Lebih 150,000 anggota Skuad Pengguna di seluruh negara akan digerakkan bagi memantau aktiviti perniagaan tidak beretika semasa penguatkuasaan Skim Kawalan Harga Musim Perayaan (SKHMP), tahun ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Datuk Hassan Malik berkata, skuad berkenaan akan membantu memantau harga barangan dan perkhidmatan, mulai semalam sehingga 11 Ogos.

"Selain melapor trend harga, bekalan barangan dan perkhidmatan, skuad ini juga bertindak menyebarkan maklumat dan mendidik pengguna mengenai isu kepenggunaan," katanya kepada pemberita selepas majlis berbuka puasa bersama Dewan Undangan Negeri (DUN) Juasseh di Masjid Kariah Taman Desa Anggerik, Juasseh dekat Kuala Pilah, malam tadi.

Turut hadir, anggota DUN Juasseh Datuk Mohamad Razi Kail, Timbalan Ketua Setiausaha KPDNKK Datuk Mohd Arif Ab Rahman dan Pengarah Urusan Perbadanan Nasional Bhd (PNS) Datuk Syed Kamarulzaman Syed Zainol Khodki Shahabudin.

Skuad Pengguna, yang merupakan penjenamaan semula kumpulan pemantau harga, dikenali sebagai Sukarelawan Pemantau Harga ketika ditubuhkan pada 2001 serta Rakan Pengguna, berfungsi sebagai 'mata dan telinga' kerajaan dalam memantau harga barangan dan mutu perkhidmatan.

Hasan yang juga anggota Parlimen Kuala Pilah berkata Skuad Pengguna terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat itu, berkhidmat secara sukarela dan menjalankan pemantauan secara santai dan ketika membeli-belah.

Katanya kementerian tidak akan berkompromi dengan mana-mana peniaga yang melanggar peraturan dengan mengenakan tindakan mengikut undang-undang sedia ada.|

Pada 19 Julai lepas, kementerian menetapkan harga ayam standard pada kadar RM7.70 sekilogram di bawah SKHMP, tahun ini.

Selain itu, 20 jenis barangan turut disenaraikan di bawah SKHMP antaranya, ayam super, ayam standard, daging lembu tempatan, daging lembu import dan daging kerbau import dari India.

Di bawah skim berkenaan, peniaga perlu menjual harga barangan terkawal tidak melebihi harga maksimum yang ditetapkan dan meletakkan tanda harga merah jambu bagi membezakan dengan barangan keperluan lain.

- Bernama