Trafik

Tuesday, October 27, 2015

UAI Datang Kluang Sentap


Penceramah popular Ustaz Azhar Idrus atau UAI telah memenuhi permintaan orang Kluang dengan turun ke Majlis Ceramah Sentap Minda 1.0 pada 18 Oktober 2015 yang lalu.  

Penceramah yang masyhur dalam laman Youtube itu pada sebelah petang sempat melawat Stesen Keretapi Kluang yang bercirikan kolonial, meninjau Kluang Railway Cofee yang terkenal sampai ke istana untuk mengambil gambar-gambar rare dengan izin ketua stesen. Rombongan juga singgah minum petang di Restoren Nasi Lemak World. 

Program yang penuh liku ini jadual asalnya adalah di Dewan Tokong, berpindah ke Stadium Kluang dan akhirnya di depan bangunan Al-Umm Jalan Penghulu Kassim Kluang. Rasanya Kluang terlalu banyak tempat yang sesuai untuk ceramah seperti di perkarangan masjid, padang atau dataran tetapi penuh dengan karenah.  

Alhamdulillah, walaupun ada yang terpaksa duduk di longkang dan atas jalan raya, program berjalan lancar, tiada hujan dan mendapat sambutan yang menakjubkan. 

Kira-kira 20 ribu peminat yang hadir mendengar dengan tekun kuliah sambil diselangi dengan lawak jenaka dan Syukur Alhamdulillah kutipan sumbangan dana sekolah mencecah RM 30 ribu. 

Tahniah kepada penganjur, Tn Haji Faudzi dari Tahfiz Mukhlisin, Ayahanda Pak Karim Amanah yang bertungkus lumus 2 hari 2 malam menyiapkan sistem bunyi corong dan skrin, Sdr Fadhil dari Kluang Bikers, Sdr Liaw Keadilan yang sentiasa kemaskini info UAI dan semua yang terlibat. Terima kasih.

Kami sokong Jom Kuliah bersama UAI. Agaknya bila lagi UAI turun Kluang bikin sentap? - HB/RLB




















Sunday, October 25, 2015

Harapan Baru Rakyat Malaysia Bermula Di Johor

Selatan Tanahair telah dijadikan lokasi pertama pelancaran Harapan Baru Rakyat Malaysia, Pakatan Harapan (PH), Kempen Bebas Rakyat dan Kempen Bebas Anwar.

Kononnya Tiang Seri  dan lahirnya UmnoBn adalah di Johor maka apabila keputusan PRU13 diumumkan, Parlimen Batu Pahat sudah jatuh ke tangan Pakatan Rakyat, maka mitos bahawa UmnoBn sahaja yang boleh memerintah adalah meleset sama sekali.

Malah dianggap khurafat apabila mempercayai hanya mereka sahajalah yang layak memerintah di bumi Johor ini.

Ia seperti khayalan orang Melayu dahulu yang berkata tidak mungkin Inggeris yang hebat boleh kalah kepada tentera Nipon yang bertubuh kecil dan berhidung pesek.

Akhirnya Leftenan Jenderal Percival dan Angkatan Inggeris yang dibantu dengan Batalion Australia, Divisyen India dan Tentera Ghurkha Nepal lari lintang pukang ke Singapura pada tahun 1942 tidak sanggup menyekat kemaraan tentera Jepun yang dipimpin oleh Jenderal Yamashita yang berpengkalan di Kluang.

Almarhum Sultan Sir Ibrahim pada masa itu sangat murka dan kesal kerana pihak Inggeris lepas tangan membiarkan Johor ditawan dan tidak mahu menjaga keselamatan Johor termasuk bertindak memindahkan kakitangan hospital seperti doktor-doktor  British ke Temasik. Itulah catatan sejarahnya.

Melalui Pakatan Harapan terdiri dari Keadilan, Roket dan Amanah yang mengambil alih peranan Parti Islam sebelum ini maka dihajatkan kita boleh merehatkan UmnoBn selama-lamanya yang sudah tenat dengan berbagai krisis kepimpinan.

Baru-baru ini Program Ceramah Jelajah PH telah diadakan di Kulai pada 9 Oktober 2015 menampilkan penceramah katagori top gun dari ketiga-tiga parti.

Ia juga dianggap satu kayu ukur kepada Parti Amanah yang baru ditubuhkan dan diluluskan ROS, apakah boleh berjaya menarik golongan Melayu Islam menerima parti yang baru itu menggantikan abangnya dari parti bulan?

Melalui kehadiran ceramah, penganalisis telah mengira lebih-kurang 40% yang datang dari kalangan bangsa Melayu Islam.

Alhamdulillah, ia sudah dianggap pemulaan yang baik dan laluan kejayaan yang diidamkan akan lebih mudah InshaAllah di mana statistik sokongan Melayu kepada Pakatan Rakyat pada PRU lepas pun sekadar 20%. tahniah diucapkan.

Demi Rakyat Johor sudah boleh sama-sama guna slogan Luaskan Kuasamu. Ada berani?



















