Harakahdaily
Salmah Mat Husain, 13 Mac 2013
KOTA BHARU: Pasukan keselamatan negara yang bertugas di Lahad Datu dan beberapa kawasan lagi merakamkan ucapan terima kasih kepada kerajaan Kelantan dan Malaysia kerana prihatin terhadap nasib mereka.
Timbalan Kelab Penyokong Kerajaan Negeri Kelantan, Drs Zainuddin Awang Hamad (gambar) berkata, sewaktu kunjungannya ke Kota Kinabalu, Kunak, Lahad Datu dan Sandakan, beliau menyatakan kerajaan Kelantan telah mengadakan solat sunat hajat keamanan untuk memohon keamanan pada rakyat Sabah dan pasukan petugas.
Beliau berkata demikian dalam taklimat dan majlis makan malam di Perdana Resort malam tadi sebaik sahaja pulang dari misi keamanan di Lahad Datu. Beliau bersama unit Media Limbongan Purnama Ummah, telah mengunjungi Sabah mewakili kerajaan Kelantan selama lima hari bermula 8 hingga 12 Mac lalu.
Sambungnya, beliau sempat bertemu para pegawai pasukan keselamatan untuk mendapat gambaran di sana. “Mereka mengucapkan terima kasih pada pemimpin negara kita termasuk kerajaan Kelantan dan semua pihak yang menunaikan solat sunat hajat di seluruh negara untuk keamanan mereka,”ujarnya.
Sempena kunjungan itu, beliau turut menziarahi balu anggota polis yang meninggal Sumiati Shurah, 49. Awal Mac lalu, suaminya Sarjan Mejar Halim Hamid terkorban ketika bertugas di Semporna, Sabah. Zainuddin membawa salam pemimpin kerajaan negeri, Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
No comments:
Post a Comment