafik

Tuesday, July 9, 2013

Tiada Kabel : Projek Mega Kena Sebat, Kontraktor Melayu Johor Melarat

Ahli Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia Negeri Johor (PKMMNJ) hari ini melahirkan rasa kecewa kerana kurang diberi penyertaan dalam banyak projek mega di negeri itu.

Pengerusinya, Mahmood Amir, berkata persatuan itu berpendapat ahlinya hanya menjadi `penyeri majlis' apabila projek berbilion ringgit itu dilancarkan dan hanya mampu melihat kerja kontrak dilaksanakan orang luar.

 "Banyak projek mega dilaksanakan di negeri ini khasnya di kawasan pembangunan Iskandar Malaysia tetapi kami tidak mendapat sebarang manfaat daripadanya," katanya.

Bercakap pada sidang akhbar hari ini, beliau berkata jika ada sekalipun, kontraktor Melayu hanya akan mendapat kerja yang nilainya terlalu kecil. "Kerja yang diperolehi harganya kecil tetapi bayaran pula diterima lambat iaitu sehingga tujuh bulan," katanya.

 Katanya, PKMMNJ mahu mereka diberi peluang yang lebih baik menyertai projek mega di Johor dan bayaran untuk kerja mereka dibuat dengan lebih cepat. "Bayaran yang lambat menimbulkan masalah kepada kami.

Sebagai contohnya dalam pembinaan jalan, kita diberi masa selama dua bulan bagi membuat bayaran untuk batu-batuan yang kita beli daripada pihak kuari sedangkan kita sering lambat menerima bayaran (daripada kerajaan)," katanya.

 Mengenai Projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID) di Pengerang yang bernilai RM60 bilion, beliau berkata PKMMNJ kesal kerana Petronas tidak membuka kerja kontrak untuk kontraktor Melayu Johor.

"Petronas terlalu 'eksklusif' mengenai projek itu sehingga tidak memberikan sebarang maklumat mengenai projek yang boleh disertai kontraktor tempatan.

"Memang benar, kita mungkin tidak mampu melakukan kerja berkaitan dengan petrokimia yang memerlukan kepakaran tinggi, tetapi kita boleh dan mampu melakukan kerja berkaitan dengan kemudahan infrastruktur," katanya.

Petronas sebagai sebuah syarikat berkaitan kerajaan, dengan perancang pembangunannya adalah orang Melayu, harus sedar bahawa kontraktor Melayu akan terus ketinggalan sekiranya tiada peluang diberikan kepada mereka.

Sementara itu, beliau berharap PKMMNJ dapat diberikan peluang dalam pelaksanaan projek Hub Pendidikan Tinggi Pagoh dengan fasa pertamanya membabitkan peruntukan sebanyak RM1 bilion.

Utiliti guna sama seperti kompleks sukan dan perpustakaan akan turut dibina di hub pendidikan tersebut yang boleh menempatkan 10,000 pelajar apabila siap kelak. - Bernama, 9 Julai, 2013.

Ingat : Dunia kapitalis sekarang perlukan kabel, berapa kuat kabel kroni, kemudian ada hulur duit kopi atau komisen (baca Rasuah) dan akhir sekali mestilah ada suku sakat yang boleh kurniakan projek, jika tak ada jangan harap janji Ubn... dasar penipu



No comments:

Post a Comment