Jangan Ditangisi Haid Itu | Ramadhan tiba lagi dengan sajian pahala yang berganda-ganda. Dalam kita rancak menyusun perancangan sebulan ibadah kita, tentu sahaja terdetik di hati, “ Alaaa, janganlah period kali ni datang pada akhir 10 ramadhan. Tengah pecutan maximum tu”. Atau pun “ Haa? Period datang double bulan ni? Awal dan akhir? Kenapa Allah uji ana sampai macam ni sekali? Ini dikira nikmat atau dugaan? ” dan pelbagai lagi keluhan yang biasa saya terdengar keluar dari mulut ukhti-ukhti saya.
Saya pasti, seorang muslimah yang menyedari akan mahalnya harga satu detik di dalam bulan yang penuh keberkatan ini pasti tidak mahu mensia-siakannya. Sudahlah Ramadhan datang sebulan setahun, pastilah mahu memecut sehabis daya kan?
Jadi, anda nak buat apa ni? Makan pil supaya tak didatangi haid sepanjang Ramadhan? Jangan! Ubat-ubatan ini kadang- kadang tidak memberikan kesan yang diharapkan malah lebih mengganggu kestabilan hormone.
Atau anda mahu menangis dan menyesal dicipta sebagai perempuan lalu mengomel ’Untunglaa jadi lelaki..?
Sekali lagi jangan! kerana Allah berfirman:
“Dan janganlah kamu terlalu mengharapkan (ingin mendapat) limpah kurnia yang Allah telah berikan kepada sebahagian dari kamu (untuk menjadikan mereka) melebihi sebahagian yang lain (tentang harta benda, ilmu pengetahuan atau pangkat kebesaran). (Kerana telah tetap) orang-orang lelaki ada bahagian dari apa yang mereka usahakan, dan orang-orang perempuan pula ada bahagian dari apa yang mereka usahakan; (maka berusahalah kamu) dan pohonkanlah kepada Allah akan limpah kurnianya. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu. “(An-Nisa’:32)
Sememangnya perasaan sedih pasti akan lahir dari hati seorang muslimah yang sangat mengharapkan keampunan dan ganjaran daripada Tuhannya. Sedangkan, Saidatina Aisyah R.A sendiri pernah menitiskan air mata kesedihan kerana merasakan hilangnya peluang beramal dengan kedatangan haid.
Haid sebenarnya bukanlah satu perkara yang buruk, bukan jua satu kekurangan yang patut dikesali, kerana di sebaliknya masih ada peluang merebut ganjaran di bulan yang mulia ini.
REDHA DENGAN KETENTUAN ALLAH DAN BERSANGKA BAIK
Redha ialah senang hati menerima apa yang diberikan oleh Allah SWT kepada kita sema ada baik atau buruk. Dan redha dalam beribadah ialah beribadah seperti mana yang diperintahkan untuk kita lakukan, bukan sebagaimana yang kita suka untuk melakukannya.
Anda perasan tak, bila anda tidak berpuasa kerana haid, sebenarnya anda mendapat pahala kerana mentaati perintah Allah. Ini kerana Allahlah yang memerintahkan kita untuk berpuasa pada hari-hari kita tidak didatangi haid, dan Allah jualah yang memerintahkan kita untuk berbuka ketika sedang haid, maka berpuasa ketika haid merupakan suatu dosa kerana anda dikira melanggar perintah-Nya.
Maha Besar Allah, Dia-lah Sebaik-baik Pencipta, selalu meletakkan hikmah pada makhluk yang diciptakan-Nya. Oleh itu, jika kita benar-benar redha dengan apa yang ditentukan Allah untuk golongan Hawa seperti kita, maka tidak akan timbul isu berkurangnya pahala kerana kita tidak boleh solat dan puasa.
Kita hanya dilarang oleh Allah untuk solat, puasa, tawaf dan membaca Al-quran (menurut khilaf ulama’) Sedangkan tanpa kita sedari, sebenarnya pintu-pintu syurga masih terbuka luas untuk kita dan para malaikat masih memanggil-manggil pencari kebaikan.
Namun, masa haid bukanlah masa berehat dari ibadah, kerana sesungguhnya dalam sehari-semalam itu masih ada banyak amalan yang masih boleh dikerjakan oleh wanita haid.
1- Sediakan juadah berbuka puasa
“Barangsiapa yang memberi makan orang yang berpuasa, dia akan mendapat pahala sepertinya, dan ianya tidak akan mengurangkan pahala orang yang berpuasa sedikitpun”(Riwayat Tarmizi).
