Trafik
Sunday, March 24, 2013
Tragedi Sungai Ambat Mersing Memilukan Hati Nenek
Read more: http://www.borakkosong.com/2013/03/luluh-hati-nenek.html#ixzz2OVZpbnaT
Luluh hati nenek
Mersing: Kegembiraan tiga remaja bersaudara dari FELDA Tenggaroh 5, dekat sini, keluar memancing berakhir tragedi apabila dua daripada mereka lemas di Sungai Ambat, di sini, kelmarin.
Dalam kejadian jam 4.30 petang itu, dua sepupu yang lemas, Muhammad Suhazri Abdullah, 9, dan Muhamad Iqhwan Jefri, 15, dikatakan keluar memancing bersama seorang lagi sepupu mereka, Muhammad Fazmi Ikmal Nor Azli, 15. Muhammad Fazmi Ikmal berkata, mereka bertiga keluar rumah dengan menunggang sebuah motosikal menuju ke sungai berkenaan untuk memancing.
“Kami baru tiba di lokasi sebelum Muhammad Suhazri tiba-tiba tergelincir dari tebing di kawasan berhampiran. “Melihat Muhammad Suhazri tergelincir dan terjatuh dalam sungai, Muhamad Iqhwan terjun untuk menyelamatkannya, namun tiba-tiba mereka berdua terus hilang.
“Tidak sedap hati dengan kejadian itu, saya terus terjun dan cuba menyelamatkan mereka, malangnya saya sendiri hampir lemas sebelum terselamat selepas berpaut pada sebatang kayu di kawasan berhampiran,” katanya. Menurutnya, walaupun letih, dia cuba menyelam ke dasar sungai sedalam kira-kira tiga meter, namun tidak menemui dua sepupunya itu sebelum mengambil keputusan pulang ke rumah dan memaklumkan kejadian kepada neneknya.
Sementara itu, nenek mangsa, Rafiah Muda, 64, berkata, kali terakhir dia melihat kedua-dua cucunya itu ketika mereka menunggang motosikal bersama Muhammad Fazmi Ikmal dalam keadaan tergesa-gesa.
“Kira-kira sejam setengah kemudian, saya dapati Muhammad Fazmi Ikmal pulang dalam keadaan tergesa-gesa sebelum memaklumkan kejadian itu kepada saya. “Saya memaklumkan kepada jiran dan penduduk dan mereka pantas memberikan bantuan dan cuba mencari serta menyelamat dua cucu saya.
“Dua cucu itu tinggal bersama saya dengan Muhammad Suhazri belajar dalam tahun tiga Sekolah Kebangsaan FELDA Tenggaroh 5 manakala Muhamad Iqhwan pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan Tan Sri Kadir,” katanya.
Menurutnya, Muhammad Suhazri mula tinggal bersamanya sejak ibu bapanya meninggal dunia beberapa tahun lalu manakala Muhamad Iqhwan tinggal bersamanya sejak ibu bapa mereka berpisah tidak lama kemudian. “Arwah adalah cucu yang manja dan sebelum ini mereka tidak menunjukkan sebarang kelakuan luar biasa. “Walaupun sedih, namun saya reda dengan kejadian ini,” katanya.
Mayat mangsa ditemui pasukan menyelamat jam 11 malam kelmarin sebelum dihantar ke Hospital Mersing untuk dibedah siasat dan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam FELDA Tenggaroh Timur 1 selepas solat Zuhur, semalam. sumber : mymetro
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment