Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul
Khalid Ibrahim menafikan penglibatan beliau dalam pemecatan hampir 30
kakitangan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor Holdings Sdn Bhd (PHSB).
Beliau ketika ditemui berkata keputusan itu dilakukan sendiri pihak
pengurusan PHSB dan menganggap tiada sebarang pemecatan pekerja berlaku
melainkan pemberhentian disebabkan mereka tidak melanjutkan kontrak
kakitangan terbabit.
Abdul Khalid berkata menerusi nota yang diberikan kepadanya, pihak
pengurusan PHSB memaklumkan tindakan itu adalah sebagai langkah untuk
menentukan jumlah pekerja yang sesuai dalam organisasi berkenaan
memandangkan pekerja yang diberhentikan itu adalah pekerja kontrak.
"Itu adalah keputusan pengurusan PHSB dan saya percaya pasti ada
sebabnya malah pada saya konsep dipecat boleh jadi tiada tetapi konsep
tidak diteruskan pelantikan boleh jadi," katanya kepada pemberita
selepas merasmikan Majlis Menghafaz Al-Quran Peringkat negeri Selangor
anjuran Jabatan Agama Islam Selangor di Shah ALam malam tadi.
PHSB memecat 30 kakitangannya semalam, tanpa sebarang sebab munasabah,
dengan notis 24 jam berkuat kuasa semalam.
Kesemua kakitangan PHSB, yang juga anak syarikat PKNS, menerima surat
pemecatan itu dalam satu pertemuan dengan pihak pengurusan pagi tadi
selepas hadir bekerja seperti biasa. Surat itu ditandatangani Pengerusi
PHSB, Datin Paduka Norazlina Zakaria.
Ketika diminta mengulas sama ada pemberhentian itu ada kaitan dengan isu
dalaman yang dihadapi PKNS kini, Abdul Khalid turut menafikan ia
disebabkan perkara berkenaan malah kes itu masih lagi dalam proses
pendengaran yang dikendalikan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri
Selangor.
- Bernama
No comments:
Post a Comment