Trafik

Tuesday, August 5, 2014

Penyelesai Masalah Gerobok Pakaian Penuh

Foto
Foto
Foto
Kajang : Sebaik menerima panggilan daripada pelanggan yang ingin menjual pakaian mereka, berbekalkan penimbang dan kereta dengan but yang dikosongkan, wanita ini mula menuju destinasi menerusi alamat diberikan.
Sampai di rumah pelanggan dia terus melihat semua pakaian yang dikumpulkan tuan rumah supaya ia berada dalam keadaan baik iaitu tidak koyak, berbau atau kotor. 
Kemudian, Rasmi Abdullah, 31, menimbang semua beg plastik yang dikumpulkan bagi menentukan bayarannya. Untuk satu kilogram (kg) dia membeli dengan harga RM1 tanpa mengira jenis atau jenama. 

Jika ada rezeki, semua barang diterima berjenama dan masih elok, jika sebaliknya wanita ini tidak kisah kerana apa yang penting dia dapat membantu mereka mengosongkan almari pakaian dan membantu wanita membeli pada harga murah.
Jelasnya, untuk satu-satu rumah, jumlah pakaian yang dapat dikumpulkan tidak menentu. Dia juga tidak bertanya jumlah berat pakaian yang ingin dijual.

“Apa yang saya lakukan, sekiranya mereka menelefon dan ingin menjual pakaian saya hanya datang ke tempat dinyatakan saja. Banyak atau sedikit itu tidak menjadi masalah. Ada yang hanya 10kg pun saya terima, ada pula sehingga mencecah 350kg. Bayangkan dengan kudrat wanita yang tidak seberapa, saya perlu mengangkat semua pakaian masuk ke kereta,” ujarnya yang menetap di Banting, Selangor.

Menceritakan bagaimana boleh menceburi kerjaya ini, ibu kepada dua cahaya mata ini menjelaskan, sejak remaja dia memang suka melepak di kedai ‘bundle’. 

Baginya, bagaikan satu kepuasan apabila dapat melihat pakaian berjenama yang masih elok dan cantik kemudian dijual pada harga murah. Kebiasaannya pakaian yang masih cantik dan elok dipakai akan menjadi miliknya.

Dari situ, dia memikirkan mengapa tidak menjadikannya sebagai perniagaan. Lalu dia mencari pemborong pakaian ‘bundle’ dan menjual di pasar pagi Sungai Jarum. Bekerja sebagai penulis sambilan tidak menjadi masalah untuk mengatur jadual ini kerana kebiasaannya dia ke pejabat pada jam 11 pagi, jadi ia langsung tidak mengganggu minat berniaga.

Menjual barangan ‘bundle’ ada cabarannya kerana tidak semua pakaian yang dibeli berada dalam keadaan elok. Pernah satu ketika, semua pakaian langsung tidak boleh dijual kerana koyak dan lusuh.

“Dalam hal ini saya menanggung kerugian sehingga RM950 untuk dua beg. Walaupun sudah meminta penjual menggantikan semula dengan pakaian lain, proses ini memakan masa lama sehingga saya sendiri malas menghubungi mereka semula,” ujarnya.


Berhenti kerja jual barang terpakai

Disebabkan tekanan kerja ditambah suami yang sering bertugas di luar daerah, Rasmi terfikir menjalankan perniagaan sendiri. Oleh kerana sudah bermula secara kecil-kecilan dia nekad berhenti kerja untuk menjadi peniaga barangan terpakai sepenuh masa.

“Untuk mendapatkan pelanggan, apa yang perlu saya lakukan adalah menjalankan promosi menerusi laman sosial. Sama seperti peniaga lain yang menggunakan Facebook dan Instagram sebagai medium mempromosikan produk, saya tidak terkecuali. Saya mencari sebanyak mungkin rakan atau melihat laman sosial selebriti terkenal untuk mencari pelanggan. Dari situ, saya iklankan mengenai perkhidmatan membeli pakaian terpakai dari rumah ke rumah. Sekiranya tuan rumah tidak mampu mengumpul atau mengasing-asingkan pakaian yang ingin dijual, saya bersedia melakukannya,” katanya.

Namun, bagi mengelak kekeliruan, Rasmi sudah menjelaskan mengenai syarat jual beli serta prosedur bayaran. Antaranya meminta pelanggan membasuh terlebih dulu pakaian supaya bersih. Ini kerana Rasmi hanya menerima pakaian bersih dan masih elok.

