Trafik

Tuesday, February 18, 2014

Misteri Ikan Mati Di Tanjung Kupang Johor

ULASAN Insiden kematian beribu-ribu ikan di perairan Tanjung Kupang, Gelang Patah baru-baru ini  membangkitkan persoalan-persoalan terhadap pentadbiran dan kepimpinan kerajaan negeri Johor.

Punca kematian beribu-ribu ikan yang mengakibatkan kerugian jutaan ringgit kepada 10 penternak ikan sangkar dan 250 nelayan dipercayai hasil dari penyedutan pasir dan penambakan laut di kawasan berdekatan.

Kumpulan Prasarana Rakyat Johor (KPRJ) telah mengakui bahawa projek penambakan tersebut adalah hasil usahasama KPRJ bersama satu syarikat hartanah dari China.

KPRJ telah menolak dakwaan bahawa kematian ikan tersebut adalah hasil dari aktiviti penyedutan pasir dan tambakan laut.

Apakah bukti yang menyokong kenyataan ini? Di manakah laporan Impak Alam Sekitar (EIA) yang sepatutnya didapatkan dahulu sebelum projek dimulakan?

Ini membawa persoalan sama ada Jabatan Alam Sekitar telah memberikan kelulusan bagi projek ini dijalankan tanpa laporan Impak Alam Sekitar.

Secara umumnya, fenomena air merah atau lebih dikenali sebagai ‘red tide’ boleh berlaku dengan lebih menjadi-jadi dengan wujudnya aktiviti manusia yang menyumbang kepada pencemaran air seperti aktiviti menyedut pasir dan menambak laut yang dilakukan sejak 22 Januari pada waktu siang dan malam tanpa henti.

Oleh itu secara terang aktiviti yang dilakukan oleh pemaju ini telah mengakibatkan fenomena yang menjejaskan kehidupan rakyat tempatan. Jabatan Laut juga sepatutnya peka tentang isu ini.

Tinjauan orang ramai

Hasil tinjauan orang ramai menunjukkan tiga kapal telah melakukan aktiviti ini pada masa yang sama.

Sekiranya benar dakwaan mereka yang mengatakan KPRJ telah mengikut prosedur dengan memberitahu secara terperinci dan jelas bagaimana projek ini boleh membawa kesan kepada penduduk kampung dan persatuan nelayan di Gelang Patah sebelum kerja penambakan dijalankan, mengapa pula pemilik dan penternak ikan sangkar tidak diberitahu dengan lebih awal supaya persedian awal dapat dilakukan untuk meminimumkan kerugian?

Adakah penduduk kampung, persatuan nelayan dan penternak ikan sangkar telah diberitahu akan kesan buruk projek ini yang boleh mengakibatkan pengurangan tangkapan ikan dan kerugian berjuta-juta ringgit?

Sekiranya benar penduduk kampung dan persatuan nelayan telah diberitahu dan terang-terang projek ini membawa kesan buruk terhadap hasil tangkapan ikan dan mata pencarian mereka, adakah pampasan yang setimpal akan diberikan kepada para nelayan ini?

Kehidupan mereka bergantung sepenuhnya kepada hasil penangkapan ikan dan kebanyakan mereka mewarisi pekerjaan ini secara tradisi. Apabila hasil tangkapan ikan berkurangan, nelayan hilang mata pencarian, kehidupan mereka juga terjejas teruk.

Dengan kos sara hidup yang semakin tinggi disebabkan oleh langkah-langkah penarikan subsidi, kenaikan tarif dan sebagainya oleh kerajaan Barisan Nasional, ini tentunya semakin menyukarkan kehidupan para nelayan.

Tiada penjelasan terperinci diberikan dan penduduk tidak dapat menyuarakan kepentingan mereka sendiri kerana semuanya telah diputuskan oleh kerajaan negeri tanpa apa-apa perbincangan dengan penduduk setempat.

Ini menunjukkan kerajaan negeri Johor, Jabatan Alam Sekitar dan Jabatan Laut tidak mengamalkan transparensi dan tiada perbincangan dengan orang awam berkenaan isu ini.

MB Johor perlu tanggungjawab

Di manakah janji mantan Menteri Besar Johor dari BN, Datuk Ghani Othman yang menjanjikan pembangunan mampan dan pemeliharaan alam sekitar dalam membangunkan wilayah Iskandar?

Menteri Besar baru, Datuk Seri Khaled Nordin perlu bertanggunjawab menunaikan janji ini.

Kerajaan negeri Johor sepatutnya mengambil berat akan kesejahteraan kehidupan para nelayan di Gelang Patah yang bergantung sepenuhnya kepada hasil laut.

Perairan Tanjung Kupang dulunya kaya dengan hidupan laut, menjadi punca rezeki para nelayan dan banyak menyumbang kepada pembangunan ekonomi rakyat tempatan.

Rakyat Johor berhak menuntut hak mereka untuk kehidupan yang sejahtera dan pembangunan yang memanfaatkan mereka dan bukannya pihak lain semata-mata.

Tetapi kini nampaknya kerajaan negeri Johor lebih mementingkan pembangunan membabi-buta dan menguntungkan syarikat-syarikat besar tanpa mengambil kira kebajikan rakyat tempatan dan juga alam sekitar yang tidak mungkin dapat dicari ganti.

Seperti kata pepatah Cree Indians (Orang Asli Amerika):

“When the last tree has been cut down, the last fish caught, the last river poisoned, only then will we realize that one cannot eat money.”

DYANA SOFYA MOHD DAUD setiausaha politik kepada MP Gelang Patah Lim Kit Siang.

No comments:

Post a Comment