Trafik

Thursday, September 25, 2014

Penerbit filem geran Finas tidak profesional langsung



Filem sejarah Rentap mendapat tajaan RM3.5 juta daripada kerajaan tetapi setelah dua tahun penggambaran bermula, ia masih belum siap-siap. Ekoran itu, bayaran penuh belum dijelaskan kepada pihak terlibat.

 Bagaimanapun, semalam pelakon, agensi lakonan dan agensi yang menguruskan penginapan semasa proses penggambaran filem itu tampil menuntutnya atas alasan merugikan mereka.

 Persatuan Karyawan Malaysia semalam menampilkan pihak-pihak terlibat untuk menuntut bayaran kira-kira RM75,000 lagi daripada penerbit filem itu, yang juga seorang pelakon. Pelakon Azliyuszaini Mohd Noor atau lebih dikenali sebagai Yuzz menuntut baki bayarannya RM5,000 yang belum dijelaskan untuk lakonanya yang dirakam pada Jun lalu.

 “Penangguhan penggambaran adalah bukan disebabkan faktor lain melainkan pihak produksi sendiri yang telah menyebabkan kerugian kepada saya,” katanya. Sementara itu, agensi pembekal para pelakon warga asing Fretwork Production berkata mereka terpaksa menanggung kerugian jika bayaran tidak dijelaskan segera. Ini kerana, kata pengarahnya Nabilah Ibrahim, mereka kini terpaksa membayar pelakon dengan wang sendiri.

kerugian

 “Untuk agensi yang membekalkan pelakon ‘mat saleh’, kami terpaksa menanggung kerugian sebanyak RM20,000,” katanya. Sementara itu, pengurus penginapan ketika sesi penggambaran, Lake Tembeling Travel Sdn Bhd, pula menuntut RM50,000 daripada penerbit. Pegawai syarikat itu Abdullah Chik juga menjelaskan, selain menguruskan penginapan mereka juga menguruskan makanan kepada krew penggambaran.

 “Pada mulanya, pihak pengurusan produksi memberitahu hanya 40 orang krew yang terlibat dan mereka memberi bayaran sebanyak RM7,000. “Tetapi bila hari sepatutnya (penggambaran), krew yang hadir lebih sehingga 120 orang. Tempat penginapan mereka juga masih tidak berbayar berjumlah RM20,000,” jelasnya. Usaha Malaysiakini mendapatkan reaksi penerbit filem setakat ini masih belum berhasil. Filem sejarah itu mengisahkan tentang seorang pejuang Sarawak sebelum kemerdekaan.


Sementara itu, Persatuan karyawan Malaysia mengingatkan penerbit filem itu supaya melunaskan bayaran tertunggak yang dituntut. Presidennya Datuk Freddie Fernandez (kiri) juga meminta masalah itu secara baik dan mengadakan pertemuan semua pihak bagi menjelaskan keadaan sebenar. “Saya mahu dia (penerbit) tampil kerana mereka ini (mangsa) ingin berbincang secara baik.

Produksi ini juga menerima dana daripada kerajaan dan pihak Finas (Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia) untuk filem ini,” katanya.

 Penerbit beri penjelasan 

 Sementara itu, BH Online melaporkan produksi Unique Twins Sdn Bhd milik Diana Johor dan Lina Johor sebagai mempersoalkan kenapa perkara itu tidak dibawa berbincang dengan baik. “Alasan mereka cakap saya tak jawab panggilan itu tidak benar sama sekali," Diana dipetik sebagai berkata.

 "Telefon saya sentiasa dibuka untuk melayan panggilan. Saya tak sangka mereka boleh mengambil jalan sebegini. Pihak Karyawan sendiri pun ada menghubungi saya, tetapi mereka cakap tak berjaya. Semua itu mengarut.

 "Yang saya terima daripada pihak Karyawan ialah mesej menyuruh saya menghubungi mereka kembali. Kenapa mereka tak hubungi saya sendiri dan menjelaskan apa yang terjadi. Cara ini nampak tak profesional," katanya seperti dilaporkan BH Online.

 Portal itu juga melaporkan Diana sebagai menjelaskan, penggambaran filem epik itu diadakan sejak Jun lalu di Kuala Tahan, Pahang selama dua minggu. Namun, tambahnya, atas beberapa sebab, penggambaran filem itu ditangguhkan dan dijangka diteruskan November depan.

babak

 "Untuk filem ini kita ada 80 babak. Tapi ketika dua minggu penggambaran berlangsung hanya 20 babak disiapkan. Seperti yang diberitahu pihak produksi saya, sepatutnya dalam sehari disiapkan empat babak tetapi jadi satu hari hanya satu babak dilunaskan.

 "Ia sedikit sebanyak memang merugikan pihak produksi. Ada perkara yang tak perlu tetapi nak juga diwujudkan. Bayangkan pelakon tambahan yang perlu datang sehari sebelum penggambaran tetapi sudah ada 10 hari di sana (Kuala Tahan).

 “Ia jadi serabut dan sebab itu penggambaran ini ditangguh kerana kita perlu selidik apa yang perlu dan tidak," katanya. Menyentuh langsung tuntutan Yuzz, beliau berkata, baki 50 peratus lagi tidak dapat dijelaskan buat masa ini kerana tugasnya masih belum selesai. “Bagaimana nak jelaskan baki bayaran sedangkan banyak lagi babak membabitkan beliau belum siap.

"Abdullah Chik pula memang kita tak lantik dia secara rasmi sebagai koordinasi lokasi. Tunjuk bukti kalau ada,” beliau dipetik sebagai berkata. Filem Rentap diarahkan Hashim Rejap dan diterajui pelakon seperti Zachery Francis, Livonia Ricky dan Jasmine Chin. -MK

Nota : Jika penerbit melanggar kontrak, pihak yang teranyianya seperti pelakon, crew dan yang berkaitan sepatutnya sudah mula kumpul maklumat, resit, dokumen, rakaman percakapan, clip, video, sms, whasapps, telegram, instagram, gambar, cari saksi untuk saman ke mahkamah. Jangan sampai jadi kes filem Pasir Salak yang sampai sekarang gagal diterbitkan...

No comments:

Post a Comment