“Namun, ada juga menganggap saya membeli semua pakaian tanpa mengira bersih atau buruk. Pernah satu ketika tanpa sempat membelek pakaian pelanggan saya terus membuat pembayaran. Akibatnya hampir separuh pakaian diterima koyak. Sejak itu saya sudah serik dan membelek terlebih dulu baju yang sudah dimasukkan dalam plastik hitam bagi mengelak perkara sama berlaku,” katanya yang mengutip pakaian di sekitar Lembah Klang termasuk Putrajaya, Bangi dan Kajang.

Oleh kerana selalu mengutip pakaian dari rumah ke rumah, Rasmi sudah dapat mengagak sama ada pakaian diterima masih elok atau sebaliknya menerusi cara mereka melipat dan menyusun pakaian. Jika kemas dan teratur bererti semua pakaian dalam keadaan baik. Berbeza sekiranya menerima bungkusan diletakkan secara berlonggok atau bergumpal, ia menandakan ada yang tidak kena dengan pakaian itu sama ada kotor, berbau atau terkoyak.

Ditanya sama ada kawasan perumahan yang diziarahi turut memberi kesan terhadap jenis pakaian yang dibeli, Rasmi mengakui berdasarkan alamat rumah juga dia sudah boleh mengagak jenis pakaian diterima. Namun, ada juga telahan tidak benar. Bagaimanapun, tanpa mengira kawasan tempat tinggal, dia tetap menerima sesiapa juga yang ingin mengosongkan almari baju mereka.

Ini kerana ramai mengakui tidak tahu ke mana mahu diletakkan semua pakaian yang masih elok. Untuk disedekahkan kepada rumah anak yatim atau orang susah takut sekiranya mereka tidak menerimanya. Jadi dengan adanya perkhidmatan mengutip dan membeli pakaian lama, ia sebagai satu cara membersihkan rumah daripada pakaian yang tidak digunakan.

“Daripada dibuang begitu saja lebih baik dijual kepada saya dengan harga RM1 untuk satu kilogram. Walaupun nilainya rendah, untuk seluar denim, jaket dan kemeja-T nilainya lebih berat berbanding kemeja atau blaus wanita. Sebab itu rata-rata pelanggan menjual beratus-ratus kilogram pada satu-satu masa,” ujarnya yang membuat tiga temujanji dalam sehari.

Buka kedai di rumah

Menceritakan lebih lanjut mengenai kerjaya barunya ini, untuk setiap pakaian, dia akan membawa pulang ke rumah dan membuat pengkelasan. Mulanya dia meletakkan di rumah ibu bapa di tingkat empat. Bayangkan dia terpaksa membawa naik dan turun apabila pelanggan ingin membelinya. Kesukaran ini menyebabkan Rasmi menyewa rumah di tingkat bawah bagi memudahkan urusan mengumpul pakaian.

“Ia lebih mudah dan sistematik kerana untuk setiap baju kurung saya menggantung mengikut ukuran. Kemudian kemeja-T dan baju kanak-kanak dalam bakul berbeza. Pada Ramadan lalu, saya menerima jualan yang banyak untuk pembeli baju kurung. Ini kerana kebanyakan baju diterima masih elok. Jika ada sedikit kerosakan seperti butang tercabut saya menjahit terlebih dulu. 

“Saya tidak hanya menjual di rumah sebaliknya mendapatkan pelanggan menerusi dalam talian. Walaupun agak leceh kerana perlu mengambil gambar dan ukuran, sambutan diterima sangat menggalakkan. Ia sedikit sebanyak menyediakan pulang kepada orang ramai mendapatkan pakaian pada harga murah,” jelasnya yang menggunakan nama mimi pinky couture untuk Instagram.

Untuk setiap kemeja-T, kemeja, baju bayi dan kanak-kanak, blaus, tudung semuanya dijual RM2 kecuali seluar denim dan baju kurung dijual pada harga RM10 ke atas. Oleh kerana harga yang sangat rendah, orang ramai tidak membeli sehelai sebaliknya sehingga 10 atau 20 pasang. 

Untuk baju sekolah dan telekung, dia memberi kepada mereka yang memerlukan tanpa mengenakan sebarang bayaran. Dengan pendapatan diterima, dapatlah Rasmi membayar sewa rumah dan wang perbelanjaan harian untuk keluarga.

Rasmi juga memberi peluang kepada suri rumah menjadi penjual, mereka hanya perlu memilih pakaian yang diinginkan kemudian menjual mengikut harga mereka sendiri. Setakat ini Rasmi mempunyai tiga penjual tetap yang mengambil koleksi terkini pada setiap bulan.

