Trafik

Sunday, July 20, 2014

Budaya remaja kaya bongkak

Foto

UK : Kalau dulu kita diperkenalkan kepada Rich Kids of Instagram, kini remaja kaya menggunakan satu lagi aplikasi popular Snapchat untuk berkongsi dan menayangkan gaya hidup mewah mereka.

 Dimulakan seorang remaja berusia 17 tahun dari United Kingdom (UK), Rich Kids of Snapchat adalah laman Facebook yang membolehkan ‘orang kebanyakan’ meninjau kehidupan remaja kaya-raya ini dengan pelbagai gambar kereta mewah, jet peribadi serta kediaman menakjubkan dengan disertai keterangan ringkas yang menunjukkan sikap selamba golongan itu dengan kekayaan dimiliki.

 Remaja yang tidak diketahui namanya itu mewujudkan laman Rich Kids of Snapchat berkenaan dipercayai mula memperniagakan ekuiti serta komoditi pada usia 12 tahun sehingga mampu meraih kekayaan menakjubkan.

 Dia mengajak orang ramai menjadi kawannya di Snapchat supaya boleh berkongsi gambar gaya hidupnya selain turut menerima gambar diberikan remaja kaya lain yang kemudian dikongsikan pula di Facebook serta Instagram.

menyindir

 Mereka yang ingin memuat naik gambar, menghantarnya kepada akaun Rich Kids sebelum pentadbir akaun berkenaan memilih serta memuat naik gambar yang dianggap terbaik ke Internet.

 Ada juga gambar yang dimuat naik menyindir golongan kurang berada yang digelar ‘kampung.’ Contohnya, satu gambar menunjukkan seseorang melukis logo Chanel di atas sepasang kasut lusuh dengan keterangan ‘Inilah caranya pelajar yang mendapat biasiswa menyesuaikan diri.’

 Satu lagi gambar memaparkan karung kasut Louis Vuitton dilekatkan pada siling sebuah bilik untuk menutup penggera asap manakala keterangannya berbunyi: ‘Cara-cara merokok dengan selamat di bilik asrama.’ Kebanyakan gambar juga menunjukkan betapa tidak bernilai barangan berharga bagi remaja berkenaan. Contohnya, ada gambar menunjukkan iPhone digunakan untuk menongkat­kan sebuah kerusi yang senget.

Dalam gambar lain, sebuah iPad digunakan untuk memotong kek coklat. Rich Kids of Snapchat dilancarkan di UK pada musim luruh lalu untuk pelajar sekolah berasrama penuh dan universiti yang gemar berbelanja mewah.

swasta

 Laman Facebook Rich Kids itu kini mempunyai hampir 250,000 ‘like’ selepas berjaya menembusi sekolah-sekolah berasrama penuh swasta di UK dan kini bercadang memasuki ‘pasaran’ Amerika Syarikat (AS) melalui pelajar Universiti Southern California di Los Angeles.

 Menurut akhbar pelajar universiti berkenaan, Daily Trojan (DT), Rich Kids menghantar mesej di Snapchat memaklumkan mereka mahu mula bertapak di pusat pengajian tinggi itu menjelang musim luruh ini. Bagaimanapun, berita itu tidak diterima baik pentadbiran di universiti berkenaan.

 Pelajar yang juga penulis akhbar itu, Charlotte Chang berkata: “Ini mampu memberi reputasi buruk kepada universiti kami terutama memandangkan institusi ini semakin berusaha mengelak dikenali sebagai ‘Universiti Pelajar Mua.’ 

“Fenomena Rich Kids ini bukan saja membuktikan sikap mementingkan kebendaan semakin menular, malah menunjukkan semakin ramai yang bermuka-muka dan tidak lagi mempedulikan nilai murni,” katanya dalam artikel disiarkan DT.

alasan

 Namun kita tidak dapat menafikan betapa menariknya kehidupan mewah golongan itu. Pada 2012, laman Tumblr digelar Rich Kids of Instagram mendapat sambutan hebat di Internet sehingga membawa kepada ciptaan rancangan realiti Rich Kids of Beverley Hills yang memperlihatkan kehidupan lima pemuda-pemudi berusia awal 20-an disiarkan rangkaian televisyen E!.

 Sementara itu, pengasas Rich Kids of Snapchat sempat mengulas kritikan dilemparkan terhadapnya selain mempertahankan alasannya mewujudkan laman Facebook berkenaan. “Ingin saya tegaskan di sini bahawa saya tidak sekali-kali menilai seseorang hanya berdasarkan wang dan kekayaan mereka. “Akaun ini sekadar hiburan dan tidak bermaksud untuk menyindir atau menyakiti hati sesiapa.

Sebaliknya saya mahu memberi inspirasi kepada golongan muda lain bahawa mereka mampu mencapai impian. “Saya menayangkan gaya hidup yang mungkin dianggap sesetengah pihak sebagai keterlaluan ini untuk membuktikan bahawa seseorang seperti saya yang bukannya bijak dan ha­nya mempunyai £500 (RM2,747) ketika berusia 12 tahun (usia saya kini 17 tahun) tetap mampu mengecapi kehidupan seumpama ini,” katanya. Dia turut menegaskan tidak menghabiskan sepenuhnya wang dimilik, sebaliknya amat mementingkan kebajikan.

menyampah

 “Mungkin ramai yang me­nyampah melihat saya membelanjakan wang untuk kemewahan yang dianggap tidak logik seterusnya berlagak dan menayangkannya pula. “Bagaimanapun, saya sebenarnya menderma lebih 80 peratus daripada pendapatan saya kepada badan kebajikan.

Jumlah itu ditolak secara automatik daripada akaun bank saya ke akaun khas yang kemudian mengagihkannya kepada kira-kira 100 badan kebajikan pada setiap hujung bulan,” katanya. Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/06 Metro

Nota : Membazir itu saudara syaitan, dalam pekej kombo membazir ini masuklah sekali katagori penyakit riak, ujub, takbur, sombong, bongkak, angkuh, kepala batu, lawan guru, lawan sunnah dan akhinya lawan Islam.

Disaat ramai lagi manusia yang daif, miskin dan papa, mereka ini berlagak dengan kekayaan, bukankah ini menunjukkan jurang antara kaya dan miskin semakin melebar, yang kaya terlalu kaya, yang miskin terlalu miskin, Kegagalan sistem ekonomi kapitalis di mana tiada keadilan dan tiada kesamarataan dalam meraih hasil mahsul bumi ini, malahan ia dibolot oleh golongan pemimpin dan kroni serta suku sakat mereka sahaja.

Tak kemana dengan glamor tu, cuba kira kekayaan dia berbanding dengan hutang, silap haribulan hutang lebih banyak dari aset maka lebih baik bersikap sederhana dan lebih bahagia jika berjaya mencapai zero hutang macam pejuang Al-Qassam yang berani,  tak takut mati semata-mata memburu syahid

No comments:

Post a Comment