Trafik

Wednesday, March 6, 2013

PAS Main Laut Dalam Bukan Gigi Pantai


 
KEPALA BATAS: PAS kini tidak lagi bermain ombak di gigi pantai tetapi sedang berenang merentasi lautan luas, kata Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa.

PAS kini juga, katanya dilihat sedang mendaki anak tangga ke bangunan tinggi bukan lagi mengharapkan tongkat untuk berdiri.

“Ramai sudah yakin dengan mutu perjuangan PAS, maka menjadi satu kewajiban untuk kita tingkatkan persembahan perjuangan ke arah yang lebih bermutu supaya masyarakat luar PAS dapat menilai,” ujarnya ketika menutup Seminar Persediaan Menghadapi PRU13 anjuran PAS Tasek Gelugor di sebuah hotel di sini, semalam.

PAS sambungnya, tidak lagi dilabelkan parti kampung malahan kini dikenali di seluruh dunia, tambahan sekarang bertekad akan ke Putrajaya bersama Pakatan Rakyat.

Pendekatan yang PAS ambil sekarang katanya, tidak lari dari prinsip asal cuma pembaharuan tersebut dibuat berdasarkan senario politik semasa.

“Ahli PAS hendaklah bersatu kekuatan ketika berenang di lautan luas bukan bercakaran sehingga boleh membawa kepada tenggelam dalam arus kuat. Perubahan strategi boleh dilaksanakan demi senario politik baru. Kita bukan gadai prinsip,” tegasnya.

Beliau yang juga Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional PAS Pusat berkata, kejayaan PAS mewujudkan Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) membuatkan ramai masyarakat bukan Islam mendekati PAS.
“Inilah yang membimbangkan Umno dan BN sebab selama ini mereka gagal meyakinkan orang bukan Islam kepada Islam. Bila PAS berjaya mereka sakit hati lantas memburukkan imej PAS dengan pelbagai cara,” jelasnya yang juga Ahli Parlimen Parit Buntar.

No comments:

Post a Comment