Kelmarin saya tergamam apabila Menteri di JPM Menteri menyatakan di
Dewan Rakyat tentang dakwat kekal mengandungi pewarna makanan yang
dibenarkan. Tetapi kenyataan itu tidak mendesak saya untuk menulis
biarpun saya janggal mendengarnya.
Hari ini saya terkedu apabila Menteri Wilayah
Persekutuan pula menyatakan Malaysia tidak perlu menggunakan dakwat
kekal dalam pilihan raya kerana negara ini bukannya seperti "negara
dunia ketiga" lain.
Saya kira kedua-dua kenyataan menteri tersebut terkeluar tajuk. Isunya
ialah mengapa dakwat kekal yang digunakan oleh SPR dalam pilihan raya
yang lalu tidak kekal, bukannya perlu atau tidak perlu menggunakan
dakwat kekal?
Saya kira soal harapan rakyat untuk melihat dakwat kekal seperti yang
dijanjikan tetapi tidak kekal adalah isu besar yang perlu dijawab oleh
menteri yang bertanggungjawab dan SPR. Oleh itu, kenyataan menteri di
atas adalah satu jawapan yang pada saya menggambarkan bukannya negara
kita dunia ketiga, tetapi komen pemimpin kita yang kelas ketiga.
Buat apa kita membandingkan negara kita dengan dunia ketiga yang lain?
Jika kita kahu bandingkan pun, dari segi sistem pengundian, negara kita
masih jauh mundur ke belakang. India dan Indonesia menggunakan dakwat
kekal, tetapi tidak ada kecelakaan yang menimpa pengundi mereka.
Sebaliknya yang berlaku ialah sistem pilihan raya mereka dilihat
demokratik, adil dan memenuhi aspirasi rakyat. Itu yang kita mahu—satu
pilihan raya yang telus dan ada integriti supaya tidak timbul
kontroversi seperti sekarang ini.
Jika kita mahu bandingkan sistem pilihan raya kita dengan di negara
maju, kedudukannya adalah jauh panggang dari api. Di negara maju, sistem
pilihan rayanya adil dan bebas, medianya bebas dan pengurusan pilihan
rayanya baik.
Di negara maju, mereka tidak lagi menggunakan dakwat kekal, tetapi
menggunakan sistem biometrik. Apakah kita mampu menjadi seperti mereka
atau telahpun mencapai tahap seperti mereka?
Baiklah, jika kita tidak mahu gunakan dakwat kekal, saya mahu cadangkan
dalam pilihan raya yang akan datang, kita gunakan mesin mengesan cap
jari. Penggunaan mesin ini baik kerana selain dapat mengesahkan identiti
pengundi, mesin ini juga secara automatiknya dapat menolak mereka yang
cuba untuk mengundi dua kali.
Mengapa timbulnya persepsi adanya pengundian dua kali ini? Ini kerana
keraguan kepada senarai pengundi SPR? Bilakah SPR dapat menyelesaikan
persepsi rakyat yang negatif ini?
YB pemimpin, tolong selesaikan isu dakwat kekal ini dengan baik. Tolong
jangan berikan jawapan yang berterusan mendungukan rakyat.
Setakat ini, saya lihat jawapan pemimpin adalah sama seperti pengail
yang mengail, tetapi memilih menggunakan umpan yang tidak dimakan ikan.
Profesor Mohammad Agus Yusuf
No comments:
Post a Comment