Trafik

Sunday, December 8, 2013

Jauh-jauh datang hanya bincang perkara sampah...


Perhimpunan Agung Umno telah berakhir dalam suasana rakyat dilanda banjir besar. Inilah kualiti perwakilan Umno bila tak ada agenda membina masa depan, hanya bercerita hal fantasi, perkara remeh dan berbau lucah, sungguh menyedihkan...

'Songket dedah pemakainya dara atau janda...'


Perwakilan Sabah, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif mencuit hati hadirin sewaktu perbahasan usul agama di Perhimpunan Agung Umno 2013 pagi ini.

Arifin menceritakan tentang adat pakaian Melayu yang mempunyai maksud tersirat.

Beliau memberi contoh pakaian tradisi seperti baju kurung, baju melayu dan kain songket.

Menurut beliau, baju kurung dinamakan sedemikian kerana ia 'mengurung' pemakainya supaya bertepatan dengan syariat Islam.

"Kalau pakai samping pula, jika sampingnya atas lutut kalau bujang, bila sudah kawin samping bawah lutut. Jika Ulama, satu pelempang bawah lutut, jika dia orang bergelar (kenamaan) tiga pelempang bawah lutut," kata beliau.

Beliau menambah cara wanita memakai songket turut mencerminkan status pemakainya.

"Songket kalau wanita pakai, kepala kain di hadapan, dia seorang perempuan bujang, kalau kepala songket di belakang, seorang wanita berkahwin, sebelah kanan orang bergelar, kiri seorang janda," tambahnya, menyebabkan Pengerusi Tetap, Tan Sri Amiruddin Badalrudin tergelak besar.

Justeru, Arifin yang juga ADUN Membakut itu memohon petua dan adat Melayu yang unik ini didokumentasikan dan diajar kepada semua orang Melayu dunia pascamoden negara ini.

Beliau turut mencadangkan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang menghadapi saat sukar diperkasakan, kerana badan itu menjaga Bahasa Melayu yang penting dalam warisan orang Melayu.

"Saya minta timbalan  presiden untuk bantu penerbitan satu buku yang mengandungi 50,000 kata bidalan dan hikmat orang-orang Melayu. Boleh dibuat di DBP kerana sebelum ini 60 karyawan menarik hak mereka dari DBP kerana berasa kurang yakin dengan mereka."

Kredit kepada MK

Sunday, December 1, 2013

TG Nik Aziz: Pendakwah bebas mudah 'dimakan serigala'

  • Nik Aziz Nik Mat
SHAH ALAM - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat hari ini, menegaskan seorang pendakwah sebenarnya tidak mungkin bebas kerana baginya seseorang (pendakwah) itu semestinya mempunyai pendirian masing-masing.

Jelas Nik Aziz, Seorang pendakwah wajib memilih untuk menyeru manusia kepada kebenaran atau kebatilan. Oleh itu seseorang pendakwah itu tidak boleh bebas tanpa apa-apa pendirian politik.

“Di dalam Islam, cuma ada iman atau kufur. Di akhirat kelak, cuma ada neraka atau syurga. Begitu juga di dunia, yang ada ialah benar atau batil.

“…dalam kiasan ini kita boleh membaca jika dia(pendakwah) itu benar-benar menjadi bebas dari sudut pendiriannya, lambat laun mudahlah ia dimakan oleh 'serigala'.

“Justeru, saya tidak pelik jika mana-mana 'pendakwah bebas' tiba-tiba dimakan oleh 'serigala'.katanya memetik laman Facebook miliknya.

Sehubungan dengan itu, kata Nik Aziz dalam arus politik kini, seseorang itu semestinya mempunyai pendiriannya masing-masing apatah lagi seorang pendakwah yang bertanggungjawab membawa kebaikan kepada masyarakat.
 
Kredit kepada WM

Laporan Postmortem : Calon BN dedahkan sebab beliau kalah di Sungai Limau..



Calon Barisan Nasional (BN) Dr Ahmad Sohaimi Lazim yang hadir di analisis pasca PRK Sungai Limau di Universiti Malaya hari ini berkata BN tidak akan mampu memenangi hati pengundi melalui pemberian yang diberikan semasa tempoh berkempen kerana pengundi mempunyai calon pilihan sendiri.

