Trafik

Tuesday, February 18, 2014

Himpunan 222 Hentikan Sistem PBS Yang Mendera Guru

 
Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (Gamis) mengutuk usaha melabelkan himpunan membantah pelaksanaan sistem aplikasi Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) sebagai satu usaha 'menggulingkan kerajaan'.

Presidennya, Abdul Malik Ab Razak turut menyelar pegawai kerajaan yang kini diwarisi daripada menteri kerana mengeluarkan kenyataan tidak matang terhadap permasalahan guru-guru dan enggan mendengar keluhan rakyat.

Beliau merujuk kenyataan Yang Dipertua Majlis Pegawai Pendidikan Daerah Malaysia, Shafruddin Ali Hussin yang dilapor mendakwa himpunan itu merupakan dakyah pihak tertentu yang mahu menjatuhkan kerajaan dan menggugat Kementerian Pendidikan Malaysia demi kepentingan diri.

"Gamis melihat bahawa dakwaan yang tidak matang sebegini sudah mula diwarisi daripada menteri kepada pegawai-pegawai kerajaan yang enggan mendengar keluhan serta masalah rakyat.

"Gamis dengan ini menyatakan sokongan sepenuhnya terhadap penganjuran Himpunan 222. Gamis juga komited untuk turut serta berpartisipasi dalam himpunan ini...," kata Abdul Malik dalam kenyataannya.

Himpunan itu akan berlangsung pada 22 Februari ini digerakkan NGO Suara Guru Masyarakat Malaysia (SGMM).

Dilaporkan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata Kementerian Pendidikan perlu mengkaji semula pelaksanaannya ekoran pelbagai masalah dalam urusan merekodkan butiran dalam pangkalan data pengkomputeran sistem berkenaan.

Sementara itu, dalam kenyataan berasingan, NGO mesra PKR Jingga 13 turut menyatakan sokongan kepada himpunan anjuran NGO itu dengan menyeru guru, ibu bapa dan pejuang pendidikan bersama-sama menyertainya.

Konsisten sokong

Ketua koordinatornya Fariz Musa berkata sokongan konsisten pihaknya terhadap SGMM bagi memperjuangkan nasib guru yang didakwanya dizalimi oleh sistem yang mengekang kredibiliti guru dan menggadaikan mutu pendidikan negara.

"Mansuhkan segera PBS dan satu sistem yang lebih komprehensif dan kondusif perlu dilaksanakan agar menggangkat mutu profesion perguruan dan melahirkan generasi yang terbilang berteraskan pendidikan yang cemerlang," katanya.

Manakala Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) Amidi Abdul Manan pula menggesa sistem itu ditangguh serta merta bagi membolehkan kajian, perancangan dan persiapan infrastruktur dibuat dengan sempurna.

Beliau juga kesal dengan pemimpin negara tidak mengambil iktibar kegagalan pelaksanaan Pembelajaran dan Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang dibuat dengan tergopoh gapah tanpa kajian yang mencukupi.

"ABIM juga menyarankan agar sebarang penambahbaikan dan perubahan pada mana-mana peringkat dalam sistem pendidikan samada dasar, pengurusan mahu pun prasarana hendaklah menerusi satu kajian yang utuh demi kebaikan dan manfaat generasi masa hadapan.

"Sebarang perubahan yang bersifat populis perlu dihindari atas keghairahan mahu meninggalkan legasi yang boleh merencatkan pengukuhan sistem pendidikan arus perdana secara menyeluruh," kata Amidi.

No comments:

Post a Comment