Trafik

Friday, July 19, 2013

Rafizi: Jangan tolak subjek Tamadun Islam dan Tamadun Asia mentah-mentah



MP Pandan Rafizi Ramli berkata pemimpin parti dalam Pakatan Rakyat perlu berhati-hati dan tidak dilihat anti-Islam apabila menyuarakan pandangan berhubung mata pelajaran Tamadun Islam dan Tamadun Asia (Titas).

Katanya, pemimpin Pakatan juga harus mengambil pendirian terbuka dalam isu tersebut dan tidak bercakap untuk kepentingan sesuatu kaum sahaja.

Jelasnya, kenyataannya yang disiarkan dalam laporan The Malay Mail Online pada Isnin lalu bermaksud bahawa beliau menyokong mata pelajaran yang boleh membantu memperkukuh hubungan kaum, sekiranya dijalankan secara berkesan.

Katanya, para pelajar juga akan lebih berminat untuk belajar subjek tersebut sekiranya tidak diwajibkan untuk penilaian purata gred pelajar.
Namun, sekiranya polemik yang timbul adalah berhubung soal sukatan mata pelajaran perkara itu masih boleh ditangani, katanya.

Ulasan berhubung isu berkenaan pula tidak boleh keterlaluan sehingga orang bukan Islam dilihat bersikap anti-Islam, kata Rafizi.

“Kalau soal pengembangan agama Islam, kalau unsur ketamadunan lain tidak cukup (dalam sukatan pelajaran), kita boleh imbanginya.

“Tetapi kalau ditolak mentah-mentah secara politik, ini akan menguatkan persepsi bahawa orang bukan Islam menolak mentah-mentah soal Islam,” katanya lagi kepada Malaysiakini ketika dihubungi hari ini.

Pengarah strategi PKR itu berkata, beliau menyuarakan teguran berkenaan agar polemik tersebut tidak mengeruhkan lagi keadaan.

Rafizi berkata demikian apabila ditanya mengenai kenyataan seorang pengkaji dasar Lim Teck Ghee yang mendakwa MP berkenaan mahu mengambil kesempatan politik melalui kenyataannya pada hari Isnin lalu.

Lim dalam tulisan disiarkan Malaysiakini hari ini juga berkata, Rafizi tidak sepatutnya tunduk kepada pandangan berhaluan kanan Melayu.

Mengulas lanjut mengenai dakwaan berkenan, Rafizi berkata beliau juga bimbang sekiranya ada pemimpin yang hanya menyatakan sokongan ke atas isu yang bertentangan dengan sentimen Melayu seperti penghapusan Dasar Ekonomi Baru.

“Jadi tak baiklah orang seperti Lim Teck Ghee hanya menyokong isu yang dibawa Pakatan yang bertentangan dengan sentimen Melayu.

“Kalau sebut tentang DEB, tentang Umno dia sokong. Kalau cadang pasal budaya Melayu, mata pelajaran Islam, ambil pendirian bertentangan,” katanya lagi.
 

No comments:

Post a Comment