PAS memilih muka baru menjadi calonnya untuk Pilihan Raya Kecil (PRK)
Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut iaitu seorang ahli perniagaan
yang terkenal di kalangan masyarakat tempatan, Azlan Yusof atau lebih
dikenali dengan nama Che Long.
Che Long, 48, adalah anak tempatan Kuala Besut. Beliau tinggal di
Kampung Baru, Kuala Besut, kawasan yang dikhaskan sebagai kawasan
industri perkayuan di daerah ini.
Nama Che Long dijangka diumumkan sebagai calon oleh Presiden PAS, Datuk
Seri Abdul Hadi Awang sebentar lagi dalam satu majlis ceramah di Kampung
Nail, Kuala Besut.
Pemilihan beliau dibuat dalam mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat yang
berlangsung malam semalam.
Che Long, seorang kontraktor juga pernah memiliki sebuah stor kayu yang
terkenal di daerah ini. Kini beliau banyak menguruskan kontraknya di
daerah ini dan juga di Kelantan, kerana Kuala Besut bersempadan dengan
Kelantan.
Pemilihan Che Long adalah satu perubahan pendekatan yang diambil oleh
PAS dalam menghadapi PRK ini kerana dua lagi calon yang
disenaraipendekkan untuk pilihan raya ini adalah ustaz.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 24 Julai sebagai hari
pengundian untuk PRK manakala 20 Julai hari pembuangan undi awal. 12
Julai pula ditetapkan sebagai hari penamaan calon.
PRK itu diadakan ekoran kematian Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun)yang
juga Exco kerajaan negeri Terengganu, Dr A Rahman Mokhtar, selepas 50
hari terpilih untuk kali kedua sebagai Adun.
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Tengku
Zaihan Che Ku Abdul Rahman sebagai calon Barisan Nasional (BN) untuk PRK
DUN Kuala Besut.
Pada pilihan raya umum ke 13 (PRU13) lalu, A. Rahman memperolehi 8,809
undi sementara calon PAS, Napisah Ismail mendapat 6,375 undi. BN menang
dengan majoriti 2,434 undi. ~the malaysian insider
Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman Calon BN
BESUT: Barisan Nasional (BN) mempertaruhkan calon muka baru, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman untuk mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut pada pilihan raya kecil kawasan itu 24 Julai ini.
Tengku Zaihan merupakan bekas Jurutera Daerah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Besut, yang kini jurutera JPS di Putrajaya. Pengumuman itu dibuat oleh Timbalan Perdana Menteri yang juga Timbalan Pengerusi BN, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Dataran Besut sebentar tadi.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 Julai ini sebagai hari penamaan calon manakala tarikh mengundi adalah 24 Julai. PRK Kuala Besut diadakan berikutan kematian penyandangnya, Dr A. Rahman Mokhtar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Terengganu, akibat masalah paru-paru pada 26 Jun lalu.
Pada Pilihan Raya Umum ke-13, 5 Mei lepas, Allahyarham mempertahankan kerusi DUN Kuala Besut yang dimenanginya sejak 2008 dengan majoriti 2,434 mengatasi calon PAS, Napisah Ismail.(mStar Online)
No comments:
Post a Comment