Trafik

Saturday, October 25, 2014

Anwar akan dipenjarakan lebih lama?



Menurut laporan dari Malaysiakini, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui bukan saja beliau bakal berdepan hukuman penjara kerana kes liwat kedua, bahkan terdapat kemungkinan berdepan hukuman penjara tambahan atas dakwaan kes hasutan.

Katanya, meskipun beliau dipenjarakan kerana kes liwat yang bakal diputuskan Mahkamah Persekutuan, kemungkinan pihak berkuasa mahu beliau mendiami penjara lebih lama dengan kes hasutan - mungkin lebih lima tahun.

"Kes (hasutan) ini diluar siasatan polis kerana mereka telah menutup kes ini. Tetapi ada arahan dari Putrajaya kepada Pejabat Peguam Negara (AG). "Saya ada masalah dengan AG, (Tan Sri) Abdul Gani (Patail) kerana beliau menganggap ia peribadi, walaupun saya amat berhati-hati.

"Saya hanya bercakap menentang sistem, kemungkinan penglibatan perdana menteri (dalam kes Altantuya Shaariibuu) dan langsung tidak menyentuh AG.

"Saya diberitahu mereka (polis) perlu mengambil keterangan saya kerana mereka (kerajaan) mahu membuat pendakwaan (hasutan), dan sepatutnya ia disediakan minggu depan (selepas kes liwat)," kata beliau ketika wawancara dengan Malaysiakini.

Nota : Tindakan zalim ini mungkin mahu menyekat Anwar dari memegang tampuk pemerintahan kerana sebaik sahaja  beliau dimasukkan ke dalam penjara, Kerajaan sekarang mengarahkan SPR cepat-cepat mengadakan PRU14. Selepas 5 tahun apabila PR menang PRU14 Anwar dikhuatiri akan kembali cergas dalam politik, maka itulah sebab dilanjutkan tempoh penjara...


Ulasan menarik Abu Hasan Adam mengenai Anwar



SAUDARA ANWAR ‘……..THE LAST STRAW….”

 Peribahasa Inggeris ada menyebut, ‘ it is the last straw that breaks the camel’s back’. Lebih kurang maknanya adalah sesuatu keadaan yang pada mulanya dianggap kecil akan bertukar menjadi sesuatu yang besar disebabkan sesuatu peristiwa yang dianggap remeh atau tidak mendatangkan kesan yang mendalam.

 Perbicaraan mengenai rayuan Saudara Anwar Ibrahim yang akan datang bukan merupakan peristiwa ‘ditelan mati emak dan diluah mati bapak”.

Bagi aku tidak ada ‘dilemma’nya dalam menentukan keputusan perbicaraan itu.

Namun demikian segala keputusan terletak di atas kebijaksanaan para hakim yang mengendalikan kes berkenaan.

Bagi ‘orang luar’ seperti aku sekiranya Saudara Anwar ‘dihumban’ ke penjara bermakna akan lahir seorang lagi ‘Nelson Mandela’ di negara kita Malaysia.

 Itulah senario yang dapat aku bayangkan yang akan terjadi di Malaysia dan tentang bagaimana reaksi rakyat Malaysia secara keseluruhannya terhadap pemenjaraan Saudara Anwar adalah diluar kemampuan aku untuk menggambarkannya.

Berbagai spekulasi telah diutarakan oleh penganalisis politik tanah air. Sekiranya Saudara Anwar dipenjarakan begini jadinya dan sekiranya ‘dilepaskan’ begitu pula jadinya.

 Bagi aku tidak ada ‘kalau’nya. Minat aku terhadap perjuangan Nelson Mandela dan Martin Luther King tidak ada batasnya. Dan mengikut pengamatan aku perjuangan Saudara Anwar Ibrahim juga adalah lebih kurang sama dengan perjuangan kedua-dua tokoh ini.

Mungkin agak keterlaluan bagi setengah pihak apabila aku membuat perbandingan sedemikian.

Namun setelah mengikuti sekian lama perjuangan Saudara Anwar Ibrahim tidak syak lagi bahawa ‘langkah’ Anwar adalah lebih kurang sama dengan ‘langkah’ Mandela dan Martin Luther Kings.