Thursday, October 22, 2015

Treler Pakatan Harapan tiba di Simpang Renggam

Image result for treler pakatan harapan


Lori Treler Kontena Panjang Pakatan Harapan (PH) sampai ke Pejabat Keadilan di Taman Cemara Simpang Renggam  pada 10 Oktober 2015 yang lalu sempena Ceramah Penerangan PH.

Antara penceramah yang hadir ialah YB Lim Guan Eng Ketua Menteri Pulau Pinang, YB Rafizi, YB Hanipa, YB Manivanan, YB Teo Ni Ching, YB Chin Tong, Lawyer Hasan Karim dan ramai lagi.

Apa yang unik yang ada pada treler ini ialah ia boleh transfom atau berubah menjadi pentas ceramah dengan lampu limpah yang terang dan sistem bunyi yang mantap dengan bantuan krew pengendali yang cekap.

Tahniah PH kerana dengan termeterainya tahaluf siasi atau kerjasama politik antara Keadilan, DAP dan Amanah ini, maka kita boleh sama-sama menggunakan kemudahan treler ini bagi menaikkan imej parti, meyakinkan pengundi berbagai kaum dan ada stail untuk merehatkan kerajaan Umno Bn yang sudah uzur.

Bayangkan sekiranya tiada kesepakatan begini, mungkin ceramah parti dibuat sendiri-sendiri, hanya boleh pakai sekadar trak pikap atau lori 1 tan sahaja.

Kami ditugaskan membuka kaunter kempen Bebas Anwar dengan hadiah percuma pen Keadilan bagi peserta yang awal.

Pada malam itu juga majlis menandatangani kerjasama politik PH Simpang Renggam yang diwakili oleh ketiga-tiga pemimpin peringkat Cabang / Kawasan Simpang Renggam.

Tahniah kepada Sdr Ishak Sher Mohamed Ketua Cabang Simpang Renggam, Sdr Hj Said Junit daripada Amanah dan Mr Soo daripada DAP kerana cepat dan pantas bertindak.

Semoga kita dapat menawan hati semua rakyat. Satu cabaran bagi cabang lain yang belum wujudkan kerjasama PH. Jangan sampai sudah dekat PRU14 baru terhegeh-hegeh hendak tubuh, itu ketinggalan treler namanya.  Terima kasih. HB/RLB







Wednesday, October 21, 2015

Formula merperbayakkan ranting Keadilan


Kami masih tercari-cari rumusan bagaimana untuk menambah lagi jumlah ranting yang dahulu disebut cawangan sebagaimana yang telah dicapai oleh Cabang Keadilan Ledang.

Tahun ini sahaja telah ditubuhkan sebanyak 16 ranting serentak. Sangat laju dan pantas, bukan retorik atas kertas, bahkan benar dan memang wujud.

Tahniah kepada Ketua Cabang Ledang Dr Chong, Setiausaha Sdr Haron dan lain-lain Jawatankuasa yang menganjurkan dengan jayanya makan malam Keadilan Ledang yang menampilkan tamu dari kalangan pimpinan Keadilan seperti Timbalan Ketua Menteri (TKM) Pulau Pinang Hj Rashid Hasnon, anak Johor kelahiran Muar yang mencipta nama di Pulau Mutiara itu, Tuan Syed Ibrahim Ketua Penerangan Keadilan Pusat, YB Zuraida Kamarudin Ketua Wanita Keadilan Pusat, YB Manivanan Ahli Parlimen Kapar, YB Chean Chung Adun Semambu, YB Jimmy Puah Adun Bukit Batu, YB Hj Aminolhuda Adun Pt. Yaani dan lain-lain lagi.

Kami bertolak dari Kluang jam 6.30 petang dengan 2 kenderaan, keluar Tol Bukit Gambir dan solat jamak qasar Maghrib-Isyak di situ. Majlis tersebut diadakan di Dewan Banquet Bukit Gambir, Muar yang dahulunya adalah sebuah pasaraya.

Alhamdulillah, melalui majlis ini, dapatlah cabang mengutip dana untuk menjalankan aktiviti parti, jika boleh, tidak payahlah lagi mengutip derma kantong dalam ceramah-ceramah, zaman itu semua sudah berlalu.

Begitu juga tiada sebarang bayaran untuk penceramah ini hadir, mereka ada sumber untuk menampung kos tersebut. Keadilan ini sangat mudah dan tidak membebankan ahli Cabang dan penyokong.

Sempat berbual dengan Setiausaha Keadilan Negeri Sdr Khuzzan, maka rahsia telah saya perolehi bagaimana cara untuk menambahkan ranting dengan segera dan cepat.

Secara ringkas ia perlu kepada pentol atau ketua ranting, perlantikan beberapa orang senarai jawatankuasa ranting, stok nama ahli dari cabang dan dibantu dengan sistem pendaftaran ranting online yang sangat efektif.

Rasanya cukup setakat itu, jika berminat dan untuk penerangan lanjut, kena ada sesi minum teh tarik bersama saya. terima kasih. Selamat menambahkan ranting Keadilan. Selamat mencuba, semoga sukses. HB/RLB