“Memang diakui kerajaan menggunakan jenteranya seperti Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) dan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) dengan memberikan bantuan. Adakah kita boleh pastikan dengan bantuan seumpama itu boleh meraih undi? Jawapannya belum tentu.

“Saya lihat satu kawasan itu Fama memberikan pokok pelam dan berlori anak ayam. Saya pasti jumlah undi yang diterima dengan bilangan anak ayam yang diberi tidak sama. Ia seperti memberi bola tanggung dalam bola sepak,” katanya.

Ahmad Sohaimi turut mengakui peningkatan undi Cina kepada BN tidak berlaku kerana menurutnya jika 1,000 pengundi Cina mengundinya semasa PRK lepas maka beliau mampu memenangi pilihan raya itu.

Katanya, dalam tiga acara pertemuan bersama masyarikat Cina di Sungai Limau, terdapat majlis dihadiri seramai 400 orang tetapi pengundi sebenar di kawasan tersebut hanya kira-kira 100 pengundi Cina sahaja.

“Saya dan pemimpin MCA pada malam itu menyampaikan ceramah kepada bukan pengundi. Hadirin yang datang memberikan tepukan gemuruh sehingga ada yang berkata berdasarkan sokongan, BN mampu memenangi pilihan raya itu.

“Itulah yang dikatakan kerana tepuk kampung tergadai. Pengundi di sana beranggapan jika BN kalah sekalipun tidak memberi apa-apa makna kerana Kedah masih bersama BN. Inilah yang menjejaskan sokongan pengundi Cina selain peratus keluar mengundi Cina yang tidak begitu ramai,” katanya yang mengundang gelak tawa hadirin atas ucapannya ~ The Malaysian Insider

Kasihan kepada Dr. Sohaimi ini. Dia ni kira orang baik sebenarnya tapi tersilap masuk UBn. Dah la kalah undi. Jawatan pensyarah kanan DS52 pun terpaksa dilepaskan. Jangan keliru yang datang ceramah 400 orang tu yakin menang bukan sebab berdasarkan ramai yang datang ceramah  kerana tahu pengundi cuma 100 orang. Yang menyedihkan kempen menggunakan jentera kerajaan dan mempermainkan calon berpendidikan yang diperguna oleh UBn.

Kredit kepada ASD

Datuk Fauzi Shaari kembali ke rahmatullah


SELAYANG: Bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Fauzi Shaari, 63, meninggal dunia jam 8.17 malam ini di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Selayang. Jenazah allahyarham dibawa balik ke rumah No.7, Jalan 10/15, Seksyen 10, Shah Alam, Selangor.

Sembrong Bangkit mengucapkan innalillahi wainna ilahi raji"un. Moga roh almarhum akan diampunkan Allah SWT dan di tempatkan bersama-sama orang beriman. 

HARAKAHDAILY

Perjuangan & garis politik


Muktamar PAS ke-59 kali ini bukan hanya diperhatikan rapi oleh warga Malaysia sahaja. Malah, bekas rakan sekerja Edward Snowden dalam National Security Agency (NSA) di Amerika dan Goverment Communication Headquaters (GCHQ) di England turut sibuk merakamkan apa yang sedang berlaku. Keputusan pemilihan pucuk pimpinan PAS kali ini bukan hanya mempengaruhi arah politik Malaysia, malah juga ASEAN dan Asia Tenggara.

Ahli PAS yang akan mengundi di muktamar kali ini berpeluang memilih pucuk pimpinan dari dua jalur atau dua garis politik. Media milik gerombolan United Malays National Organisation dan suku sakatnya mentakrif dua garis ini sebagai kumpulan ulamak dan kumpulan 'Erdorgan'. Sesekali Erdorgan ini dikatakan juga kumpulan profesional.

Sebenarnya ini nama-nama ini hanya ‘papan tanda' untuk mengelompokkan agar dapat diberi tanda. Ketika Tengku Razaleigh Hamzah atau Ku Li melawan Mahathir Mohamad dulu, dikatakan wujud Tim A dan Tim B dalam United Malays National Organisation. Sebenarnya ada dua garis yang jelas yang diwakili oleh Ku Li atau Mahathir walau pun media tidak menerangkan secara tuntas. Nama diberi untuk memudahkan media membuat kerja.

