Trafik

Thursday, May 16, 2013

Rakyat Tak Akan Berdamai Dengan Penipu UmnoBn/SPR

KUALA LUMPUR 15 MEI: Datuk Seri Najib Razak tidak layak melaungkan konsep ‘perdamaian’ selagi Umno Barisan Nasional (BN) terus memainkan isu politik perkauman, kata Naib Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar.

Dalam kenyataan hari ini, Izzah menempelak Perdana Menteri kerana mewujudkan sentimen perkauman bagi menutup prestasi buruk Umno BN dalam pilihan raya lalu.
“Beliau menyuarakan untuk berdamai, sedangkan dalam masa sama, beliau cuba menutup hakikat bahawa undi rakyat semakin banyak menolak BN dengan meletakkan kesalahan kepada kaum Cina.

“Akhbar Umno, Utusan Malaysia juga mula melaga-lagakan Melayu dan Cina sama ada melalui tajuk utama mereka atau artikel dalam akhbar berkenaan.

“Hakikatnya, kerajaan BN harus jelas, rakyat tidak akan berdamai dengan penyamun yang mencuri hak demokrasi mereka,” katanya.

Najib 6 Mei lalu menyatakan, kerajaan baru BN akan memulakan perdamaian kebangsaan, sebagai usaha untuk menyatukan rakyat, selepas kenyataan “Tsunami Cina” dalam Pilihan Raya Umum ke-13 yang menyaksikan BN menang dengan majoriti lebih kecil berbanding PRU 2008.

Izzah berkata, kerajaan gagal mendapat kembali kepercayaan rakyat, dan atas sebab itu perdamaian yang dilaungkan kerajaan tidak mampu menutup jenayah korupsi dan rasis dalam kepimpinan mereka.

“Rakyat mahukan reformasi dan perubahan, laungan perdamaian yang direka bagi menarik simpati rakyat tidak lagi berkesan kerana rakyat mengundi untuk perubahan,” katanya.

Menurut Ahli Parlimen Lembah Pantai itu, beliau dan beberapa Ahli Parlimen Pakatan komited meneruskan agenda reformasi negara.

“Sesi Parlimen baru akan menyaksikan perjuangan kami menggerakkan reformasi parlimen, politik dan pilihan raya.

“Kita akan memastikan beberapa perkara penting seperti membebaskan institusi kehakiman dari kuasa Parlimen.

“Mempromosi kerajaan bersih dan baik, membebaskan media dari cengkaman penguasa, membebaskan mahasiswa dari akta yang menyekat, menghilangkan kuasa Perdana Menteri dalam Petronas dan diganti di bawah Jawatankuasa Khas Parlimen.

“Menerusi reformasi pilihan raya, kita akan berjuang untuk mewujudkan Suruhanjaya Diraja bagi menyemak taraf warganegara yang mencurigakan setiap dua tahun, dan memastikan kredibiliti pengerusi dan organisasi SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya),” jelas Izzah.

Beliau turut menyenaraikan beberapa perincian yang akan diperjuang Ahli Parlimen Pakatan berdasarkan tuntutan rakyat.

“Rakyat mahukan rombakan SPR, SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) selain menjadikan PDRM (Polis Diraja Malaysia) sebuah suruhanjaya bebas tanpa pengaruh politik.

“Kita akan bincangkan secara serius terutama dengan parti-parti politik dan berharap kerajaan akan menyokong agenda baru itu.

“Selepas segala reformasi ini dijalankan, saya yakin rakyat berbilang kaum akan berdamai dengan sendiri,” kata Izzah. ~keadilandaily

Menteri Bertambah, Paling Ramai, Kualitinya Belum Tentu

KL: “Untuk apa kita mempunyai 35 menteri berbanding hanya 31 menteri pada tahun 2008?” tanya penganalisis politik, Prof Madya Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff di dalam Facebooknya.
Menurutnya, Kabinet Jepun dan AS cuma ada 16 dan 18 menteri sahaja; United Kingdom 23, Bolivia 27 dan Belgium 21 menteri kabinet. India pula dengan 1.1 bilion penduduk hanya mempunyai 32 menteri kabinet.

“Adakah Malaysia dengan jumlah menterinya yang ramai lebih baik dan lebih maju dari negara-negara di atas?” tanya beliau lagi.

Berikut ialah pandangan beliau.

Apabila PM DS Najib mengumumkan barisan kabinetnya, maka penganalisis yang bersetuju dengan barisan ini menyatakan inilah kabinet transformasi terbaik, kabinet gabungan muka baru dan lama, dan kabinet yang mampu melonjakkan negara ke depan untuk menghadapi saingan globalisasi.

Bagi yang tidak bersetuju pula menyatakan inilah kabinet DS Najib untuk menghadapi pemilihan Umno tahun ini, kabinet kitar semua dan kabinet kayu mati yang mudah dimakan anai-anai.

Saya tidak ada masalah dengan barisan kabinet ini. Mereka yang dilantik adalah hebat.

