Trafik

Tuesday, August 5, 2014

Penyelesai Masalah Gerobok Pakaian Penuh

Foto
Foto
Foto
Kajang : Sebaik menerima panggilan daripada pelanggan yang ingin menjual pakaian mereka, berbekalkan penimbang dan kereta dengan but yang dikosongkan, wanita ini mula menuju destinasi menerusi alamat diberikan.
Sampai di rumah pelanggan dia terus melihat semua pakaian yang dikumpulkan tuan rumah supaya ia berada dalam keadaan baik iaitu tidak koyak, berbau atau kotor. 
Kemudian, Rasmi Abdullah, 31, menimbang semua beg plastik yang dikumpulkan bagi menentukan bayarannya. Untuk satu kilogram (kg) dia membeli dengan harga RM1 tanpa mengira jenis atau jenama. 

Jika ada rezeki, semua barang diterima berjenama dan masih elok, jika sebaliknya wanita ini tidak kisah kerana apa yang penting dia dapat membantu mereka mengosongkan almari pakaian dan membantu wanita membeli pada harga murah.
Jelasnya, untuk satu-satu rumah, jumlah pakaian yang dapat dikumpulkan tidak menentu. Dia juga tidak bertanya jumlah berat pakaian yang ingin dijual.

“Apa yang saya lakukan, sekiranya mereka menelefon dan ingin menjual pakaian saya hanya datang ke tempat dinyatakan saja. Banyak atau sedikit itu tidak menjadi masalah. Ada yang hanya 10kg pun saya terima, ada pula sehingga mencecah 350kg. Bayangkan dengan kudrat wanita yang tidak seberapa, saya perlu mengangkat semua pakaian masuk ke kereta,” ujarnya yang menetap di Banting, Selangor.

Menceritakan bagaimana boleh menceburi kerjaya ini, ibu kepada dua cahaya mata ini menjelaskan, sejak remaja dia memang suka melepak di kedai ‘bundle’. 

Baginya, bagaikan satu kepuasan apabila dapat melihat pakaian berjenama yang masih elok dan cantik kemudian dijual pada harga murah. Kebiasaannya pakaian yang masih cantik dan elok dipakai akan menjadi miliknya.

Dari situ, dia memikirkan mengapa tidak menjadikannya sebagai perniagaan. Lalu dia mencari pemborong pakaian ‘bundle’ dan menjual di pasar pagi Sungai Jarum. Bekerja sebagai penulis sambilan tidak menjadi masalah untuk mengatur jadual ini kerana kebiasaannya dia ke pejabat pada jam 11 pagi, jadi ia langsung tidak mengganggu minat berniaga.

Menjual barangan ‘bundle’ ada cabarannya kerana tidak semua pakaian yang dibeli berada dalam keadaan elok. Pernah satu ketika, semua pakaian langsung tidak boleh dijual kerana koyak dan lusuh.

“Dalam hal ini saya menanggung kerugian sehingga RM950 untuk dua beg. Walaupun sudah meminta penjual menggantikan semula dengan pakaian lain, proses ini memakan masa lama sehingga saya sendiri malas menghubungi mereka semula,” ujarnya.


Berhenti kerja jual barang terpakai

Disebabkan tekanan kerja ditambah suami yang sering bertugas di luar daerah, Rasmi terfikir menjalankan perniagaan sendiri. Oleh kerana sudah bermula secara kecil-kecilan dia nekad berhenti kerja untuk menjadi peniaga barangan terpakai sepenuh masa.

“Untuk mendapatkan pelanggan, apa yang perlu saya lakukan adalah menjalankan promosi menerusi laman sosial. Sama seperti peniaga lain yang menggunakan Facebook dan Instagram sebagai medium mempromosikan produk, saya tidak terkecuali. Saya mencari sebanyak mungkin rakan atau melihat laman sosial selebriti terkenal untuk mencari pelanggan. Dari situ, saya iklankan mengenai perkhidmatan membeli pakaian terpakai dari rumah ke rumah. Sekiranya tuan rumah tidak mampu mengumpul atau mengasing-asingkan pakaian yang ingin dijual, saya bersedia melakukannya,” katanya.

Namun, bagi mengelak kekeliruan, Rasmi sudah menjelaskan mengenai syarat jual beli serta prosedur bayaran. Antaranya meminta pelanggan membasuh terlebih dulu pakaian supaya bersih. Ini kerana Rasmi hanya menerima pakaian bersih dan masih elok.

“Namun, ada juga menganggap saya membeli semua pakaian tanpa mengira bersih atau buruk. Pernah satu ketika tanpa sempat membelek pakaian pelanggan saya terus membuat pembayaran. Akibatnya hampir separuh pakaian diterima koyak. Sejak itu saya sudah serik dan membelek terlebih dulu baju yang sudah dimasukkan dalam plastik hitam bagi mengelak perkara sama berlaku,” katanya yang mengutip pakaian di sekitar Lembah Klang termasuk Putrajaya, Bangi dan Kajang.

Oleh kerana selalu mengutip pakaian dari rumah ke rumah, Rasmi sudah dapat mengagak sama ada pakaian diterima masih elok atau sebaliknya menerusi cara mereka melipat dan menyusun pakaian. Jika kemas dan teratur bererti semua pakaian dalam keadaan baik. Berbeza sekiranya menerima bungkusan diletakkan secara berlonggok atau bergumpal, ia menandakan ada yang tidak kena dengan pakaian itu sama ada kotor, berbau atau terkoyak.