Dalam PAS memang wujud kumpulan yang dipanggil ulamak. Dalam bahasa Arab, ulama membawa erti pemikir atau intelektual. Alim ertinya berilmu pengetahuan. Di Malaysia ini dua perkataan Arab ini telah disakralkan dan hanya diasosiasi dengan agama. Walhal alim dan ulama ini adalah untuk sesiapa sahaja yang memiliki daya fikrah yang kritikal dalam bidang keilmuan masing-masing, tidak semestinya hanya agama.

Erdorgan pula ialah ikutan nama perdana menteri Turki yang bukan ulama tetapi berjaya memimpin Turki dengan garis politik Islam. Nama ini muncul di Malaysia kerana golongan yang dikatakan kumpulan Erdorgan adalah gulungan profesional bukan guru agama, bukan lulusan pondok, tidak berserban, tidak berjubah dan tidak berjanggut panjang. Jauh sekali hidup mencari makan dengan menjual air jampi.

Kadang kala kumpulan Erdorgan ini dipanggil Anwarista. Jika perkataan Anwarista atau Anwarisna seperti dalam ucapan Zul Nordin maka kita tahu di belakang sebutan ini ada niat tidak baik. Anwarista ini digunakan untuk menggambarkan para pemimpin PAS ini sebagai macai kepada Anwar Ibrahim.

Di sebalik jenama ini sebenarnya ada garis politik yang amat jelas. Garis politik inilah yang wajib kita ketahui untuk memahami apakah tanda dan makna muktamar PAS kali ini.

Muhamad Sabu aka Mat Sabu dan Nik Amar yang merebut jawatan timbalan presiden PAS adalah manifestasi dari dua garis politik yang amat jauh berbeza. Dua sosok ini membawa dua pendekatan politik yang berlainan. Apa yang membezakan mereka ialah cara mereka melihat dan mentafsir Islam dalam konteks realpolitik Malaysia dan dalam konteks realpolitik dunia kontemperori.

Umum mengetahui bagaimana kumpulan ulama ini telah bersidang tidak berapa lama dahulu. Hasil persidangan ini satu ketetapan telah diluluskan. Mengikut ketetapan ini para ulama meminta parti PAS menilai kembali hubungannya dalam Pakatan Rakyat.

Mat Sabu lwn Nik Amar

Menilai kembali ini bermakna telah wujud perasaan tidak puas hati di kalangan alim ulama dalam hal perserikatan kerjasama dengan Parti Keadilan Rakyat dan Parti Tindakan Demokratik. Apa yang menimbulkan ketidakpuasan hati ini tidak pula jelas. Yang diumumkan kepada orang ramai hanyalah ulama mahu "menilai kembali" kerjasama dalam Pakatan.

Untuk yang arif politik, melintas Mat Bangla di depan mata telah diketahui sama ada pendatang haram atau tidak. Justeru, ketetapan dari persidangan ulama ini bermakna ada jalur dalam parti PAS yang tidak mahu terus bersama dalam Pakatan. Garis ulama ini menolak usaha menggalang barisan bersatu untuk menjatuhkan United Malays National Organsiation dan konco-konconya. Terlulusnya ketetapan ini bermakna garis politik para ulama PAS ialah menentang kerjasama dalam Pakatan. Dalam bahasa anak muda yang cool, PAS nak blah dari Pakatan.

Justeru garis PAS akan meninggalkan Pakatan menjadi mistos umum apabila pemerhati politik membincangkan muktamar PAS kali ini. Umum juga telah mengetahui bagaimana secara terbuka Nik Amar sendiri mengakui bahawa dirinya adalah ‘seorang ulama'. Justeru Nik Amar dianggap mewakili dan membawa garis ulama dalam muktamar PAS kali ini.

Manakala Mat Sabu dalam ceramahnya telah berkali-kali berkata:

"Apabila PAS keluar dari Pakatan, maka PAS akan menjadi lebih kuat. Tetapi jajahan takluk PAS hanya bermula dari Rantau Panjang dan berakhir di Kemaman."

Ucapan Mat Sabu ini jelas memperlihatkan bahawa garis politik yang dibawa oleh Mat Sabu ini ialah garis politik yang bersedia untuk meneruskan kerjasama dengan DAP dan PKR dalam Pakatan. Mat Sabu memahami realpolitik Malaysia. Dalam politik pilihan raya - satu warga satu undi - tidak ada jalan lain untuk mengambil alih kuasa melainkan bekerja sama dengan kumpulan yang bukan dari parti PAS.