Namun, yang menjadi masalah kepada saya ialah bilangan kementerian dan menterinya yang ramai. Untuk apa kita mempunyai 35 menteri berbanding hanya 31 menteri pada tahun 2008? Kabinet Jepun dan AS cuma ada 16 dan 18 menteri sahaja; United Kingdom 23, Bolivia 27 dan Belgium 21 menteri kabinet. India pula dengan 1.1 bilion penduduk hanya mempunyai 32 menteri kabinet. Adakah Malaysia dengan jumlah menterinya yang ramai lebih baik dan lebih maju dari negara-negara di atas?
Meskipun Perlembagaan tidak menetapkan bilangan anggota kabinet, kita perlu bandingkan saiz kabinet Malaysia dengan kabinet di negara-negara lain. Kewujudan kementerian dan menteri adalah untuk menyempurnakan tugas dalam mentadbir negara, bukannya sebagai ganjaran kepada kawan-rakan yang menang. (Hrkh)

Guru Bertudung Tapi Rasis Macam Zionis

Cikgu, hari ni hari guru, janganlah cemarkan dengan kata-kata yang begitu, ini negara demokrasi, ada orang suka Najib, tak kurang pula yang benci Najib, begitu juga DSAI, ramai yang sokong, tapi ramai juga yang kutuk, adatlah... kita bukan duduk dalam negara faudal... kuku besi... hanya satu parti sahaja yang memerintah...
 
Tapi cikgu tak boleh halau orang sesuka hati, itu pendirian mereka, mesti kaji sebab apa mereka tak sokong,  apa tawaran yang Bn buat berbanding dengan PR punya, kena selidik..

Perbuatan cikgu akan menyebabkan rakyat Malaysia, yang lahir dan membesar di negara ini menjadi pelarian, pasti  negara India dan Cina yang mahu terima.
 
Mereka akan kata cikgu macam Zionis, Zionis cukup suka rakyat Palestin tinggalkan tanahair, tanah tumpah darah mereka, sebeb itu hari-hari kena bom dan mereka sentiasa mengancam dan menakut-nakutkan penduduk, rumah dirobohkan supaya mereka serik, tak mahu pertahankan tanah mereka, hijrah keluar negara, jadi senanglah Regim Zionis ini rampas tanah mereka dan buat sesuka hati.

Setakat ni tak dengar pula cerita Pakatan Rakyat di Pulau Pinang yang dikuasai oleh DAP, Selangor dan Kelantan yang sudah 23 tahun bawah PAS ada paksa orang Umno, Mca dan Mic keluar dari negeri mereka, walaupun terang-terang mereka melawan pemerintah yang dipilih oleh rakyat...

Selamat hari guru.



Kami Bersaudara, Melayu Cina India dalam Pakatan


Tatkala Najib, UMNO, bekas hakim dan sekalian akhbar & blogger pencacai meniupkan api perkauman di kalangan rakyat Malaysia dengan menyeru dan terus menghasut bangsa Melayu membenci kaum Cina kerana tertekan dengan keputusan pilihanraya yang lalu, sebilangan besar rakyat pula di bawah Pakatan Rakyat memupuk perasaan saling menyayangi dan rasa persaudaraan di kalangan rakyat berbilang kaum.

Masa depan Malaysia hanya di tangan PAKATAN RAKYAT! Saksikanlah persaudaraan ini:






Wednesday, May 15, 2013

Rakyat Johor Bangkit Melawan Penipuan SPR/UmnoBn


Sekalipun hujan lebat.. Namun sedikit pun tidak berganjak semangat puluhan ribu pecinta-pecinta demokrasi.
Lautan manusia menyambut Blackout 505 dengan tiupan trompet mini yang laris dijual RM5 satu. Pihak Polis memberi kerjasama walaupun berlaku insiden lebih 10 buah kereta peserta himpunan terkena simbahan cecair dipercayai ASID yang melunturkan dan merosakkan cat kereta. 
Jumlah hadirin dianggarkan seramai 60 ribu dan lebih ramai dari di Ipoh dan Kuantan, walaubagaimanapun tak dapat menagatasi himpunan teramai dalam sejarah di Stadium Kelana Jaya dan himpunan di Pulau Pinang.
Jalan yang sempit ke tapak himpunan, terpaksa parkir kenderaan jauh dan  ramai peserta terpaksa merentas desa dengan berjalan kaki sejauh 8km. Keras lutut bro...

Apa yang disebutkan oleh DSAI ialah Pakatan Rakyat Sudah Menang, kita bukan kalah, statistik menunjukkan PR mendapat 51% sokongan rakyat sedangkan Bn hanya sekadar mendapat 47%, bagaimana Najib memerintah dengan mandat yang manoriti tak pernah berlaku dalam sejarah dunia.

Rakyat Johor bangkit terus dari lamunan dan prestasi PR dalam PRU13 kali ini amat memberangsangkan dimana 5 Parlimen tumbang iaitu, Gelang Patah, Kulai, Kluang, Batu Pahat dan Bakri dan 18 Kerusi Dun berjaya ditawan.