Ditanya sama ada kawasan perumahan yang diziarahi turut memberi kesan terhadap jenis pakaian yang dibeli, Rasmi mengakui berdasarkan alamat rumah juga dia sudah boleh mengagak jenis pakaian diterima. Namun, ada juga telahan tidak benar. Bagaimanapun, tanpa mengira kawasan tempat tinggal, dia tetap menerima sesiapa juga yang ingin mengosongkan almari baju mereka.

Ini kerana ramai mengakui tidak tahu ke mana mahu diletakkan semua pakaian yang masih elok. Untuk disedekahkan kepada rumah anak yatim atau orang susah takut sekiranya mereka tidak menerimanya. Jadi dengan adanya perkhidmatan mengutip dan membeli pakaian lama, ia sebagai satu cara membersihkan rumah daripada pakaian yang tidak digunakan.

“Daripada dibuang begitu saja lebih baik dijual kepada saya dengan harga RM1 untuk satu kilogram. Walaupun nilainya rendah, untuk seluar denim, jaket dan kemeja-T nilainya lebih berat berbanding kemeja atau blaus wanita. Sebab itu rata-rata pelanggan menjual beratus-ratus kilogram pada satu-satu masa,” ujarnya yang membuat tiga temujanji dalam sehari.

Buka kedai di rumah

Menceritakan lebih lanjut mengenai kerjaya barunya ini, untuk setiap pakaian, dia akan membawa pulang ke rumah dan membuat pengkelasan. Mulanya dia meletakkan di rumah ibu bapa di tingkat empat. Bayangkan dia terpaksa membawa naik dan turun apabila pelanggan ingin membelinya. Kesukaran ini menyebabkan Rasmi menyewa rumah di tingkat bawah bagi memudahkan urusan mengumpul pakaian.

“Ia lebih mudah dan sistematik kerana untuk setiap baju kurung saya menggantung mengikut ukuran. Kemudian kemeja-T dan baju kanak-kanak dalam bakul berbeza. Pada Ramadan lalu, saya menerima jualan yang banyak untuk pembeli baju kurung. Ini kerana kebanyakan baju diterima masih elok. Jika ada sedikit kerosakan seperti butang tercabut saya menjahit terlebih dulu. 

“Saya tidak hanya menjual di rumah sebaliknya mendapatkan pelanggan menerusi dalam talian. Walaupun agak leceh kerana perlu mengambil gambar dan ukuran, sambutan diterima sangat menggalakkan. Ia sedikit sebanyak menyediakan pulang kepada orang ramai mendapatkan pakaian pada harga murah,” jelasnya yang menggunakan nama mimi pinky couture untuk Instagram.

Untuk setiap kemeja-T, kemeja, baju bayi dan kanak-kanak, blaus, tudung semuanya dijual RM2 kecuali seluar denim dan baju kurung dijual pada harga RM10 ke atas. Oleh kerana harga yang sangat rendah, orang ramai tidak membeli sehelai sebaliknya sehingga 10 atau 20 pasang. 

Untuk baju sekolah dan telekung, dia memberi kepada mereka yang memerlukan tanpa mengenakan sebarang bayaran. Dengan pendapatan diterima, dapatlah Rasmi membayar sewa rumah dan wang perbelanjaan harian untuk keluarga.

Rasmi juga memberi peluang kepada suri rumah menjadi penjual, mereka hanya perlu memilih pakaian yang diinginkan kemudian menjual mengikut harga mereka sendiri. Setakat ini Rasmi mempunyai tiga penjual tetap yang mengambil koleksi terkini pada setiap bulan.

“Saya gembira kerana dapat membantu suri rumah memperoleh pendapatan sampingan. Sekurang-kurangnya wang diterima boleh digunakan untuk membeli keperluan anak. Lagi pun mereka tidak perlu mengeluarkan modal, hanya bijak memasarkan produk saja,” katanya yang mengalu-alukan sesiapa juga yang ingin menjadi penjual pakaian terpakai milik Rasmi.

Dia yang juga bekas pelajar Politeknik Ungku Omar dalam jurusan perniagaan berharap dapat memperluaskan kawasan untuk mengumpul barang terpakai. Selepas Aidilfitri, Rasmi dalam perancangan membuka kedai ‘bundle’ termasuk barang terpakai seperti perabot dan barang elektrik.

“Saya tahu sama seperti baju, ramai juga yang ingin membuang perabot rumah dan barang elektrik yang masih elok kerana mempunyai peralatan baru. Justeru, saya ingin mewujudkan pusat pengumpulan khas dan menjual semula pada harga mampu milik. 

“Sasaran pembeli adalah golongan kurang berkemampuan atau sederhana, tetapi memiliki anak ramai. Dengan kos yang semakin meningkat ada kalanya pendapatan mereka terpaksa diagihkan untuk makanan dan perbelanjaan sekolah. Namun, masih ramai ingin membeli televisyen dan peti sejuk kerana menganggap ia sebagai keperluan wajib untuk seisi rumah.

“Jadi dengan menyediakan perabot dan barang elektrik terpakai diharap dapat meringankan bebanan mereka,” katanya yang berpengalaman menjual jegging menerusi dalam talian selama empat tahun. Metro

No comments:

Post a Comment