Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli berkata, skandal 1Azam lebih
besar dari penyelewengan Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC) yang melibatkan
dana awam berjumlah RM250 juta.
“Jika ‘meletup’, ia benar-benar memalukan Umno kerana pengkhianatannya
lebih besar dari kes penyelewengan dana NFC.
“Jika pengkhianatan berlaku, kerajaan Persekutuan di bawah Umno-BN
membiarkan rakyat termiskin diperalat untuk mengayakan beberapa pegawai
yang pecah amanah,” kata Rafizi pada sidang media di ibu pejabat
KEADILAN, hari ini.
Menurut Rafizi, Laporan Tahunan Pemandu 2011 menyatakan, antara tahun
2010 dan 2011, kerajaan membelanjakan sehingga RM690 juta untuk program
skim 1Azam yang dikelola Kementerian Pembangunan Wanita, Keluaga &
Masyarakat.
“Saya tak terkejut ada campur tangan politik menghalang beberapa orang
yang disiasat kerana disyaki menyeleweng Skim 1Azam daripada didakwa,”
jelas Rafizi.
Beliau telah menulis surat kepada Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira
Negara (PAC), Datuk Nur Jazlan Mohamad dan Ketua Audit Negara, Tan Sri
Ambrin Buang mendesak siasatan menyeluruh pelaksanaan skim 1Azam.
Justeru, Rafizi mendesak kuasa pertuduhan melibatkan kes penyelewengan
diberikan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)
“Selain memperkukuh undang-undang anti rasuah sedia ada, kita perlu
meminda Perlembagaan agar kuasa pendakwaan diberi kepada SPRM.
“Ini satu kes yang cukup jelas walaupun SPRM yakin dengan siasatannya
sehingga membuat pengumuman dua suspek ini akan didakwa di mahkamah.
“Dengan kuasa pendakwaan berasingan, perkara asas dapat dikembalikan.
Tetapi apabila kuasa mendakwa berada di tangan Peguam Negara, perkara
sama berulang,” katanya. ~kd
No comments:
Post a Comment