KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak akan melaksanakan proses persempadanan semula kawasan pilihan raya sehingga Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 selesai, kata Pengerusinya Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof.

Beliau berkata, perkara itu diputuskan kerana SPR mahu menumpukan sepenuh perhatian kepada usaha melicinkan urusan pilihan raya umum akan datang.
"Ia tak akan dilaksanakan. Petugas SPR tidak ramai dan kami tidak berupaya untuk melaksanakan kedua-dua tugas yang besar sekali gus iaitu pilihan raya umum dan persempadanan semula. Jadi pada masa ini tumpuan SPR ialah pilihan raya umum.


“Jika ia dilaksanakan ia mesti disiapkan dalam tempoh dua tahun. Kita tidak mahu sekiranya ia sedang dilaksanakan, dengan tiba-tiba Parlimen dibubar dan ini akan menimbulkan masalah,” katanya.

Katanya, persempadanan semula yang sebelum ini dikaji untuk dilaksanakan sejak tahun lalu hanya akan diadakan selepas PRU ke-13.

Mengikut Perkara 113 (2) Perlembagaan Persekutuan tempoh lapan tahun selepas kali terakhir persempadanan semula kawasan pilihan raya telah tamat pada 21 Mac tahun lalu dan membolehkan persempadanan semula diadakan lagi.

Sebelum ini, Abdul Aziz dipetik sebagai berkata persempadanan semula kawasan pilihan raya bukan satu kemestian dalam tempoh lapan tahun.
Kali terakhir persempadanan semula dilaksanakan pada 2003. Pilihan raya umum ke-11 pada 2004.

Menurut fakta SPR, persempadanan semula dilakukan pada 1958, 1974, 1984, 1994 dan 2003.BH