 Ada pihak yang merasakan bahawa Pakatan Rakyat akan menghadapi masalah sekiranya ketiadaan Saudara Anwar. Apakah ‘padam’ api perjuangan rakyat Afrika menentang Apartheid setelah Mandela dipenjarakan selama 27 tahun? Apakah malap perjuangan rakyat kulit hitam di Amerika Syarikat setelah Martin Luther King di tembak. “I have a dream’nya terus menjadi mimpi dan igauan rakyat kulit hitam sehingga akhirnya berjaya juga meletakkan Obama (kulit hitam) ditakhta Presiden Amerika.

Dan sekiranya kita beranjak ke belakang lagi melihat sejarah perjuangan Jose Rizal menentang Sepanyol, akan dapat lihat bahawa obor perjuangan tokoh-tokoh ini tidak akan padam. Berbagai tindakan dilakukan oleh Sepanyl namun gagal juga akhirnya.

 Begitu jugalah dengan perjuangan yang telah dilancarkan oleh Saudara Anwar Ibrahim.

Sebagaimana yang pernah aku katakan dalam blog terawal bahawa ‘Anwar’ sudah berada di mana-mana dalam hati sanubari rakyat Malaysia, samada di bandar, di kampung, golongan elit, pemuda,wanita dan yang paling menakjubkan lagi ialah beliau telah menjadi ikon rakyat Malaysia dari semua bangsa dan keturunan.

Lebih jauh dari itu perjuangan beliau telah diketahui oleh kebanyakan penduduk dunia yang mengikuti siaran CNN, BBC, Aljazeera, dan puluhan akhbar dunia yang menyiarkan ucapan dan temuramahnya. Beliau akan terus ‘hidup’ walaupun dipenjarakan.

Sekiranya ada pihak yang merasakan bahawa dengan memenjarakan beliau akan melemahkan Pakatan Rakyat, bagi aku tanggapan sedemikian merupakan satu kesilapan yang amat besar. Saudara Anwar Ibrahim adalah merupakan ‘catalyst’ sesuatu perjuangan.

Maksud aku bukan badan tubuh Anwar Ibrahim yang dilihat oleh rakyat terbanyak, tetapi roh perjuangannya akan ‘menakluki’ hati dan perasaan rakyat terbanyak. Aku yakin yang musuh politik Saudara Anwar juga faham tentang hakikat ini.

Sekiranya mereka tidak faham, masakan berbagai langkah dan tindakan yang dilakukan bagi menyekat kemaraan Saudara Anwar dalam politik tanah air.

 Mungkin ada juga yang memikirkan bahawa sekiranya Saudara Anwar Ibrahim dipenjarakan, pasti akan wujud suatu ‘mercu tanda’ baru dalam pemikiran rakyat terbanyak bahawa perjuangan yang dilancarkan oleh Saudara Anwar Ibrahim perlu diteruskan tanpa ada titik noktahnya.

Mungkin keadaan politik kini agak ‘sejuk’ disebabkan tidak ada petanda baru yang ‘menghangatkannya’.

Dan sekiranyalah Anwar dipenjarakan maka akan muncul suatu kesedaran baru dikalangan rakyat sepertimana tindakan mereka terhadap ‘mata lebam’ pada tahun 1999 dulu.

 Barisan Nasional terselamat pada ketika itu disebabkan kesedaran golongan bukan Melayu terhadap persitiwa demikian kurang meluas berbanding dengan keadaan yang berlaku kini.

Lantas undi bukan Melayu masih memihak kepada Barisan Nasional disamping belum wujudnya media sosial secara meluas dan berkesan. Dan dalam masa yang singkat, isu ‘mata lebam’ telah menjalar seperti ‘api ditiup angin’ keseluruh pelusuk negara.

 Itu suasana tahun 1999 setelah Saudara Anwar dipenjara. Kini adalah tahun 2014, lebih kurang tiga tahun menjelangnya PRU 14. Pasti isunya adalah ‘ Anwar dipenjara’.

Isu sedemikian pasti digembar-gemburkan dan seolah-olah memberikan ‘peluru’ yang amat berkesan kepada pihak pembangkang. Jikalau pada tahun 1999, kempenya kurang berkesan tetapi kempen kali ini akan jauh lebih berkesan daripada keadaan sebelumnya.

