Trafik

Sunday, August 31, 2014

4 bulan gaji sangkut punca merusuh - MTUC



Kulaijaya : Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) hari ini menawarkan diri untuk bekerjasama dengan majikan dan Jabatan Tenaga Kerja untuk menyelesaikan aduan yang dibangkitkan pekerja asing. Presiden MTUC Khalid Atan memberitahu Bernama langkah ini akan turut membantu mengekalkan keharmonian perindustrian di negara ini.

Beliau mengulas dakwaan rusuhan oleh 800 pekerja Nepal di kilang JYC HDD Technology Sdn Bhd di Kawasan Perindustrian Kelapa Sawit, Johor, awal minggu ini. Insiden serupa turut dilaporkan di cawangan syarikat itu di Kawasan Perindustrian Tebrau.

Khalid berkata MTUC mendapat aduan bahawa pekerja terbabit didakwa dianiayai dan ada antara mereka tidak dibayar gaji empat bulan. Bagaimanapun, Khalid berkata ini tidak bermakna MTUC membiarkan keingkaran atau tindakan merusuh dilakukan pekerja, sebaliknya sentiasa menggalakkan pekerja supaya "melindungi hak mereka menerusi saluran perundangan." - Bernama

Nota : Kebajikan pekerja mesti diutamakan, kasihan melihat pekerja disumbat dalam bagunan rumah kedai, tiada kipas, bilik air tidak mencukupi, bila hari gaji, berbagai alasan yang diberi kepada pekerja, ada pula yang memanggil pihak berkuasa seperti PDRM, Imegeresen & Rela untuk operasi menangkap, seronoknya dan senangnya perbuatan menganianya pekerja, gaji tidak perlu bayar. Majikan sebegini mesti dihukum. Ini bukan zaman hamba abdi tetapi malangnya, sudah 57 tahun merdeka, kapitalis ini masih tidak sedar.

Tipu wang menang hadiah berleluasa di Kluang


Kluang: Sindiket penipuan SMS dikesan memperdaya lebih 10 mangsa di daerah ini dengan taktik memberikan soalan teka teki mudah sebelum ‘menyedut’ semua wang dari akaun bank mangsa.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Mohd Roze Shaari berkata, pihaknya sudah menerima banyak laporan polis berkaitan kes penipuan SMS dipercayai dilakukan sindiket berkenaan membabitkan kerugian antara RM2,000 hinggga RM5,000 setiap seorang.

Menurutnya, modus operandi sindiket berkenaan adalah dengan menghantar sms kepada mangsa dan memberitahu mangsa memenangi peraduan anjuran syarikat produk minuman, syarikat petroleum atau syarikat telekomunikasi. “Mangsa bagaimanapun perlu menjawab beberapa soalan melalui SMS.

Soalan yang diberi suspek amat mudah untuk dijawab. “Suspek akan meminta mangsa memasukkan wang ke dalam akaun bank diberikan dengan alasan bagi memproses pemindahan wang yang dimenangi,” katanya. Mohd Roze berkata, kebanyakan mangsa terpedaya dengan suspek selepas diarahkan pergi ke mesin juruwang automatik (ATM) untuk mengaktifkan sistem perbankan internet.

sekelip mata

Menurutnya, suspek akan memberi tunjuk ajar berhubung cara mengaktifkan sistem perbankan internet supaya sindiket memperoleh akses kepada akaun mangsa. “Penjenayah kemudian memindahkan semua wang mangsa ke dalam akaun lain dalam sekelip mata.

“Ada mangsa mendakwa pernah kehilangan wang dari akaun mereka beberapa bulan selepas itu kerana suspek masih mempunyai nombor pin dan kata laluan untuk akses ke akaun milik mereka,” katanya. Beliau menasihati orang ramai tidak mudah terpengaruh dan percaya dengan tawaran diberikan, sebaliknya segera menghubungi pihak polis.



 “Orang ramai juga boleh merujuk kepada Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) atau balai polis berhampiran untuk nasihat lanjut,”katanya. Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/30 Metro

Nota : Berhati-hati apabila menerima SMS yang mengatakan anda memenangi hadiah peraduan daripada syarikat berjenama masyhur apatah lagi sendiket ini memang mengambil kesempatan kerana tahu ramai orang kesempitan wang terutama selepas sambutan hariraya.