“Saya gembira kerana dapat membantu suri rumah memperoleh pendapatan sampingan. Sekurang-kurangnya wang diterima boleh digunakan untuk membeli keperluan anak. Lagi pun mereka tidak perlu mengeluarkan modal, hanya bijak memasarkan produk saja,” katanya yang mengalu-alukan sesiapa juga yang ingin menjadi penjual pakaian terpakai milik Rasmi.

Dia yang juga bekas pelajar Politeknik Ungku Omar dalam jurusan perniagaan berharap dapat memperluaskan kawasan untuk mengumpul barang terpakai. Selepas Aidilfitri, Rasmi dalam perancangan membuka kedai ‘bundle’ termasuk barang terpakai seperti perabot dan barang elektrik.

“Saya tahu sama seperti baju, ramai juga yang ingin membuang perabot rumah dan barang elektrik yang masih elok kerana mempunyai peralatan baru. Justeru, saya ingin mewujudkan pusat pengumpulan khas dan menjual semula pada harga mampu milik. 

“Sasaran pembeli adalah golongan kurang berkemampuan atau sederhana, tetapi memiliki anak ramai. Dengan kos yang semakin meningkat ada kalanya pendapatan mereka terpaksa diagihkan untuk makanan dan perbelanjaan sekolah. Namun, masih ramai ingin membeli televisyen dan peti sejuk kerana menganggap ia sebagai keperluan wajib untuk seisi rumah.

“Jadi dengan menyediakan perabot dan barang elektrik terpakai diharap dapat meringankan bebanan mereka,” katanya yang berpengalaman menjual jegging menerusi dalam talian selama empat tahun. Metro

Tiada laluan alternatif dari Perangkap Tol CIQ



Johor Bahru : Kerajaan tidak sepatutnya menghukum rakyat dengan kenaikan kadar tol kalau kerajaan sendiri tidak menyediakan perjalanan alternatif untuk pergerakan mereka. Kenaikan kadar tol di Pusat Pemeriksaan Kastam, Imigresen dan Kurantin (CIQ) setinggi 480 peratus amat tidak masuk akal.

Dasar ini akan menggalakkan lebih ramai orang memilih untuk bermotosikal. Maka akan lebih ramai yang akan terkorban dalam kemalangan jalan raya. Ini kerana kadar kematian di kalangan penunggang motosikal adalah sekali ganda lebih tinggi daripada kenderaan lain.

Untuk mengelakkan akibat yang tidak diingini ini, maka kerajaan BN sepatutnya mengambil berat terhadap cadangan berikut. Pertamanya, kerajaan BN mesti menyelidik semula pelaksanan sistem Komuter KTM di wilayah Iskandar atau “Greater Johor Bahru” dengan landasan keretapi sedia ada.


Landasan keretapi sedia ada dalam zon selatan Johor sepanjang kira-kira 102 kilometer manakala hanya lima stesen keretapi dibuka. Lima stesen itu adalah Kulai, Kempas, JB Sentral, Pasir Gudang (kargo) dan Tanjung Kupang (kargo).

penduduk berkepadatan tinggi 

Landasan keretapi sedia ada ini sebenarnya menyambung beberapa kawasan perumahan yang berkepadatan tinggi seperti Masai, Johor Jaya, Nusa Bestari, Skudai dan Bukit Indah.

Kerajaan persekutuan sepatutnya memulihkan kegunaan pengangkutan awam di wilayah Iskandar, dengan kemudahan lama yang diabaikan. 

Kedua, kedua-dua kerajaan seharusnya menambah baik sambungan khidmat pengangkutan awam dari rumah ke tempat kerja.

 Sebahagian besar warga Malaysia bekerja di Singapura dengan bermotosikal kerana transit pengangkutan awam mengambil masa yang terlalu panjang untuk mereka pergi atau balik dari tempat kerja.

kadar kemalangan

Perkhidmatan bas langsung ke beberapa zon perindustrian yang terletak dari pusat bandaraya perlu dilancarkan bagi mengurangkan kadar kematian dalam kemalangan jalan raya. Ketiga, Saya setuju dengan cadangan Pengerusi SPAD, Tan Sri Syed Hamid Albar agar Tambak Johor dibuka kepada pejalan kaki. 

Maka, kerajaan BN dan Singapura seharusnya mengkaji pembinaan 'walkalator' bagi membantu pejalan kaki yang mengguna Tambak Johor sepanjang 1.7 kilometer itu.

Menurut satu laporan penyelidik yang telah saya baca, hampir 50 peratus keluarga di Johor mempunyai saudara-mara yang bekerja di Singapura. 

Walaupun saya tidak boleh mendedahkan laporan tersebut, maka saya mencadangkan bahawa kerajaan negeri membuat satu kajian menyeluruhi agar memahami betapa besar kesan kepada rakyat sendiri selepas kadar tol dinaikkan.

