Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang meminta anggota parti itu agar berwaspada dengan usaha Umno untuk memecah-belahkan perpaduan mereka seperti menimbulkan dakwaan perbezaan akidah di kalangan para pemimpin PAS.

Beliau mendakwa, tuduhan seperti itu ditimbulkan oleh Umno, sedangkan kalangan ahli PAS hanya berbeza dari segi latar belakang dan pendidikan dan bukannya dari segi akidah.

pas muktamar 231113 mat sabu hadi awang"Syariah Islam tidak ada khilaf (silap) di kalangan ahli pas, semua bersatu di atas satu pentas.

"Tiada dalam PAS, Islam liberal, Islam Ortodhox atau Islam Protestan. Jangan dengar pandangan orang luar. Yang lihat agama ni Ulama," kata Abdul Hadi dalam ucapan penggulungannya di Muktamar PAS ke-59 di Shah Alam.

Menurutnya lagi kepelbagaian dalam latar belakang ahlinya juga boleh dilihat sebagai kekuatan dan petanda bahawa PAS mempunyai pelbagai kelebihan dan lebih menyeluruh untuk ditawarkan kepada masyarakat.

"Kita boleh bentuk kepimpinan kolektif secara jemaah mempunyai pelbagai kepakaran," kata beliau yang mengumpamakan perjuangan dan penyatuan PAS sebagai sekumpulan kelasi bersama meredah gelombang dalam satu bahtera.
Katanya setiap anak kapal tersebut berperanan membolehkan bahtera itu berlayar dengan selamat.

"Kadang-kadang saya bimbang org kita mabuk dgn gelombang. mabuk jgn sampai terjun bahtera.
"Ada yang terjun tetapi tak selamat walau dia Ulama," kata beliau merujuk kepada tindakan beberapa pemimpin yang keluar dari parti tersebut sebelum ini.

Dalam sidang medianya selepas itu, Hadi turut menepis tanggapan bahawa kepimpinan baru PAS gagal dikuasai kumpulan ulama.

Katanya, golongan ulama membentuk jumlah paling besar dalam saf kepimpinan parti Islam itu.
"Sembilan orang ahli jawatankuasa PAS pusat yang berpendidikan agama, yang bakinya tu campur dengan doktor, jurutera, aktivis. Ulama yang terbesar sembilan orang.

"Yang penting bukan nama ulama, tapi peranan ulama. Kita tak mahu kalau ulama seperti (ulama) Umno. Dia tak ada peranan, tak ada erti. (Yang penting) bukan jumlahnya," katanya ketika ditanya.

Antaranya pemimpin ulama yang dipilih ke jawatankuasa PAS Pusat semalam termasuk Idris Ahmad, Datuk Nik Zawawi Nik Salleh, Nasrudin Hasan, Nik Abduh Nik Abdul Aziz, Dr Mahfudz Mohamed, Nuridah Salleh dan Dr Riduan Mohd Nor.

Kredit kepada MK