Saya juga antara mangsa SMS tersebut yang menyebut saya memenagi hadiah peraduan sebanyak RM14 ribu dari syarikat pertoleum berlambang kerang. Mujur saya abaikan dan bertanya sendiri dengan pihak syarikat. Kita berharap pihak PDRM segera menangkap dalang sendiket penipuan  ini dengan kerjasama pihak bank.

Pesara tentera berhak miliki MH370

Alor Gajah: Teka-teki mengenai siapa pemilik sebenar nombor pendaftaran kenderaan MH370 terjawab apabila ia sebenarnya ‘harta’ seorang warga emas dari Melaka. Sebelum ini, gambar sebuah kereta Proton Wira menggunakan nombor plat berkenaan menjadi ‘viral’ dan tersebar di laman sosial, tetapi sebenarnya ia hasil teknik pengubahsuaian gambar.

Gambar itu tersebar berikutan tragedi pesawat MH370 yang hilang sejak 8 Mac lalu ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing. Semakan Metro Ahad mendapati nombor plat berkenaan yang didaftar pada sebuah motosikal Honda C70 adalah milik pesara tentera, Othman Ahmad, 68.

“Bertahun-tahun motosikal ini hanya terbiar di dalam bengkel anak sebelum tiba-tiba muncul seorang lelaki dari Merlimau, Jasin mahu membeli motosikal berkenaan dengan harga RM500.

“Ketika itu saya tidak sedar nombor pendaftaran motosikal berkenaan sama dengan kod pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370 yang hilang. Apabila anak sulung beritahu, baru saya tersedar dan tidak mahu menjualnya lagi,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Ramuan China Besar, Masjid Tanah, di sini, baru-baru ini.


Foto

OTHMAN dan isteri, Radhiah Penjot, 64, menunjukkan geran motosikal yang didaftarkan atas namanya. 

Othman berkata, tidak lama selepas itu seorang lelaki mendakwa dari Mersing, Johor datang menawarkan harga sama untuk membeli motosikalnya. Katanya, dia sekali lagi menolak kerana nombor pendaftaran MH370 ada sejarahnya yang tersendiri.

 “Nombor pendaftaran MH370 menjadi satu sejarah dan hanya saya menggunakan nombor pendaftaran itu. Saya turut bersimpati dengan mangsa serta ahli keluarga penumpang serta anak kapal pesawat yang sehingga kini belum ditemui,” katanya.

Othman yang pernah bertugas di Markas 5 Briged Kem Lok Kawi, Sabah berkata, dia membeli motosikal itu pada 1979 di Masjid Tanah dan dibawa ke Sabah sebelum berkahwin dan berpindah semula ke kampungnya di Kampung Ramuan China Besar.

bergaya

“Ketika itu (1979), menunggang motosikal ini cukup bergaya kerana harga kereta waktu itu mahal, jarang orang lain dapat menggunakannya, tetapi saya dapat milikinya dan dijaga elok hinggalah saya bersara,” katanya. Othman berkata, dia sanggup menjual motosikal itu dengan nombor pendaftaran sekali jika sesuai harganya kerana berhasrat menderma sebahagian wang jualan kepada badan kebajikan dan masjid. “Motosikal itu sudah lama rosak.

Selepas berbincang dengan keluarga, daripada terbiar dan tersadai, apa salahnya saya jual jika kena dengan harganya. “Jika ada yang sanggup beli dengan harga berpatutan, saya akan jual kerana berhasrat menderma sebahagian hasil jualan kepada badan kebajikan dan masjid, manakala selebihnya untuk kegunaan sendiri,” katanya yang mempunyai enam anak berusia 20 hingga 41 tahun.

 Othman berkata, motosikal itu tidak pernah terbabit dengan kemalangan dan dia masih menyimpan geran motosikal itu dengan baik. “Selama ini tidak terlintas pun akan dikenali kerana motosikal ini orang lain tidak pernah pandang pun tetapi selepas pesawat MH370 hilang, ramai mencari siapa pemilik kenderaan yang mempunyai nombor pendaftaran MH370.

“Saya dimaklumkan ada yang sanggup meminta bantuan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk mengesan pemilik nombor kenderaan MH370 ini sebelum mereka dapat cari saya,” katanya yang kini menternak lebih 200 kambing serta ayam kampung. Rakan Othman, Sazali Puteh, 56, berkata, mungkin ada pihak tertentu akan mengambil kesempatan berikutan nombor pendaftaran MH370 menjadi perhatian.