WONG SHU QI
Pengarah Polisi DAP Johor yang juga ADUN Senai.

Nota : Tiada jalan atau laluan lain untuk ke Singapura melalui Tambak Johor. Pengguna guna laluan ber tol (berbayar) dan masuk lebuhraya untuk mengelak kesesakan, tetapi sebaliknya ia tidak berbaloi, pengguna dibebankan dengan laluan yang sesak, tidak lancar dan lembab. Sepatutnya pemegang konsesi kroni kapitalis MRCB dan Plus wajib beri diskaun.

hancing

Bukan sahaja di laluan CIQ pergi balik tetapi juga di semua lebuhraya yang mengalami kesesakan pada setiap hari tertentu khususnya pada musim perayaan. Sudahlah pengguna jalan stress sebab trafik mecet total, hentian rehat & rawat (R&R) yang sesak, tiada parkir, parkir terlalu jauh merbahaya sebab banyak kes pecah kereta, tandas penuh, berbau hancing sebab tidak sempat dibersihkan pekerja,  tidak cukup bekalan air, makanan kehabisan, sudah dapat makanan tempat duduk pula penuh... satu sen pun tak ada diskaun, adakah nilai tol yang anda bayar itu berbaloi?

Sila baca Protes Tol EDL di CIQ

Sila kaji Beza Tol CIQ dengan VEP

Monday, August 4, 2014

Rakyat Dikelirukan antara : Tol CIQ vs VEP

DAP kesal Facebook Umno Johor main sentimen perkauman isu tol CIQ


Johor Bahru : Pemimpin DAP menyuarakan kekesalan laman Facebook "Muafakat Umno Johor" memainkan sentimen perkauman berhubung isu kenaikan kadar tol di lebuh raya Skim Penyuraian Trafik Johor Bahru Timur (EDL) melalui Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ), Bangunan Sultan Iskandar (BSI), Johor.

Ahli Parlimen Kluang Liew Chin Tong mendakwa, melalui laman Facebook berkenaan, Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata “ketika rakyat Johor menyambut baik caj VEP kepada kenderaan asing yang diumum PM, ada pula wakil rakyat Singapura di Johor yang tidak setuju”.

"Laman Facebook itu juga bertanya 'Lim Kit Siang ini Ahli Parlimen untuk Malaysia ke Singapura?',” katanya. Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) menaikkan bayaran tol berkenaan bermula 1 Ogos lalu dikenakan kepada kenderaan Kelas 1 dari Malaysia ke Singapura adalah RM6.80 dibayar kepada Kapitalis Kroni MRCB.

kenaikan dari RM2.90 menjadi RM16.50

Manakala bayaran tol bagi kenderaan dari Singapura ke Malaysia adalah RM9.70 (RM6.80 + RM2.90) di mana RM6.80 dibayar kepada MRCB dan RM2.90 dibayar kepada Projek Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), katanya. "Ini menunjukkan bagi perjalanan dua hala ke Singapura pengguna terpaksa membayar tol sebanyak RM16.50 berbanding sebelum ini hanyalah RM2.90.

"Ini merupakan kenaikan hampir 480%, daripada bayaran tol RM16.50, RM13.60 ataupun 82.42% dibayar kepada MRCB manakala RM2.90 dibayar kepada PLUS," katanya. DAP dan Pakatan Rakyat (PR) katanya membantah kenaikan mendadak ini kerana pengguna CIQ bukan semestinya pengguna EDL yang dibina oleh MRCB maka tidak patut dikenakan caj tol.

Beliau berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak juga berjanji sebelum Pilihan Raya Umum 2013 Putrajaya akan mengambil alih EDL supaya caj tol tidak akan dikenakan terhadap pengguna EDL. "Ratusan ribu rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura terpaksa membayar kenaikan tol kepada MRCB.

Vehicle Entry Permit

"Suasana perniagaan dan ekonomi di sekitar Johor Baru akan terancam akibat kekurangan pendapatan boleh guna di kalangan mereka yang bekerja di Singapura tetapi bermastautin di Johor Baru," katanya.

Beliau turut mendakwa, kenyataan Khalid di laman Facebook “Muafakat UMNO Johor” itu juga cuba menimbulkan kekeliruan antara caj VEP (Vehicle Entry Permit) dengan kenaikan caj tol CIQ.