 Perkembangan terbaru yang membimbangkan pihak tertentu adalah keberanian yang ditunjukkan oleh setengah pemimpin pelajar dari pusat pengajian tinggi terhadap perjuangan Saudara Anwar Ibrahim. Hal ini tidak berlaku sebelum ini.

Dan sekiranya para pelajar sudah mula tampil, maka sesuatu perubahan pasti akan berlaku. Sejarah telah menunjukkan bahawa sesuatu perubahan biasanya dicetuskan oleh pelajar pusat pengajian tinggi.

 Sekiranya ada pihak tertentu yang boleh berperanan untuk ‘menghalang’ Saudara Anwar dari dipenjara, aku pasti tindakan sedemikian perlu dilakukan kerana ‘jangan disangka air tenang tiada buiaya’.

Itulah gambaran sebenar di negara ini. Mungkin para pemimpin atasan tidak melihat ‘kocakan’ yang berlaku ‘di bawah’ dan janganlah meletakkan harapan begitu tinggi kepada ‘pengaruh’ BRIM, kerana ‘pengaruh’ sedemikian akan lenyap dalam sekelip mata. 

Hanya sekadar mengajak rakyat berfikir…..

abuhassanadam
26 Oktober 2014

Thursday, October 16, 2014

Kebaikan & keburukan kempen bawa bekal ke sekolah



Kluang : Apabila menteri Hasan Malek yang jaga peruncitan dan pengguna melancarkan kempen bawa bekal ke sekolah, agaknya beliau dan pasukannya tidak fikir panjang kesan rantaian dari kempen tersebut.

Di sini saya senaraikan beberapa kebaikan dan keburukan kempen berkenaan. Ia bukan menghalang kempen tersebut yang bertujuan untuk menjimatkan poket ibubapa tetapi terpulanglah kepada pilihan masing-masing. Hak rakyat untuk mendapat makanan dengan harga yang berpatutan bukan yang mahal dan membebankan. Semoga ia bermanfaat.

Kebaikan


  1. tidak perlu beli makanan di sekolah
  2. tidak payah beli air minuman di kantin
  3. jimat wang saku
  4. resepi sarapan kegemaran ibu 
  5. penjual tupperware untung lumayan
  6. hilangkan sifat malu dan segan pelajar dengan membawa bekal
  7. kebersihan terjamin


keburukan


  1. makanan kantin tidak laku
  2. air minuman di sekolah tidak laris
  3. pengusaha kantin rugi besar
  4. masa yang panjang menyediakan persiapan
  5. bahan masakan kena beli awal, masa, tenaga dan wang juga
  6. pelajar malu membawa bekas makan, sudu & botol air serabut berbagai
  7. air sejuk bekal dari rumah tidak tahan sampai tengahari
  8. bahanapi masak/gas rumah mahal
  9. menu bekal tak banyak pilihan, biasanya pilihan ibu bukan pilihan anak/pelajar
  10. sanggup ambil pembantu rumah untuk masak bekal lagilah banyak belanja
  11. masakan amah yang kadangkala lidah mereka tidak ikut selera tradisi kita (baca tidak pandai masak)
  12. ibu yang bekerja akan tertekan dan kalut

Nota : Dulu ada kempen makan dan minuman percuma kepada pelajar yang terpilih di sekolah. Bayangkan bagaimana seorang murid akan belajar dengan tenang dan fokus apabila perutnya kosong. Roti... oh roti...

RSB

Kempunan Noh Omar, Saya baru 3 minggu pegang MB : AA



KUALA LUMPUR: "Tiada siapa yang menangis," demikian reaksi Mohamed Azmin Ali berhubung krisis berpanjangan kedudukan jawatan menteri besar Selangor yang disandangnya kini.

Dalam nada gembira dan tenang, Azmin yang juga ahli parlimen Gombak bersyukur krisis politik di Selangor berjaya diselesaikan dengan baik. "(Krisis) Selangor sudah selesai secara baik.

Alhamdulillah tak ada siapa pun yang menangis. Yang menangis sebelah sana (Barisan Nasional)," katanya sinis pada persidangan Dewan Rakyat di sini, Khamis.

