Trafik

Friday, April 26, 2013

BEKERJA UNTUK CAPAI KEMENANGAN

Alhamdulillah.

Semalam, 26 April 2013 jentera Pakatan Rakyat Sembrong dan Kluang telah menerima semangat baru dengan kehadiran Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail. Beliau telah hadir ke ceramah Pakatan Rakyat yang berlangsung di Bilik Gerakan DAP Paloh.


Ceramah yang dimulai sekitar jam 7.30 malam itu turut membariskan calon-calon Pakatan Rakyat bagi kerusi-kerusi di Parlimen Sembrong dan Kluang. Calon harapan rakyat bagi DUN Kahang, saudara Hamdan bin Basiran turut menyampaikan pidato beliau.

Dalam majlis yang menarik kehadiran sekitar enam ratus orang itu, Datin Seri Presiden melahirkan rasa teruja beliau dengan sokongan daripada penduduk setempat. Beliau mengingatkan hadirin mengenai matlamat perjuangan bagi menuntut keadilan untuk seluruh rakyat Malaysia, dan bukannya kerana Datuk Seri Anwar Ibrahim semata-mata. Beliau juga melahirkan keyakinan yang tinggi bahawa kemenangan akan berpihak kepada Pakatan Rakyat sekiranya semua yang hadir turut membantu kempen dan memenangkan calon di kawasan masing-masing.

 




AYUH, BANGKITLAH RAKYAT JOHOR!!!

JOHOR MAJU DAN BERKEBAJIKAN

KEPIMPINAN, KEPRIHATINAN, KEBENARAN

(SB004)

Saturday, April 20, 2013

CALON HARAPAN RAKYAT: HAMDAN BASIRAN

Hamdan bin Basiran, suatu nama yang tidak asing kepada masyarakat setempat Kluang. Seorang yang dikenali dengan sikap mudah melontarkan senyuman, seringkali menjadi tempat mendengar keluhan dan rintahan masyarakat.

Kehadiran beliau di dalam masyarakat mula dirasai seawal tahun 1998, di mana beliau telah diberi kepercayaan untuk memikul jawatan sebagai Penolong Setiausaha Masjid Jamek Renggam Johor. Di atas sikap keprihatinan beliau, pada tahun 2001, beliau telah menjadi Ahli Jawatankuasa (AJK) Jawatankuasa Kebajikan Peniaga Pasar Tani Daerah Kluang. Dan bermula dari situ, beliau terus menceburkan diri dalam perihal kebajikan masyarakat seperti menjadi AJK dalam Jawatankuasa Bertindak Rumah Terbengkalai Taman Sri Lambak, Pengerusi dalam Yayasan Amal Malaysia Cawangan Johor, Penyelia dalam Pusat Aduan Rakyat Zon Kahang, dan Pengerusi PIBG Sekolah Menengah Bandar Tenggara. Kini, beliau memegang jawatankuasa Timbalan Yang Dipertua Pertubuhan Ikram Malaysia cawangan Simpang Renggam bagi memartabatkan agama Islam khususnya di Daerah Kluang ini.

Anak jati Renggam ini telah lahir pada 11 Mac 1971. Anak yang ke enam dari 8 adik beradik telah mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Seri Kampung Renggam seterusnya melanjutkan pelajaran ke Sekolah Tinggi Kluang dari tahun 1984 hingga 1986. Kemudian, beliau telah menyambung pelajarannya ke Sekolah Dato Haji Hassan Yunos Renggam pada 1987 hingga 1988. Pada tahun 1989, beliau telah menyambung pelajarannya di Universiti Teknologi Mara cawangan Johor dan akhirnya memperoleh Sijil diplomanya dalam Business Studies pada tahun 1992. Kerana sifatnya yang dahagakan ilmu pengetahuan, beliau telah melanjutkan pelajaran dalam bidang Tasawwur Islam pada tahun 2011 dan akhirnya memperoleh Sijil Diplomanya pada tahun 2012 Institut Latihan dan Pengkaderan (ILHAM).

Beliau telah mendirikan rumah tangga dengan Mastura binti Ahmat sejak tahun 1995, dan kini telah dikurniakan dengan seorang anak perempuan dan seorang anak lelaki masing-masing berumur 17 dan 13 tahun. Kini, beliau bertugas sebagai seorang guru di Sekolah Menengah Agama (Arab) Al-Masriyah bagi mendidik anak bangsa menuju kejayaan. Pernah dilantik sebagai Pengurus PASTI Johor pada tahun 2009 hingga 2010, di mana beliau telah menguruskan lebih dari 5000 pelahar dan 200 guru. Beliau merasakan remaja dan belia mempunyai peranan yang penting dalam halatuju negara ini, sehinggakan beliau sentiasa memberi penekanan terhadap pembentukan modal insan.

Keterlibatan beliau dalam bidang politik bermula pada tahun 1998 di mana ketika itu Dato Seri Anwar Ibrahim telah dizalimi. Merasakan perlunya melakukan perubahan kepada system negara ini, beliau telah mengambil keputusan untuk bersama PAS dan Barisan Alternatif untuk memikul tanggungjawab dan amanah ini demi kebaikan masa depan negara. Melihat kepada semangatnya untuk melakukan arus perubahan, beliau telah diangkat menjadi Ketua PAS Cawangan Bandar Renggam.

Pada tahun 1999, beliau telah terlibat dengan skuad kempen bermotosikal, yang kemudiannya menjadi jentera PACA (Polling Agent Counting Agent). Pada tahun yang sama juga beliau telah mejadi aktivis Dun Simpang Renggam bagi membantu Dr Ahmad Faidhi bertanding di dun tersebut. Tahun tersebut menyaksikan perubahan pola politik masyarakat Melayu di mana ramai menyokong Barisan Alternatif yang dipimpin oleh Almarhum Ustaz Fadhil Noor. 
Ketika Johor mengalami musibah banjir besar pada tahun 2006 dan 2007, beliau dan rakan-rakan dari PAS telah turun bersama ke Kota Tinggi dan Segamat bagi meringankan beban yang ditanggung oleh mangsa. Keprihatinan beliau terhadap mangsa kezaliman dapat dilihat apabila beliau terus bersama dengan demonstrasi kebangkitan rakyat seperti GMI, PPSMI, BERSIH dan yang terkini Himpunan Kebangkitan rakyat. Menjadi harapan beliau agak keadilan ditegakkan dan kezaliman dihapuskan tanpa mengira pangkat, bangsa mahupun agama. 

Inilah Hamdan Basiran