Trafik

Thursday, June 4, 2015

Kluang di pukul badai, ini lah kejadian pertama sejak 70 tahun saya hidup - Cikgu Ali


Lebih 168 Rumah Rosak, Pokok Tumbang Dalam Ribut Di Kluang

KLUANG, 2 Jun (Bernama) -- Lebih 168 rumah di empat kawasan perumahan di Kluang rosak teruk dalam kejadian ribut petang tadi. Pegawai Daerah Kluang Mohd Fuad Radzuan bagaimanapun berkata, dalam kejadian yang berlaku pada kira-kira pukul 6.00 petang itu, tiada kemalangan jiwa dilaporkan. Fuad berkata kejadian menyebabkan beberapa batang pokok tumbang dan kawasan terjejas turut mengalami gangguan bekalan elektrik.

Beliau berkata jumlah penduduk yang terlibat belum dapat dipastikan dan usaha merekodkan jumlah mangsa sedang dilakukan. "Kita akan memaklumkan kejadian kepada Majlis Keselamatan Negara Negeri Johor dan semua agensi kerajaan yang terlibat sudah diarah memberikan bantuan," kata beliau. Fuad berkata Jabatan Kebajikan Masyarakat juga memberikan bantuan makanan dan pelbagai keperluan lain manakala semua rumah yang ditinggalkan juga akan dikawal selia oleh pihak Polis, Rela, Jabatan Pertahanan Awam dan tentera.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba Kluang dan Penolong Kanan Penguatkuasa Bomba Akob Sidek berkata kawasan terjejas adalah Taman Ilham, Taman Ko-Rakyat, Taman Indah Jaya dan Paloh. Beliau berkata pihak bomba Kluang mendapat panggilan kecemasan pada pukul 6.30 petang. "Kira-kira 20 anggota bomba dari Kluang dan 10 anggota bomba sukarela dari Ayer Hitam bersama tiga jentera bomba dikejarkan ke tempat kejadian," kata beliau ketika dihubungi di sini, malam ini. "Kami masih menunggu pendaftaran dari mangsa-mangsa yang terlibat bagi memastikan jumlah yang terjejas teruk.

"Buat masa ini, kami berada di bilik gerakan sementara di Taman Indah Jaya bagi mendaftar mangsa," kata Akob. Akob berkata bagi mangsa yang rumahnya kritikal, mereka akan ditempatkan di dua pusat pemindahan - Dewan Kampung Tengah dan Dewan Kampung Paya. Kejadian yang berlaku selama 15 hingga 20 minit itu turut menyaksikan Paloh mengalami banjir kilat. Bagaimanapun pusat pemindahan mangsa masih belum dipastikan. -- BERNAMA























No comments:

Post a Comment