 “Saya harap Othman berhati-hati dengan pihak yang ambil kesempatan dengan apa dimiliki dan pastikan individu membelinya (motosikal) ikhlas dan jujur,” katanya. Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/31 Metro

Nota : Tahun 79 ramai aanggota tentera yang pencen pun tidak mampu membeli kereta baru, kebanyakan hanya berupaya membeli motosikal atau yang mempunyai keluarga ramai terpaksa membeli kereta terpakai.

Kasihan anggota perwira kita yang berjuang bukan untuk berperang tetapi berjuang untuk menstabilkan ekonomi poket sendiri demi mencari nafkah hidup berkeluarga selepas bersara .

Sebab itu scot ini sangat sayang dengan motosikal tuanya jenama Honda c70 kerana jasanya yang tidak terhingga. Sempena Merdeka ini amat wajar rasaya pengeluar motosikal Boon Siew Honda membeli semula jentera dua roda klasik ini dengan harga yang berbaloi dan dipamerkan di muzium.

Saturday, August 30, 2014

10 Kerusi milik PAS dijangka hilang - Mike Tyson

Tan Sri Muhammad Muhd Taib berkata PAS perlu diperingatkan selama ini pengundi Cina juga turut memberikan sokongan mereka apabila parti Islam itu berada bersama dalam PR. – Gambar The Malaysian Insider oleh Najjua Zulkefli, 30 Ogos, 2014.

Tan Sri Muhammad Muhd Taib berkata PAS perlu diperingatkan selama ini pengundi Cina juga turut memberikan sokongan mereka apabila parti Islam itu berada bersama dalam PR. – Gambar The Malaysian Insider oleh Najjua Zulkefli, 30 Ogos, 2014.

Shah Alam : Tan Sri Muhammad Muhd Taib hari ini mengingatkan PAS tidak mengambil jalan mudah meninggalkan Pakatan Rakyat (PR) kerana sekiranya berbuat demikian, parti Islam itu akan mengalami kekalahan yang lebih besar di Selangor. Bekas menteri besar Selangor itu berkata PAS perlu diperingatkan selama ini pengundi Cina juga turut memberikan sokongan mereka apabila parti Islam itu berada bersama dalam PR. 

"PAS akan kalah banyak kerana mungkin orang Cina tidak mahu mengundi PAS. Jangan kita 'sentimen Allahu Akbar' sahaja. Kita kena praktikal dengan keadaan pengundi. "Jika kita silap percaturan, PR akan menang dan PAS yang tidak dapat undi. Jika ada pilihan raya di Selangor, saya ingat kurang-kurang PAS akan kalah 10 (kerusi)," katanya dalam Wacana Merdeka di Universiti Selangor di Shah Alam hari ini.

PAS sebelum ini mengambil pendirian yang berlainan dengan PR apabila memilih untuk memberi lebih nama calon menteri besar kepada Sultan Selangor bagi menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim. Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Khamis secara terbuka meminta PAS menyatakan sama ada mereka menentang keputusan PR menamakan isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, sebagai satu-satunya calon menteri besar Selangor kerana beliau seorang wanita.

trend pengundian

Muhammad berkata berdasarkan pengalaman 10 tahun sebagai menteri besar Selangor, trend pengundian negeri ini dapat difahami dan PAS akan lebih selamat jika bersama PR. Katanya, apa jua keputusan yang diambil PAS, kelebihan pengundi Cina ketika bersama PR perlu diberi perhatian ketika ia memberikan satu sumbangan besar. "Ini pengalaman saya 10 tahun jadi MB. Saya tahu trend. Kita jangan syok sendiri. "Saya fikir jika PAS ada pendirian baru, PAS akan kalah banyak.

Pengundi Cina akan tarik diri, tidak undi calon PAS. Saya sudah tengok trend pengundi di Selangor, PAS menang bukan dengan majoriti besar sangat. "Kalau PAS ada pendirian berubah, kononnya PAS boleh berdiri dengan sendiri, dan katalah hendak berkawan dengan Umno, saya fikir Datuk Nik Abdul Aziz (Nik Mat) banyak kali kata 'jangan percaya'. Ia akan berbalik cerita lama," katanya.

Beliau berkata Umno akan sentiasa mencari peluang bagi mengukuhkan sokongan rakyat terhadap parti Melayu itu walau dengan apa cara sekalipun. Katanya, PAS sendiri pernah mempunyai pengalaman bekerjasama dengan Umno yang menyaksikan perhubungan itu tidak bertahan lama. "Umno berkehendakkan PAS apabila ada sedikit menunjukkan kelemahan.

