Trafik

Tuesday, December 2, 2014

Ringgo Pandan si pencetus huru-hara didenda RM7000

Seorang pekerja pemasangan internet sebuah syarikat berkaitan kerajaan didenda RM7,000 oleh Mahkamah Sesyen di Klang hari ini selepas mengaku bersalah menyiarkan berita palsu menerusi laman sosial Facebook, Ogos lalu.

Hakim Surita Budin turut memerintahkan Muhammad Nur Hafiz Palpha, 23, dipenjara empat bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut. Muhammad Nur Hafiz mengaku bersalah terhadap pertuduhan menyiarkan berita palsu kononnya berlaku serangan kaum di Klang, berserta beberapa keping gambar menerusi akaun Facebook 'Ringgo Pandan'.

Menurut fakta kes, perbuatan tertuduh dikesan seorang anggota polis menerusi laman sosial itu pada pukul 8.15 pagi 1 Ogos lepas di Balai Polis Pandamaran namun semakan mendapati tiada sebarang laporan mengenai kejadian tersebut diterima pasukan keselamatan berkenaan.

Susulan itu, satu laporan polis dibuat dan hasil siasatan Unit Siber Polis Diraja Malaysia mengesan lokasi pemilik akaun Facebook 'Ringgo Pandan' melalui nombor pendaftaran sebuah telefon bimbit yang didapati milik Muhammad Nur Hafiz. Dia ditahan di alamat No 7, Lorong D10, Kampung Pandan, Kuala Lumpur pada 7 Ogos lepas.

Analisis pakar forensik Cybersecurities Malaysia pada 26 September lalu menunjukkan telefon bimbit milik tertuduh mempunyai akses dan daftar masuk laman sosial berkenaan menggunakan nama 'Ringgo Pandan'. Muhammad Nur Hafiz didakwa melakukan kesalahan itu di bawah Subseksyen 211(1) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum di bawah Subseksyen 211(2) akta yang sama, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Rosidah Abu Bakar. – Bernama, 2 Disember, 2014.

Nota : Inilah dosa menyebar mahlumat palsu dalam Facebook yang boleh mencetuskan permusuhan kaum di Malaysia. Tahniah kepada pihak Polis yang berjaya menyekat dan mengesan Ringgo Pandan.

Apa ertinya kemerdekaan dan keimanan (jika dia Islam) jika perangai dan peel suka mengadu domba, melaga-laga dan menaikkan kebencian sesama manusia.

يأيها الذين ءامنوا إن جاءكم فاسق بنبإ فتبينوا أن تصيبوا قوما بجهالة فتصبحوا على ما فعلتم ندمين.

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, jika datang kepada kamu seseorang yang fasik dengan membawa satu berita, maka selidiklah terlebih dahulu agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya (secara jahil), maka dengan sebab itu jadilah kamu di atas perbuatan kamu itu orang-orang yang menyesal.” (Surah Al-Hujurat : 6)

No comments:

Post a Comment