Ikatan kerjasama ini dari pandangan Mat Sabu telah memberi kejayaan dalam tahun 1999, 2004, 2008 dan dalam PRU13 yang baru selesai. Hanya dengan bekerja sama dengan parti-parti yang bukan dari bakul ketuanan Melayu barulah PAS mendapat kejayaan. Malah di Selangor kemenangan PAS yang amat cemerlang itu adalah hasil dari kerjasama dalam Pakatan.

Apakah perlawanan antara Mat Sabu dan Nik Amar ini membawa makna Mat Sabu menentang ulama? Dalam konteks Mat Sabu dan ulama, ia sesuatu yang pelik dan sukar untuk dipercayai. Sejarah masih belum merakamkan secara tuntas tentang konsep kepimpinan ulama dalam PAS. Tidak ramai yang mengetahui bahawa konsep ini adalah hasil dari gerakan Mat Sabu dan kawan-kawan yang telah melihat kejayaan Revolusi Iran 1979. Ketika konsep ‘kepimpinan ulama' ini diajukan Mat Sabu sedang bergerak aktif dalam Pemuda PAS.

Apakah para ulama tidak melihat realpolitik di mana Malaysia ini sebuah negara majmuk - berbilang bangsa dan agama. Malah dalam kumpulan penganut Islam itu sendiri tidak semua yang memegang kad pengenalan Islam bersetuju dengan apa yang cuba dibawa dan dilakukan oleh kumpulan ulama ini.

fatwa

Jawabnya, para alim ulama ini melihat realpolitik ini. Tetapi kefahamam politik dan analisa politik mereka tidak memasukkan ekonomi dan kelas sebagai asas politik. Gerakan parti politik bertujuan untuk mengambil kuasa. Dengan memenangi kuasa maka punca-punca ekonomi boleh dimiliki. Dengan memiliki punca ekonomi maka barulah dapat dilaksanakan satu sistem ekonomi yang berkemungkinan melahirkan Negara Berkebajikan.

Tanpa kuasa politik tidak ada kuasa ekonomi. Tanpa kuasa ekonomi tidak ada satu habuk. Yang ada hanya selipar Jepun dan kain cukin. Ini difahami jelas oleh Mat Sabu. Tetapi agak kabur dalam pandangan mata para ulama. Justeru kita melihat bagaimana akhbar Utusan Malaysia berhempas pulas cuba menimbul agenda hudud, isu Syiah, isu Allah, semua ini bertujuan untuk memerangkap ahli PAS agar gagal memahami ekonomi sebagai asas politik.

Niat dan cita-cita Utusan ini cukup jelas. Selagi PAS bersama Pakatan, maka kesihatan parti ketuanan Melayu ini akan terus merudum menuju ke liang lahad. Dalam realpolitik, kuasa United Malays National Organsiation hari telah lupus. Yang membolehkan gerombolan ini berkuasa hanya melalui kuasa polis, Cawangan Khas atau kuasa mahkamah. Sebanyak 52 peratus akyat Malaysia tidak lagi menyokong United Malays National Organisation dan konco-konconya.

Apakah para ulama tidak melihat ini? Jawabnya, ada melihat dan ada tidak. Kalau kita perhatikan dunia Islam hari ini ialah melimpah dengan kekayaan hasil bumi. Sayangnya kekayaan negara Islam ini disaluti dengan kebebalan fikrah warganya. Tidak ada yang alim dan tidak ada yang ulama. Para alim dan ulama ini hanya tinggal nama sahaja.

Mengikut Mat Sabu gerakan Islam hari ini masih lagi di tahap ‘takfiri'. Masih lagi membincangkan apa yang suci dan apa yang haram. Masih lagi menuduh siapa kafir dan siapa boleh masuk syurga. Islam gagal untuk mengajukan satu sistem sosial yang berkebajikan. Walhal hampir tiga suku ayat-ayat dalam Quran ialah tentang kebajikan umat manusia.