Pada pandangan saya, PAS elok terus dalam PR. Umno biarkan dengan MCA dan MIC. "Jika ada pandangan Umno dan PAS boleh mentadbir (bersama), itu cuma sementara. Apabila Umno dan Barisan Nasional dapat kuasa balik, katakan di Selangor, mereka akan menguis PAS keluar balik selepas berkuasa.

"Kita kena tahu kekuatan kita. Jangan kata kita sudah menang kita boleh ubah strategi akhirnya termakan dengan mainan politik Umno," katanya kepada kira-kira 100 hadirin di universiti itu. – 30 Ogos, 2014. (TMI)

Nota : Kita bimbang parti Islam ini menyerlah pendiriannya mirip Ngo Ultras Melayu Perkasa dan Isma yang pro ketuanan melayu berlabel Islam. Apakah perwakilan muktamar setuju?

Akhbar Utusan Tidak Laku



Utusan Melayu (Malaysia) Sdn Bhd telah mencatatkan kerugian bersih sebanyak RM11.05 juta pada suku kedua yang berakhir pada 30 Jun, berbanding keuntungan bersih sebanyak RM1.92 juta tahun yang lalu, demikian lapor The Star.

Laporan itu menyatakan bahawa pendapatan dari syarikat penerbitan yang dikuasai Umno itu lebih rendah pada RM74.4 juta daripada RM96.1 juta pada tahun lepas. Kerugian bersih untuk setengah tahun bagi Utusan Melayu meningkat kepada RM30.9 juta daripada RM6.9 juta tahun lepas manakala perolehan jatuh dari RM172.1 juta pada tahun 2013 kepada RM139.9 juta tahun ini.

Syarikat itu menyatakan bahawa pendapatan bagi penerbitan, pengedaran dan segemn pengiklanan jatuh sebanyak 22.5 peratus daripada RM20.6 juta - yang membawa kerugian sebelum cukai yang lebih tinggi sebanyak RM23.6 juta berbanding kerugian sebelum cukai sebanyak RM11.6 juta pada tahun lepas . 

Syarikat itu juga merupakan penerbit akhbar-akhbar berbahasa Melayu termasuklah Utusan Malaysia dan Kosmo, Mingguan Malaysia, Kosmo Ahad, sebuah mingguan bertulisan Jawi dan majalah Wanita, Mastika, Hijab Fesyen, Ibu dan Anak, Insta, Saji, Infiniti, Harmoni, Al -Islam dan URTV.

persaingan

Ia memberitahu Bursa Malaysia bahawa ia menjangkakan separuh kedua tahun ini akan kekal mencabar memandangkan persaingan yang semakin meningkat bahagian pasaran hasil pengiklanan. "Bagaimanapun, kami akan terus dengan strategi pembaikan kandungan akhbar dan menawarkan pakej kreatif untuk iklan.

"Kami juga akan terus mengamalkan strategi menjimatkan kos berhemat dalam operasi perniagaan kami," kata Utusan Melayu dalam satu kenyataan. Strategi termasuk pembekuan pengambilan kakitangan baru dan juga "pemantauan secara agresif" terhadap kos pentadbiran, pengeluaran dan kakitangan.

Nota : Bagaimana mahu lariskan akhbar kalau asyik sebar berita fitnah dan perkauman, bagi penyokong tegar pro UBn yang dahulunya selalu kelihatan bangga menyisip akhbar ini di bawah ketiak tetapi sekarang suasana itu amat jarang kita jumpa.

Inilah padahnya apabila orang lain berniaga hendak mencari untung tapi akhbar ini mahu mencari musuh, lalu kehilangan pembaca, pelanggan yang diharapkan membeli akhbar dari kalangan ahli Umno pun tidak minat membaca, asyik khayal dengan hiburan terbitan Astro. Jangan marah jika diejek orang ibarat berniaga buluh kasap, dapat hujung pangkal lesap.

Melabur RM6 bilion kepada Mas tindakan sewel



DAP Perak membidas kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang menyifatkan suntikan dana RM6 bilion oleh Khazanah ke dalam Sistem Penerbangan Malaysia (MAS) sebagai satu bentuk pelaburan. 