Seorang muslimah yang solehah akan sentiasa memburu pahala. Dia tidak akan mensia-siakan peluang beramal. Mari kita memudahkan urusan ukhti-ukhti kita yang berpuasa. Mudahkan mereka beribadah. Niatkan memasak juadah itu kerana Allah. Mana lah tahu, sambal ayam, atau Ikan Asam Pedas yang anda sediakan itu yang akan membawa anda ke SyurgaNya nanti!
2. Bangun Sahur bersama-sama
Seperti juga menyediakan juadah berbuka, tiada salahnya jika kita dapat menyertai mereka bersahur. Lagi Osem jika anda boleh menyediakannya, dan biarkan ukhti anda bangun qiamullail. Mintakan sekali dia mendoakan anda. Tidak perlu masak yang renyah dan susah-susah, cukup sahaja telur masak kicap. Sambil-sambil anda memasak, bolehlah berzikir atau mendengar ayat al-quran. InsyaAllah akan terasa sekali roh qiamullai walaupun anda berada di dapur!
3. Tadabbur Al-quran atau mendengar bacaan Al-quran
Jika kita dilarang untuk membaca Al-quran **, tidak salah jika kita mendengar bacaan Al-quran. Tukarkan senarai Playlist di dalam Handphone anda dan isikan dengan mp3 Al-quran. Sekurang-kurangnya jika kita tak sempat untuk khatam Al-quran, kita sudah khatam mendengar bacaan Al-quran. Mari kita membudayakan mendengar Al-quran di mana-mana anda berada. Di dalam kenderaan, sedang memasak di dapur, sedang melipat pakaian, menyapu sampah malah ketika belajar.
4. Istighfar, zikir, Maathurat dan Selawat ke atas Nabi
Kali ini mari kita tukar jadual ibadah kita. Jika selama ini kita mengambil 10 minit untuk mengerjakan solat Zohor. Ketika haid, kita gunakan juga 10 minit itu untuk istighfar, zikir, membaca maathurat, berdoa, dan selawat keatas Nabi SAW. Berzikir boleh dilakukan wanita haid. Hal ini lebih baik daripada sekadar membiarkan lisan dan hati kita lalai dari mengingat Allah. Atau membiarkan lisan dan hati kita untuk hal-hal maksiat seperti mengumpat dan membicarakan serta memikirkan hal yang sia-sia. Dzikir selain dapat mengingatkan kita pada Allah, menenteramkan hati juga mendatangkan pahala.
5. Menyibukan diri dengan ketaatan dan menjauhkan diri dari kemaksiatan.
Lazimi diri kita untuk tidak membuang masa begitu sahaja. Andai futur ketika haid, jangan biarkan begitu sahaja. Dampingi rakan-rakan yang solehah, hadiri majlis-majlis ilmu (dengan syarat bukan dilaksanakan di dalam masjid), dengarkan rakaman ceramah-ceramah atau hiasi masa anda dengan membaca buku-buku tarbiah dan buku-buku agama. Kegiatan ini juga menghindarkan kita dari angan-angan kosong atau sekadar melamun tanpa guna atau membiarkan waktu berlalu tanpa faedah.
6. Infaq/ sedekah
Bersedekah umpama kita sedang menabung dalam tabung dan saham akhirat kita. Ganjarannya diganda-gandakan pada bulan Ramadhan. Tambahan, banyak tabung-tabung kebajikan, tabung anak yatim, tabung Palestine dan Syria yang akan diedarkan sekitar bulan Ramadhan ini, boleh lah kita membelanjakan wang kita ke sana.
7. Istiqamah (Terus) membuat perkara-perkara sunat yang sudah biasa dilakukan
Tak hanya itu, teruskan sahaja amalan sunat yang seharian anda biasa lakukan. Jangan dikurangi dosenya hanya kerana anda haid. Melakukan tugas harian sebagai isteri, ibu, housemate, anak yang baik, selagi mana dilakukan dengan tulus juga dikira sebagai ibadah. Insyaallah boleh menjadi pengisi poket-poket amal kita, walaupun kita sedang terhalang dengan fitrah haid.
Terimalah fitrah wanita ini dengan ikhlas, tidak menyesalinya dan tidak berburuk sangka. Berkumpul dengan orang yang soleh dan ambillah semangat mereka. Juga, hormat mereka yang berpuasa dan jangan sewenang-wenangnya makan di khalayak ramai. Maka, raikanlah Ramadhan penuh kesyukuran kerana kita, seorang WANITA.
** Hukum asal membaca Al-quran bagi wanita haid adalah diharamkan. Tetapi jumhur ulama’ menyatakan membaca Al-quran menjadi harus dengan niat berzikir mengingati Allah.
Musyirah Hanan Zulkarnain
Pelajar perubatan, University Al-Azhar
No comments:
Post a Comment