Semenjak tahun lalu mimpi berahi United Malays National Organisation dan Utusan Malaysia ialah kekalahan Mat Sabu. Gerombolan Ketuanan Melayu bermimpi sambil merancang agar parti PAS akan meninggalkan Pakatan. Jika semua ini gagal, parti ketuanan melayu berharap PAS akan kembali menjadi parti ‘takfiri' yang akan menuduh sesiapa sahaja sebagai kafir dan musuh Islam.

Gerombolan ketuanan Melayu berharap PAS akan menjadi parti politik yang kerjanya hanya mengeluarkan fatwa fatwi untuk menghukum dan mengkafirkan sesiapa sahaja yang dianggap tidak bersetuju dengan garis politik PAS. Bila ini berlaku maka anak muda akan lari lintang pukang menjauhi PAS. Bukan takut dengan PAS tapi menyampah dengan parti kolot yang mengganggu hidup mereka.

Jika ini terjadi maka jaringan luas yang wujud hari ini, dari anak semua bangsa dan dari agama semua kaum yang menyokong PAS akan kendur.

Inilah yang dikatakan oleh Mat Sabu "wilayah takluk PAS hanya bermula dari Rantau Panjang dan berakhir di Kemaman".

Maka akan bergumbiralah ahli United Malays National Organisation kerana mereka boleh merompak harta negara tanpa sekatan.

Setakat ini Utusan Malaysia akhbar milik parti ketuanan Melayu sedang berkempen memutar alam. Tapi ahli PAS yang bersidang ke muktamar telah dewasa. Setitik dakwat Utusan telah diketahui jantan betinanya.

Kredit kepada TT

Kerajaan di penghujung hayat


Kerajaan di penghujung hayat adalah kerajaan yang telah zahir padanya tanda-tanda keruntuhan. Banyak petanda bahawa sesebuah kerajaan itu menuju kepada penghujungnya. Antara tanda yang jelas apabila negara sudah tidak terkawal dengan terlalu banyak konflik berlaku sesama rakyat. Kerajaan kelihatan bersikap tidak tolerance dan dibenci oleh banyak puak dan pihak yang merasakan mereka tertindas ataupun hak mereka diketepikan dalam negara sendiri. Kebencian merayap dan keinginan rakyat untuk keadaan itu dihapuskan membuak-buak. Akhirnya rusuhan dan pergaduhan kaum dan puak mula tercetus.

Jika kita lihat dalam sejarah, kejatuhan empayar dan dinasti ialah bermula apabila mereka bersikap tidak tolerance sehingga dalam negara berlaku banyak konflik antara rakyat. Kerajaan bersifat kepuakan dan gagal menaungi inspirasi rakyat yang pelbagai. Politik pecah perintah mungkin menguntungkan golongan politik tertentu untuk sementara waktu, tetapi akhirnya akan menjadikan negara porak peranda.

Firaun mengamalkan politik yang sama yang akhirnya menjatuhkan kerajaannya yang penuh bersejarah. Firman Allah: "Sesungguhnya Firaun telah melampau di bumi (Mesir), dan dia menjadikan penduduknya berpuak-puak. 

Dia menindas satu puak kalangan mereka dengan membunuh anak-anak lelaki mereka dan membiarkan hidup anak-anak perempuan mereka. Sesungguhnya dia dari golongan yang membuat kerosakan. Dan Kami (Allah) hendak memberikan kurnia kepada kaum yang tertindas di negeri itu, dan Kami (Allah) hendak menjadikan mereka pemimpin-pemimpin, serta hendak menjadikan mereka orang-orang yang mewarisi (peninggalan Firaun)." (Surah al-Qasas ayat 4-5).

Malaysia 

Jika kita lihat keadaan negara ini, kita dapati telah lahir ciri-ciri negara ataupun kerajaan di penghujung hayat. Negara ini sejak kebelakangan ini penuh dengan konflis yang memecah belahkan antara rakyat. Konflik antara agama dalam pelbagai isu yang mana kerajaan kadang-kala mengambil pendekatan yang kurang seimbang. Golongan agama rasmi pula dibiarkan memilih pandangan-pandangan yang bersifat yang tidak sesuai serta sempit untuk masyarakat majmuk. Bermula dari isu larangan orang bukan Muslim masuk masjid sehingga ke isu kalimah Allah kelihatan ditangani dengan nada yang mencetuskan ketegangan antara rakyat. Kenyataan-kenyataan yang bersifat provokasi seakan mendapat tempat dalam media rasmi negara.