Bukan Setakat Pengundi Hantu, Pengikut Twitter Hantu Pun Najib Upah


Akhirnya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dapat juga dua-pertiga majoriti tapi bukan di Dewan Rakyat. Di sebalik populariti Najib yang diwar-warkan di alam maya, satu majalah Australia hari ini membuat dakwaan bahawa 70 peratus, melebihi dua pertiga followers (pengikut) Najib di Twitter adalah akaun palsu.

Mengikut laporan Meld Magazine yang berpusat di Melbourne, satu laman berita bebas, Najib menguasai carta peratusan pengikut palsu teramai di Twitter di antara lapan tokoh politik antarabangsa yang termasuk Presiden Amerika Syarikat Barack Obama bersama perdana menteri yang lain daripada Australia, India, Thailand, Jepun, Singapura dan Vietnam.

“Satu semakan menggunakan perisian ‘online Fake Follower Check’ mendedahkan secara mengejut 70 peratus daripada 1.4 juta pengikut Perdana Menteri Najib adalah palsu,” kata Meld Magazine bertarikh May 3.

Sekarang ini, Twitter Najib sudah mencecah 1.5 juta pengikut. (Data Meld Magazine mungkin sudah lari selepas 12 hari).


Di belakang Najib, ialah rakan sejawat daripada Thailanda dan India, Yingluck Shinawatra dan Manmohan Singh, pada 55 dan 54 peratus.

Menurut laporan itu lagi, hanya 15 peratus pengikut Najib dikategorikan sebagai pengikut yang baik manakala 15 peratus lagi adalah pengikut yang tidak aktif.

Di Twitter Obama pula, hanya 45 peratus daripada 29.18 juta pengikutnya adalah palsu.

Mengikut Thomas Tudehope, seorang pakar sosial media di social@Ogilvy dan bekas penasihat kepada menteri bayangan komunikasi dan jalur lebar Australia, Malcolm Turnbull, pengikut di Twitter boleh dibeli, “100 dan ke atas sehingga 10,000 pengikut mengikut harga berlainan.”

Bagaimanapun, Tudehope berkata apa yang penting ialah penglibatan dalam berkomunikasi dengan pengikut dan memberikan reaksi.

“Saya rasa tekniknya ialah meletakkan lebih banyak bahan, secara kerap, untuk orang berlainan. Ini adalah strategi yang mudah dan saya rasa ia agak berkesan,” katanya.

Sebelum PRU13, media tradisional telah menghebohkan bahawa satu laman pemantauan internet, Socialbakers, telah meletakkan Najib di tangga 11, tokoh politik paling popular di dunia.

Dalam reaksinya, Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata itu petanda Najib popular di kalangan orang muda.

“Ini menunjukkan Perdana Menteri bukan sahaja popular di Malaysia, tapi juga di dunia,” kata Ahmad Shabery ketika mengulas berita itu. -kltoday

Wartawan Utusan EMOSI, merosakkan majlis Akhbar Sinar


Pengerusi Persatuan Wartawan Melayu, Datuk Yazid Othman sedang ditenangkan oleh kakitangan Sinar Harian.

Wacana Sinar Harian siri ke-20 semalam sedikit tegang apabila peserta wacana gagal mengawal perasaan ketika sesi soal jawab.

Kehangatan sesi itu bermula apabila peserta pertama Pengerusi Persatuan Wartawan Melayu, Datuk Yazid Othman bangun dan bertanyakan soalan mengenai maksud kebebasan media kepada Zairil Khir Johari.

Menurut beliau, kerajaan Pakatan Rakyat (PR) di Pulau Pinang tidak mengamalkan kebebasan media seperti mana yang dilaungkan oleh kepimpinan Lim Guang Eng.

"Di mana kebebasan media di Pulau Pinang, sedangkan akhbar seperti Utusan Malaysia tidak dibenarkan membuat liputan di Pulau Pinang," katanya.

Menjawab persoalan tersebut Zairil yang juga ahli Parlimen Bukit Bendera berkata, memang benar akhbar Utusan Malaysia tidak dibenarkan membuat liputan kerana akhbar tersebut telah menyalahgunakan kebebasan media dengan menyebar fitnah.

"Memang kita mengamalkan kebebasan media dan bukannya mengamalkan kebebasan memfitnah," katanya.

"... sebab itulah Utusan Malaysia banyak memberi dana pilihan raya kepada PR, kerana selalu disaman," sindir beliau.


Sementara itu, Yazid turut mendakwa, nasib pensyarah Melayu di Universiti Malaya (UM) kini semakin terpinggir kerana kemasukan ramai pensyarah Cina di institusi berkenaan.

"Di UM, sejak dua tahun lalu sudah berlaku perubahan besar, di mana pensyarah Melayu mula terpinggir dek kerana kemasukan pensyarah kaum Cina," katanya.

Menjawab persoalan tersebut Zairil mengatakan perlunya ada fakta dan ulasan kukuh berkenaan isu tersebut.

"Perkara ini perlu disertakan dengan fakta yang tepat, jangan terlampau emosi sehingga hilang nilai kewarasan ilmu,"katanya.