Trafik

Tuesday, February 11, 2014

Apabila YB Nurul Izzah di Mukadepan Majalah

Nurul_Izzah_Nona 
Lain benar  Nurul Izzah kali ini, lain daripada kebiasaan yang selalu dilihat dengan wajah tanpa atau kurang solekan. Kali ini diserikan lagi dengan solekan oleh pihak Nona untuk menghiasi muka hadapan majalah Nona Mac 2014.
Entah mengapa tiba-tiba majalah Nona berminat dengan Nurul Izzah.
Bukan mudah untuk membuat keputusan memilih siapakah yang bakal menghiasi Nona edisi Mac memandangkan tema kali ini adalah ‘Rich & Famous’, saat redaksi Nona bertungkus lumus memetik nama setiap personaliti yang terlintas, namanya dijulang sebagai wajah tepat untuk diabadikan. ‘Rich’ bukan bermaksud kaya dari segi kewangan, namun beliau seorang yang kaya dengan nilai juang dan semangat berkobar sebagai seorang ahli parlimen Pantai Dalam, ‘Famous’ pula bukan bererti bintangnya bagaikan seorang primadona namun jati diri, kebijaksanaan dan sikapnya yang tenang membuatkan namanya dikenali ramai. Jika tidak masakan beliau berjaya memenangi pemilihan buat dua penggal berturut-turut.



Untuk mendapatkan masanya bukan mudah, memandangkan kerjaya beliau sebagai seorang ahli politik dan ahli parlimen yang boleh dikatakan sentiasa on the go berkhidmat untuk rakyat setempat. Penggambaran pula dicepatkan tiga hari dari tarikh yang sepatutnya kerana beliau ada urusan penting yang harus diselesaikan pada hari yang dijanjikan. Kelam kabut juga penulis menghubungi krew yang terlibat untuk bertugas secara ad-hoc. Alhamdulillah, segala-galanya berjalan penuh lancar.



Pada hari yang dijanjikan kami bertamu di kediaman adik iparnya sebagai lokasi penggambaran, beliau yang tiba sedikit lewat dari kami terus menyapa seluruh krew dengan senyuman yang melebar dibibirnya.



“Berapa baju saya kena pakai ni? Satu sahaja kan?” tanya beliau kepada penulis. “Tiga YB, ni cover shoot bukannya shooting biasa, ni untuk muka hadapan Nona” balas penulis sambil tersenyum kepadanya. “Wah banyak tu, come lets do it quick and fast!” katanya sambil wajahnya disolek ringkas oleh jurusolek.
Sepanjang penggambaran dijalankan kelihatan beliau hanya mendengar sahaja segala gaya yang diminta oleh Kiffy Razak, editor Nona yang juga turun bagi memastikan segala-galanya berada di dalam keadaan yang terbaik. “Hmmmm, penat menjadi model ni,” selorohnya sambil tersenyum. Apa yang boleh penulis katakan beliau punya senyuman hebat dan wajahnya cukup fotogenik.



Jurufoto hanya perlu mengambil sedikit masa sahaja untuk mendapatkan hasil yang baik. Usai sesi fotografi, penulis duduk santai dengannya dan berkongsi cerita perihal keluarga dan juga kerjayanya. Isteri kepada Raja Ahmad Shahrir dan ibu kepada dua cahaya mata, Raja Nur Safiyah dan Raja Ahmad Harith ini membuka ruang kepada penulis untuk mengenalinya dengan lebih dekat.



Ditanya tentang kepentingan wanita di zaman kini untuk memiliki kerjaya yang tersendiri dan tidak hanya duduk di rumah sahaja  jawab Nurul Izzah, “Saya percaya wanita yang bekerja sangat mandiri, dan sebenarnya saya juga banyak belajar dengan wanita-wanita di luar sana yang jauh lebih pandai mengurus masa. Namun jangan pula memperlekehkan wanita yang kerjayanya hanyalah suri rumah tangga.



Mereka merupakan golongan yang harus dihargai kerana kerja mereka terlalu banyak. Saya menjaga anak saya yang demam sepenuh masa bulan ini kerana seperti yang saya katakan saya tiada orang gaji ketika ini, oh memang memenatkan! Oleh itu jangan sesekali memperkecilkan mereka yang bergelar suri rumah tangga sepenuh masa. Mereka harus dihormati kerana memilih untuk mebesarkan anak-anak dengan cara yang terbaik.



Kebijakan wanita itu bukan terletak pada yang bekerjaya sahaja, ia ada di dalam setiap wanita. Sebagai contohnya, di Ghana, dalam persatuan ibu bapa dan guru mereka, pihak sekolah lebih suka mengambil pandangan dari ibu bapa yang tidak tahu membaca sekalipun namun anak-anak mereka berjaya. Mereka tidak belajar dan punya ijazah, namun kenapa anak-anak boleh berjaya? Semuanya tentang sokongan moral dan sikap positif yang mahu anak berjaya. Ini sesuatu yang bukan dipelajari dari teori atau buku.”



Ketahui lebih lanjut mengenai semangat juang wanita berwibawa ini dan kisah rumahtangga beliau serta sikap yang tidak diketahui ramai mengenainya dalam Nona Mac ini edisi Rich & Famous. Jadikan pengalaman yang dilalui oleh Nurul Izzah sebagai panduan untuk anda terus berjaya dalam hidup mahupun kehidupan harian. 

Sumber: http://nona.karangkraf.com/
 

No comments:

Post a Comment