KETIKA ini dua penyokong Dr Mursi maut ditembak di Jalan Solah Salim sebelum waktu sahur sebentar tadi. Hari ini sudah 27 hari penyokong Presiden pilihan rakyat itu berkubu di Dataran Rubu'ah dan Dataran An Nahdah di Kaherah. Melihatkan persiapan mereka menampakkan mereka sedia untuk duduk di dataran tersebut sehingga dua ke tiga bulan lamanya.
Ikhwan Muslimin bersama kumpulan Islam lain termasuk Dakwah Salafi dan Jemaah Islamiah Mesir memilih jalan damai melalui himpunan-himpunan mereka sehingga dikembalikan Presiden pilihan rakyat Dr Muhammad Mursi ke tempat asalnya. Walaupun sudah ratusan penyokong mereka dibunuh dan ribuan lagi tercedera, mereka tidak membalas dengan jalan kekerasan dan kekal di Dataran Rubu'ah sehingga ke saat ini. Tekanan yang mereka berikan menyebabkan kerajaan baru hasil rampasan yang didirikan dan juga pihak tentera tidak berada di laluan yang selesa.
Sehingga ke hari ini sudah beberapa kali usaha cuba dibuat untuk mengajak Ikhwan kembali berunding dengan mereka, bahkan menawarkan beberapa jawatan menteri kabinet kepada Ikhwan. Menandakan mereka tertekan. Manakala dipihak Tamarrud kumpulan yang menganjurkan Himpunan 30 Jun untuk menggulingkan Mursi berpecah. Malah sebilangan mereka mengistiharkan bersama penyokong Mursi. Ini kerana bukan semua penyokong Tamarrud itu penyokong bekas Presiden Mubarak. Sebahagian besar mereka hanya mahu menjatuhkan Mursi sahaja dan bukan mencabut demokrasi serta kebebasan media.
Malangnya kabinet baru yang dibentuk dipenuhi orang Mubarak. Perdana Menteri yang dilantik membuat kenyataan akan mengundi Jamal Mubarak anak kepada Hosni Mubarak jika berlaku pilihanraya Presiden. Manakala pendedahan hubungan Muhammad Barda'ie sebagai Timbalan Presiden kerajaan perampas ini dengan Israel mendatangkan kemarahan rakyat. Hal inilah yang menyebabkan Tamarrud berpecah. Cubaan mereka untuk menganjurkan himpunan lagi di Dataran Tahrir gagal sebanyak dua kali dengan kehadiran yang sangat minima setelah berminggu Tahrir kosong daripada penyokong.
Apatah lagi rakyat yang merasa tertipu menyokong Tamarrud sebelum ini amat marah apabila isu yang mereka bangkitkan seperti masalah letrik dan petrol yang kerap terganggu tiba-tiba segera selesai sejurus Mursi dijatuhkan. Menandakan wujudnya sebotaj dikalangan penggerak Tamarrud juga kroni bekas Presiden Mubarak. Selama ini rakyat percaya masalah letrik dan petrol ini benar-benar datang daripada Mursi. Masakan dalam tempoh sehari sahaja masalah ini selesai. Sehingga ke hari ini hanya lima kerajaan luar termasuk Israel, Saudi dan UAE sahaja yang secara terang mengiktiraf kerajaan haram ini. Negara lain ada yang menolak mengiktiraf dan banyaknya menanti dan lihat sahaja.
Ada yang menyangka sejurus Mursi digulingkan, situasi akan menjadi seperti zaman Mubarak dan sebelumnya. Rakyat akan didiamkan dan gerakan penyokong Mursi akan segera beransur padam selepas beberapa pimpinan utamanya ditangkap. Ternyata telahan itu silap. Pasca 25 Januari 2011 ketakutan rakyat Mesir sudah hilang. Hari ini di rumah-rumah, kedai dan kenderaan penyokong Mursi secara terang-terangan meletakkan tanda sokongan berbentuk gambar atau tulisan. Slogan-slogan menolak Abdul Fatah Sisi Jeneral Tentera dipaparkan secara terbuka. Akhbar Hurriah Wal Adalah yang diharamkan tetap dicetak dan dijual di jalanan. Rakyat tidak takut lagi menyuarakan bantahan.
Menandakan untuk kembali ke zaman Mubarak dan sebelumnya yang penuh kegelapan tidak lagi berlaku. Ia juga petanda kerajaan perampas yang dibina tidak akan selesa. Sebab itu berkali keli mereka memujuk Ikhwan untuk berunding. Apabila rakyat mula menyuarakan kemungkinan Mursi di penjara, semalam Naib Am, Ketua Hakim Besar Mesir keluarkan kenyataan Mursi tidak di penjara tetapi disimpan di rumah yang tidak dimaklumkan lokasinya. Dengan kehadiran rakyat yang sangat besar khususnya setiap hari Isnin dan Jumaat di dataran-dataran seluruh Mesir, ia akan memberi tekanan yang kuat supaya Mursi dikembalikan ke tampuk kerajaan sebagai Presiden yang sah. InsyaAllah jika hal ini berlarutan Mesir akan kembali ditadbir oleh Presiden pilihan rakyat.
Walaubagaimanapun kebimbangan tetap berlaku. Kuasa-kuasa barat dibantu agen-agen mereka di negara Arab terus memainkan peranan untuk mengheret Mesir ke kancah lebih parah. Nama seperti Putera Sultan bin Bandar, bekas Duta Saudi di Amerika yang terkenal dengan skandal Play Boy merupakan antara perancang di sebalik rampasan kuasa yang berlaku. Sebagaimana individu yang sama yang memainkan peranan di Syria menaja kumpulan-kumpulan bersenjata dikala rakyat Syria pada awalnya bangkit secara aman di jalan-jalan raya untuk menjatuhkan Basyar Asaad yang zalim. Namun dibalas dengan peluru hidup dan berkahir dengan peperangan yang memusnahkan negara dan sukar untuk dibina dalam masa yang singkat.
Begitulah halnya dengan Mesir. Setelah rancangan merampas kuasa dilihat tidak berjaya sepenuhnya dan masih tergugat, mereka merancang untuk mengheret Mesir ke kancah lebih parah. Dikala Ikhwan dan Pakatan kumpulan Islam berbagai aliran menolak jalan kekerasan, terdapat satu kumpulan yang ditaja kuasa besar melalui permainan Putera Sultan bin Bandar dengan cuba diberikan bantuan senjata supaya mengangkat senjata yang akan berakhir dengan perang yang memusnahkan.
Mereka juga mengheret penyokong Mursi untuk masuk ke kancah ini. Namun kebijaksanaan rakan-rakan kita di sini insyaAllah boleh mengelakkan hal ini terjadi. Kerana bagi mereka jika tidak dapat kekuasaan di Mesir lebih baik Mesir musnah dengan peperangan daripada ditadbir oleh Ikhwan. Sama-sama kita berdoa pada Allah moga perancangan mereka gagal dan Mesir kembali damai dibawah Presiden pilihan rakyat.
Madinah An Nasr, Cairo
No comments:
Post a Comment