Trafik

Friday, August 22, 2014

Wanita Terlibat Siri Jenayah Ragut, Pecah Kereta, Curi Kenderaan

... jenayah yang kian berleluasa terutama mencuri, merompak dan meragut

Gambar hiasan

Johor Bahru: Dua wanita antara tiga orang yang ditahan bagi membantu siasatan kes seorang penyamun menggigit pegawai dan detektif polis di Jalan Sri Lanang, Kota Tinggi, Selasa lalu. Mereka yang berusia 20-an itu dipercayai rakan jenayah suspek yang terbabit dalam kegiatan samun tepi jalan dan pecah kereta di sekitar bandar raya ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor Datuk Hasnan Hassan berkata, semua suspek ditahan sekitar Kota Tinggi dan ujian air kencing yang dilakukan terhadap mereka turut mendapati positif dadah jenis methamphetamine.

Menurutnya, suspek pertama yang ditahan mempunyai tujuh rekod jenayah serta kesalahan berkaitan dadah dan mereka direman sehingga 26 Ogos untuk siasatan lanjut. “Kejayaan menahan mereka membolehkan polis menyelesaikan 16 kes samun tepi jalan, empat kes pecah kereta dan lima kes curi kenderaan di sekitar kawasan Johor Bahru Selatan, Seri Alam, Johor Bahru Utara dan Kota Tinggi,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini, semalam.

digigit

Kelmarin, akhbar ini melaporkan seorang inspektor dan detektif dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan, cedera digigit suspek samun ketika bergelut untuk menahan lelaki berusia 29 tahun itu. Sebelum itu, pegawai dan anggota polis berkenaan bersama mangsa samun berjaya mengesan penjenayah itu di kawasan Pandan melalui isyarat telefon bimbit iPhone milik mangsa yang dilarikan.

Suspek dikatakan menyamun mangsanya, seorang wanita berusia 37 tahun di hadapan sebuah kedai serbaneka di Jalan Sutera, Taman Pelangi pada jam 7.15 pagi Selasa lalu, selepas melarikan beg tangan wanita terbabit di dalam kereta apabila mangsa berhenti untuk membeli roti.

Bagaimanapun, suspek yang menaiki kereta jenis Nissan Sentra berjaya ditahan pada jam 9.30 pagi di Jalan Sri Lanang, Kota Tinggi selepas bergelut dengan pegawai dan anggota polis. Kereta digunakan suspek dilaporkan hilang dalam di Seri Alam dan polis merampas dua parang, wang tunai RM1,069, enam telefon bimbit, peralatan pecah rumah dan beg.

“Semua suspek disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan kerana samun dan suspek pertama turut disiasat mengikut Seksyen 332 kanun yang sama kerana mencederakan kakitangan awam,” katanya. Metro

Nota : Apa nak jadi dengan wanita zaman sekarang yang sudah tidak malu untuk melakukan jenayah. Jika dadah menjadi punca, akibat ketagih dan mahu mendapatkan bekalan dadah tetapi tiada wang maka sanggup melakukan jenayah untuk melepaskan gian.

Sudah sampai masa pihak berkuasa membentaras pengedaran dadah dan selamatkan generasi kita dari terjebak dengan dadah dan yang sama waktu dengannya seperti arak, samsu dan judi yang semuanya mendatangkan gian dan ketagih.

Slogan Cegah Sebelum Parah jangan dipandang sepi, agak kerap juga pihak berkuasa membuat sidang media menjumpai kilang dan kes penyeludupan dadah tapi tidak jumpa pula pengedarnya yang menjadi dalang. Malaysia mempunyai kanun yang paling berat menghukum gantung sampai mati kepada pengedar dadah tetapi gejala dadah tetap berleluasa. Apakah ini bala? wallahua'alam.

No comments:

Post a Comment