Demikian isu-isu perkauman dibangkitkan dalam pelbagai rupa. Golongan yang bersifat rasis memainkan peranan mereka. Sebelum pilihanraya kita lihat isu-isu agama dan kaum yang bersifat provokatif serta berpotensi mencetuskan ketegangan dan rusuhan seakan digalakkan. Kemudian selepas itu, dipanaskan dengan isu-isu mazhab dan aliran fikir dalam Islam. Pegawai KDN yang sepatutnya bertugas menjaga kedamaian negara, bertindak bagaikan batu api yang boleh mencetuskan kebencian dan salah sangka rakyat terhadap kerajaan.

Golongan agamawan bergaji dan tidak bergaji, dihasut oleh beberapa orang dari aliran pengkafir umat iaitu Ahbash yang dalam rekod mereka telah berjaya menimbulkan ketegangan mazhab dan pertumpahan darah di Lebanon sehingga membawa pembunuhan antara aliran di sana. Kini mereka meresap ke dalam negara ini.
Kerajaan tidak boleh terbabit dengan perbalahan aliran fikir. Kerajaan dalam era dunia terbuka hari ini hendak bersifat penaung yang melindungi kebebasan setiap rakyat dengan syarat tidak menggugat keamanan awam. Kerajaan yang matang dan demokratik akan menangani perbezaan rakyat dengan cara yang bijaksana. Kerajaan hendaklah tahu apabila kita mengiktiraf kewujudan sesuatu aliran, bukanlah bererti kita mengakui kebenarannya. Jangan keliru antara mengiktiraf kebenaran di sudut akidah ataupun fekah, dengan mengiktiraf hak kewujudan di sudut politik. Kita mungkin tidak mengiktiraf kebenaran agama dan aliran tertentu, tapi kita mengiktiraf kewujudan dalam negara selagi mereka mematuhi undang-undang negara.

Kepelbagaian

Kebenaran itu boleh menjelma dalam pelbagai ungkapan sekalipun berbeza-beza puak dan aliran. Sebahagian perbezaan itu hanyalah pada cara ia dibahaskan tetapi natijahnya sama iaitu menuju kepada kebenaran. Kerajaan tidak boleh terikut-ikut dengan golongan fanatic perkauman ataupun aliran yang mencetuskan huru-hara antara rakyat disebabkan perbezaan ungkapan dan ucapan, padahal maksudnya sama.

Saya tertarik dengan kisah tokoh besar ilmu kalam iaitu al-Imam Abul Hasan al-Ash'ari (meninggal tahun 330H) yang dinobatkan sebagai benteng Ahlus Sunnah wal Jama'ah dalam menghadapi serangan falsafah. Kata al-Imam al-Zahabi (meninggal 748H) meriwayatkan daripada Zahir bin Ahmad al-Sarakhsi kisah akhir hayat al-Imam Abul Hasan al-Asy'ari: "Apabila ajal menghampiri Abul Hasan al-‘Asy'ari di rumahku di Baghdad, beliau memanggilku. Aku pun datang. Beliau berkata: 'Aku bersaksi bahawa aku tidak mengkafirkan seseorang pun dalam kalangan ahli Kiblat (mereka yang bersolat). Ini kerana setiap orang menuju kepada Tuhan Yang Satu Yang Disembah. Hanya semua ini (perbezaan yang ada) adalah perbezaan ungkapan semata'.

Kemudian al-Imam al-Zahabi menyebut: "Demikian juga guru kami Ibn Taimiyyah pada akhir hayatnya berkata: "Aku tidak mengkafirkan seseorang pun dari umat ini. Nabi SAW bersabda: "Tiada menjaga wuduk melainkan seorang mukmin", maka sesiapa yang melazimi solat dengan wuduk maka dia muslim." (Siyar A'lam al-Nubala, 15/88. Beirut: Muassasah al-Risalah)

Remeh temeh

Kemudian, isu-isu remeh digunakan dalam untuk menimbulkan ketegangan dalam masyarakat. Kuasa agama cuba diheret bersama. Penguasa seakan membiarkan kekalutan ini. Label-melabel dijadikan mainan yang dicampur kuasa pentadbiran. Sebahagian golongan intelek Melayu dilebelkan sebagai liberalist dan diancam dengan kuasa politik. Ada yang dilabel wahabi dan digunakan kuasa pentadbiran.

