Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) adalah langkah ‘regresif’ yang
akan memberi kesan lebih buruk kepada kumpulan miskin dan rakyat
Malaysia yang sudah pun bergelut dengan hutang, kata pakar ekonomi.
Walaupun memuji langkah kerajaan untuk memansuhkan Cukai Barangan dan
Perkhidmatan (SST) untuk diganti dengan GST, kadar 6% yang diumum
Putrajaya hari ini dalam Bajet 2013 dianggap terlalu tinggi, menurut
pakar ekonomi Institut Rakyat, Azrul Azwar Ahmad Tajudin.
"Ini adalah cukai regresif kerana mereka yang berpendapatan rendah dan
sederhana akan terbeban dengan pengenalan cukai ini daripada segi nisbah
kepada pendapatan mereka," kata Azrul kepada The Malaysian Insider.
Azrul juga tidak bersetuju dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib
Razak yang mengatakan pengenalan kadar 6% adalah paling rendah.
"Kerajaan perlu membuat perbandingan pengenalan kadar antara negara dan
bukan pada kadar semasa.
"Singapura semasa memperkenalkan GST hanya pada 3%," terang Azrul lagi.
Pandangan Azrul juga dikongsi oleh penganalisis Sosioekonomi dan Alam
Sekitar (SERI), Dr Michael Lim Mah Hui kerana kadar itu adalah tidak
munasabah memandangkan hutang isi rumah berada pada 80% dan orang ramai
akan terpaksa berbelanja lebih daripada hasil yang diperoleh.
"Akhirnya rakyat terpaksa berbelanja lebih daripada hasil yang mereka
peroleh," kata Lim kepada The Malaysian Insider.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia
(MIER), Dr Zakaria Abdul Rashid tidak menolak dengan inflasi yang
meningkat secara konsisten sejak beberapa bulan lalu, pengenalan GST
akan menekan rakyat.
"Indeks harga pengguna (CPI) ketika ini pada kadar 1.9% dan kita lihat
sejak beberapa bulan ia naik secara konsisten.
"Kalau peningkatan ini berterusan sehinggalah pengenalan GST pada tahun
2015 nanti, ia mungkin menambah tekanan kepada orang ramai," kata
Zakaria.
Indeks CPI bagi tempoh Januari hingga Ogos 2013 meningkat sebanyak 1.7%
kepada 106.5 dibandingkan dengan 104.7 pada tempoh yang sama tahun
lepas.
Berbanding dengan bulan yang sama tahun 2012, CPI Ogos 2013 mencatatkan
kenaikan sebanyak 1.9% daripada 105.0 kepada 107.0 dan apabila
dibandingkan dengan bulan sebelumnya, CPI merekodkan peningkatan
sebanyak 0.1%.
Selain itu, Putrajaya juga telah pun berdepan dengan kritikan susulan
pengurangan subsidi minyak oleh kerajaan sebanyak 20 sen, malah kadar
inflasi Malaysia dijangka meningkat kepada 2.3% menurut pakar ekonomi
Putrajaya, Datuk Seri Abdul Wahid Omar.
Mengenai jaminan untuk memantau pelaksanaan GST di bawah Jawatankuasa
Pemantauan GST, Azrul meragui akan kemampuan Putrajaya untuk menunaikan
janji-janji tersebut berdasarkan kegagalan dalam pelaksanaannya sebelum
ini.
"Saya meragui jawatankuasa yang ditubuhkan tersebut mempunyai kemampuan
untuk menguatkuasa GST ke atas peniaga, pengeluar serta menangani
inflasi.
"Sejak dahulu lagi, tren penguatkuasaan di Malaysia adalah lemah. Adakah
itu membuatkan anda berfikir penguatkuasaan sekarang akan lebih baik
daripada masa lepas?" soal Azrul lagi.
Sebaik pengumuman tersebut, Najib berkata cukai tunggal atau GST itu
akan membolehkan kerajaan menangani kelemahan dalam sistem percukaian
sedia ada.
"Lebih 160 negara di dunia telah melaksanakan GST. Ini jelas menunjukkan
bahawa GST terbukti sebagai satu sistem cukai yang telus, berkesan dan
adil.
"Majoriti negara-negara dunia itu tidak akan melaksanakan GST jika ia
memudaratkan rakyat dan negara," kata Najib.
Dalam pada itu, bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum
ini juga menegaskan pelaksanaan GST haruslah dilaksanakan secara
berperingkat.
"Semuanya harus dilakukan secara berperingkat, perlahan-perlahan, bukan
jumlah sepenuhnya sekali gus, bagi faedah rakyat," kata beliau kepada
pemberita pada Forum CEO Yayasan Kepimpinan Perdana 2013 Jun lalu. ~tmi
No comments:
Post a Comment