"Tiada rakyat Malaysia yang percaya apabila Najib menyifatkan suntikan RM6 bilion itu sebagai satu pelaburan dan bukan langkah menyelamat. "Kenapa seorang pelabur yang waras mahu melabur dalam syarikat yang sudah kerugian RM4.3 bilion dalam masa tiga tahun lalu," kata ketua biro pembangunan ekonomi DAP, Ching Zhemin dalam kenyataannya.

Menurut Chong, jelas bahawa kerajaan cuba menyelamatkan MAS dan tidak membenarkannya untuk memfailkan kebankrapan seperti yang biasa dilakukan syarikat lain dalam situasi sama. Beliau turut mengkritik cadangan MAS untuk memudahkan perpindahan kakitangan dan menyemak semula kontrak kakitangannya.

Menurut Chong, tindakan seperti itu, termasuk perlindungan dari segi legislatif ke tas MAS hanya boleh dibuat sekiranya syarikat tersebut memfailkan notis kebankrapan di bawah Seksyen 176 Akta Syarikat 1965. Menurut Chong, MAS masih boleh beroperasi di bawah pengurusan syarikat baru menggunakan nama yang sama sekiranya Suruhanjaya Syarikat Malaysia membenarkannya berbuat demikian. MK

Nota : Kita bimbang kerajaan cuba menyelamatkan kerugian MAS dengan melabur banyak wang ke syarikat rugi itu boleh jadi lebur dan akhirnya berkubur. Ia boleh diibaratkan 'mencampak batu ke dalam kolam, batu tenggelam ke dasar', duit habis disapu, MAS tetap rugi memanjang...

Thursday, August 28, 2014

Keadilan merayu PAS mudahkan bukan menyusahkan



Sebetulnya kena sebut Keadilan (Orang luar akan baca PKR) menolak hujah yang dikemukakan oleh PAS berhubung keputusan parti Islam itu untuk mengemukakan dua nama kepada istana bagi jawatan menteri besar Selangor.

Setiausaha Agung Keadilan, Datuk Saifuddin Nasution berkata selepas pilihan raya umum lalu, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang tidak bermasalah untuk hanya mengemukakan satu nama, walaupun sultan meminta empat nama.

PAS Setiausaha Agung, Datuk Mustafa Ali berhujah jika tidak mengemukakan lebih daripada satu nama seperti yang dititahkan baginda sultan, ia boleh ditafsirkan sebagai "memaksa" istana. Mustafa juga menjelaskan bahawa keadaannya berbeza pada masa lalu kerana isu itu tidak diketahui umum seperti yang berlaku sekarang.

Mustafa berkata demikian dalam reaksinya terhadap rayuan Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya PAS berpegang kepada keputusan Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat pada 17 Ogos untuk hanya mencalonkan Wan Azizah.

Nota : Walaupun bekas MB Khalid telah rasmi meletak jawatan tetapi beliau terbukti berjaya menjadi agen memecah belahkan mengikut kaedah pecah perintah, tidak dapat memegang tampuk negeri paling kaya pun tidak mengapa asal dapat membahagi pakatan rakyat PAS, DAP dan Keadilan mengikut acuan akhbar Utusan yang sering memuja-muji beliau bagaikan ada udang di sebalik mi.

Pas cenderung untuk tunjukkan bahawa semua ini salah DS Anwar dengan langkah Kajang, lalu menolak Kak Wan dan menyokong bersama bentuk kerajaan unity PAS+Bebas+ Umno + Lompat, pecah lagi, grup Pas yang meyokong Pakatan yang membantah dituduh parasit dan tidak wala', pecah lagi, kumpulan akar umbi Pas yang setia bersama PR tak setuju, pecah lagi, ada yang kata nak tubuh parti Islam baru, tambah pecah-pecah dan pecah lagi.

Bagi UBn bila PR bergasak sesama sendiri maka terlupa untuk melawan rasuah, rasis dan kenaikan harga barang, kerajaan Najib sekarang lebih menjurus kepada kenaikan kos sara hidup sedangkan kita mahukan kenaikan kualiti hidup dari segi kemudahan, perumahan, pekerjaan, pendidikan, kesihatan  dan keamanan dari jenayah yang menakutkan sekarang.

Kita bimbang akhirnya Pas dan Pakatan berpecah dan tidak dapat diselamatkan. Moga muktamar PAS kali ini di Johor akan mengukuhkan lagi persaudaraan sesama PR, biar kita jadi pendakwah atau dai yang mudahkan bukan menyusahkan. Ameen.