Untuk membincangkan masalah theology dalam kalangan intelek tidak mengapa. Namun campur tangan kuasa politik dan kuasa agama serta kesempatan yang ambil oleh pihak yang berkepentingan, boleh mencerumuskan negara ke dalam kegawatan.

Hendaklah kita tahu dalam sejarah golongan agama sama ada Yahudi, Kristian dan juga Islam mereka sering mengambil pendekatan memfitnah orang yang berbeza dengan mereka dan mencari penguasa untuk menghukum lawan ataupun pesaing mereka. Ini kerana golongan agama - kecuali yang ikhlas - sering mengumpulkan pengaruh seperti yang dilakukan oleh orang politik dan rela mempertaruhkan apa sahaja untuk survival pengaruh mereka. Rela membunuh dan menyeksa pihak yang berbeza. Inilah yang dilakukan terhadap al-Imam al-Syafi'i, al-Imam Ahmad bin Hanbal, Ibn Taimiyyah dan lain-lain. Dalam sejarah agama Kristian inilah yang berlaku terhadap Martin Luther dan aliran Protestan.

Di satu sudut yang lain, golongan agamawan jenis ini menyibukkan diri dalam isu-isu remeh yang tidak memberikan banyak manfaat kepada rakyat seperti isu qunut subuh ataupun tidak. Padahal itu hanya perkara sunat dalam mazhab Syafi'i. Demikian juga dianggap Wahabi mereka yang mereka solat tarawih lapan rakaat. Padahal rakyat Malaysia yang solat lapan rakaat tarawih bukan kerana Wahabi ataupun tidak. Saudi yang dikatakan Wahabi itu solat 20 rakaat. Di mana Wahabinya? Itu berdasarkan keadaan masing-masing. Patutnya golongan ustaz ini sibuk dengan yang langsung tidak solat.

Malangnya dalam masa yang sama, ramai golongan agamawan berjawatan ini tidak pula menyibukkan diri dengan isu-isu masyarakat yang penting untuk rakyat seperti pandangan Islam tentang ketelusan, rasuah, cukai, isu-isu yang dibangkitkan oleh audit negara, pembaziran dalam kerajaan-kerajaan negeri dan pusat, soal social justice dan pelbagai lagi yang sangat penting dalam Islam.

Konflik

Hasilnya, negara terjerumus dalam konfliks tidak berfaedah. Dari satu konflik kepada satu konflik. Ia menafikan sifat negara yang mahu maju ke hadapan. Ia hanya memesongkan rakyat dari isu-isu penting yang lain dan mengheret mereka kepada pergaduhan sesama sendiri. Dalam satu keadaan mungkin pemerintah beruntung kerana rakyat tidak tertumpu kepada menilai pemerintah kerana sibuk dengan isu pinggiran. Namun dalam jangka tertentu ketegangan boleh membawa kebencian dan seterusnya ketidaksetiaan kepada negara mungkin boleh berlaku.

Maka, kini negara kelihatan berselerakan. Badan-badan agama sibuk mencari isu-isu perbezaan bukan nilai-nilai persamaan untuk diambil manfaat antara rakyat. Orang politik tumpang sekaki. Slogan 1Malaysia yang meraikan perbezaan dan menghidupkan kesatuan antara rakyat menjadi slogan kosong yang tidak bermakna.

Akhirnya kelompok-kelompok minoriti walaupun berbeza antara satu sama lain, tetapi bersatu atas satu asas iaitu membenci kerajaan dan pengurusan kerajaan yang ada. Lalu mereka menjadi majoriti. Jika mereka itu terlebih ekstrim, mereka mungkin mencari jalan menimbulkan ketegangan balas. Golongan muda dan berminda terbuka menganggap kerajaan ini tidak layak mengepalai politik yang sederhana dan bersikap terbuka serta adil dalam penilaian. Kelompok berpendidikan dan moderate inginkan keharmonian dan keadilan untuk semua. Maka kerajaan ini menjadi makin tidak popular dalam kalangan cerdik pandai yang menjadi tulang belakang negara. Negara pun mula reput, kedamaian mula diragut dan berada di penghujung hayatnya.

Kredit kepada Dr MAZA