Terdahulu ketika menyertai perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2015, Datuk Seri Noh Omar (BN-Tanjong Karang) cuba 'mengusik' Menteri Besar Selangor yang baharu itu supaya menyelesaikan beberapa isu ekonomi di negeri yang ditadbirnya.

Bagaimanapun menurut Azmin, beliau yakin dapat menguruskan pentadbiran kerajaan negeri dengan baik. "Tugas ini adalah tanggungjawab, bukan keistimewaan. Bagi peluang untuk saya bentang Belanjawan 2015 Selangor nanti.

"InsyaAllah saya akan beri perhatian soal pendidikan dan ekonomi negeri termasuk pelaburan. Ini baru tiga minggu (jadi menteri besar)," katanya.

Konflik pelantikan menteri besar Selangor akhirnya berjaya diselesaikan selepas Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail terpaksa akur dengan keputusan Istana Selangor memilih Azmin.

Dr Wan Azizah sebelum ini diangkat oleh partinya sendiri sebagai calon tunggal jawatan berkenaan walaupun mendapat tentangan daripada sekutu Pakatan Rakyat iaitu PAS. Mstar

Nota : Beri Azmin peluang untuk mentadbir Selangor dengan baik, adil, maju dan berkebajikan.

Hati-hati, angin kuat, bumbung runtuh di merata tempat



Johor Bahru : Kejadian bumbung jejantas yang jatuh menyembah bumi di lebuhraya Pasir Gudang tempohari masih segar dalam ingatan. Konkrit jejantas masih utuh, tetapi rekabentuk papan iklan yang tidak ada lubang angin dan struktur bumbung jejantas yang diibaratkan seumpama 'layar kapal', maka angin yang kuat telah membawa terbang besi bumbung jejantas itu. Kejadian tersebut sungguh dahsyat dan menggemparkan tetapi mujur tiada kehilangan nyawa dilaporkan.

Manakala hujan lebat dan angin kuat petang tadi menyebabkan bumbung bangunan koperasi Kolej Tunku Kurshiah (KTK) di Bandar Enstek dekat sini, runtuh. 

Bagaimanapun dalam kejadian jam 6.40 petang itu yang menyebabkan keseluruhan struktur bumbung dengan keluasan 731 meter itu runtuh, tidak menyebabkan sebarang kecederaan kepada warga sekolah itu.

Pegawai Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Nilai, Syahrin Simin, berkata pihaknya mendapat panggilan kecemasan pada jam 6.44 petang dan tiba di tempat kejadian pada jam 7.20 malam.

angin kuat

Katanya, seramai 18 pegawai dan anggota bergegas ke tempat kejadian bersama dua jentera bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Nilai dan Seremban 2. "Siasatan mendapati kejadian dipercayai berpunca akibat hujan lebat dan angin kuat. Hampir keseluruhan bumbung roboh," katanya di sini.

Dalam masa yang sama Berita Harian turut melaporkan bumbung surau di Seksyen 20 Shah Alam juga turut runtuh..



SHAH ALAM: Bumbung di bahagian kanan Surau An-Nur Seksyen 20, di sini runtuh mengakibatkan kerugian kira-kira RM100,000, petang tadi. Pengerusi Surau, Mohd Khusairi Ramli, 49, berkata kejadian itu berlaku kira-kira jam 3.30 petang secara tiba-tiba tanpa disebabkan sebarang bencana. Katanya,



Beliau yang berada di pejabatnya di ibu kota mendapat maklumat mengenai kejadian daripada Bilal surau, Harun Din, 67 yang kebetulan berada di rumah berhampiran surau ini. "Bahagian sayap kanan ini baru siap selepas Raya Haji baru-baru ini.

Secara tiba-tiba sebahagian daripada bumbung runtuh manakala sebahagian konkrit masih lagi tergantung. "Ketika solat Magrib tadi, baki bahagian yang masih tergantung pula runtuh. Saya bersyukur tiada dalam kalangan jemaah yang sedang menjalankan solat sebentar tadi cedera ketika kejadian," katanya ketika ditemui pemberita di sini.. ~ BH

Nota : Banyak ucapkan Astagfirullahal azim.. ampunkanlah dosa kami... bumi sudah semakin tua, sudah banyak kerosakan disebabkan tangan manusia,