Trafik

Tuesday, February 4, 2014

Saya Tidak Keluar PKR, Saya Nak Kahwin : Adun Hutan Melintang

dikemaskini ADUN Hutan Melintang dari PKR S Kesavan hari ini menafikan beliau keluar parti itu seperti yang didakwa melalui sepucuk surat yang dialamatkan kepada Speaker DUN Perak Datuk Seri S K Devamany hari ini.
  
Beliau berkata ia adalah surat palsu yang dikeluarkan pihak tidak bertanggungjawab dengan menggunakan namanya.
  
"Saya teliti tanda tangan pada surat itu... ia berlainan dengan tanda tangan saya dan kepala surat juga menunjukkan ia bukan yang dikhaskan untuk ADUN," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
  
Beliau mengulas mengenai sepucuk surat bertarikh 2 Februari 2014 yang dialamatkan kepada Devamany yang kononnya beliau mengisytiharkan diri keluar dari PKR secara rela hati berkuat kuasa Ahad lepas.

Menurut surat itu yang kononnya ditandatangani Kesavan, tindakan itu
dilakukan selepas hilang kepercayaan dan tidak berpuas hati terhadap
kepimpinan parti berkenaan.

Surat ringkas itu mempunyai cop terima daripada pejabat speaker Perak. Bagaimanapun keasliannya masih tidak dapat dipastikan setakat ini.

Bagaimanapun ADUN Teja dari PKR Chang Lih Kang menafikan perkara tersebut.

"Saya menelefon beliau (Kesavan) dan beliau menafikan perkara itu," Chang memberitahu Malaysiakini.

Chang menambah Kesavan kini sedang membuat persiapan perkahwinan beliau.

Speaker Perak SK Devamany juga tidak dapat dihubungi.

PKR mempunyai lima ADUN dari jumlah keseluruhan 28 ADUN Pakatan Rakyat. BN mempunyai 31 wakil dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak.

Sementara itu, PKR turut menafikan bahawa yang ADUN Hutan Melintang itu keluar parti.

"Selepas mendapat penjelasan daripada Kesavan, kami mengesahkan bahawa beliau tidak menghantar surat itu dan tidak keluar parti," kata Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil dalam satu kenyataan hari ini.

"Beliau telah dinasihatkan supaya membuat laporan polis terhadap surat palsu tersebut."

No comments:

Post a Comment