"Dengan menuduh wakil rakyat DAP sebagai agen Singapura, Khaled cuba menimbulkan fitnah tidak berasas dan memperlihatkan beliau seorang yang berfikiran cetek. "Mentaliti sebegini yang ditunjukkan oleh seorang menteri besar adalah amat memalukan," katanya. – 4 Ogos, 2014. TMI

Sila baca Protes kenaikan Tol EDL di CIQ

Sanggup Menipu Kelulusan

Foto

Kuala Lumpur: Sanggup menipu untuk sambung belajar di Malaysia. Itu taktik pelajar luar negara yang cuba ‘membelit’ pihak berkuasa negara ini semata-mata mendapat kelulusan visa antarabangsa dan mendaftar sebagai pelajar kolej swasta di Malaysia.

Bagaimanapun, cubaan itu dikesan Education Malaysia Global Services (EMGS) selepas siasatan mendapati ada pelajar luar negara yang menghantar dokumen palsu ketika memohon visa untuk belajar di negara ini. Ketua Pegawai Eksekutifnya Mohd Yazid Abd Hamid, (foto) berkata, setakat ini pihaknya merekodkan beberapa kes seumpamanya iaitu meminda keputusan peperiksaan atau menggunakan keputusan individu lain. 

“Memang kita terima bermacam-macam kes, tetapi antara yang mengejutkan ialah penipuan kelayakan kerana itu syarat asas diterima masuk sebagai pelajar di negara ini. “Yang lain termasuklah palsukan cop serta kebenaran dari negara asal. Kita terima aduan ini dan apabila membabitkan permohonan, itu di bawah bidang kuasa EMGS manakala penguatkuasaan lebih kepada Jabatan Imigresen.

ubahsuai

 “Menerusi sistem yang canggih, cubaan seperti itu kita dapat dikesan dan apabila semakan dibuat, kita dapati ada kesalahan seperti ubahsuai slip keputusan peperiksaan berbanding asal,” katanya.

Mohd Yazid berkata, beroperasi Februari tahun lalu, EMGS sebagai pusat sehenti untuk mendapatkan visa pelajar antarabangsa menggunakan sistem bersepadu bersama Jabatan Imigresen dan pihak berkuasa pendidikan, sudah menerima lebih 50,000 permohonan.

 “Dan tahun lalu saja, kami menolak lebih 1,400 permohonan pelajar asing kerana gagal memenuhi saringan kemasukan meneruskan pengajian di negara ini,” katanya. Menurutnya, EMGS serius memastikan pelajar antarabangsa yang berkualiti dan serius dalam pengajian saja diberi tempat di institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) tempatan.


visa

Justeru beliau menasihatkan setiap IPTS harus memainkan peranan dalam menentukan pelajar berkenaan memenuhi syarat kelulusan akademik dan benar-benar mampu membiayai pengajian sebelum urusan permohonan visa pelajar dilakukan.

 “Jika kita kesan ada usaha memalsukan dokumen atau ada rekod menunjukkan permohonan lampau pernah ditolak, permohonan pas baru atau pembaharuan kita akan tolak,” katanya. Kata Mohd Yazid, sejak sistem itu diperkenalkan, permohonan mendapatkan visa berkurangan berikutan pemantauan ketat oleh EMGS yang membantu kerajaan dalam mengekang kemasukan mereka yang mempunyai tujuan lain, termasuk melakukan pelanggaran undang-undang. Metro

Nota : Kebanjiran pelajar asing di negara kita adalah bagus dari sudut ekonomi kapitalis tetapi jika tidak dikawal boleh menjadi merbahaya kepada komuniti kejiranan, rakyat dan negara.

Apakah sebab Malaysia kebanjiran warga pelajar Universiti Swasta bangsa asing khususnya warga Afrika disebabkan oleh perjanjian Selatan-selatan hasil dari Dialog negara Selatan termasuk beberapa negara dari Benua Afrika yang dipelopori oleh Tun Mahathir di mana dengan perjanjian ini visa dan kemasukan warga Afrika sangat mudah keluar masuk negara kita.

Secara umumnya saiz badan yang orang keturunan Afrika besar dan tegap, otot pejal dan kuat, mereka bangsa yang lasak, jika berlaku perkahwinan campur maka generasi akan datang akan mempunyai fizikal yang kuat, tetapi jika pihak berkuasa cuba hendak menangkap mereka dalam operasi, memang amat sukar kerana rata-rata orang kita termasuk pihak berkuasa ini berbadan kecil yang sangat mudah untuk mereka yang ligat ini lolos.

Setiap bangsa akan cuba membawa budaya negara mereka ke negara yang mereka tinggal, dari segi kebersihan, gaya hidup, gejala sosial dan maksiat, kurangnya bermesra dengan penduduk tempatan menjadikan masyarakat kita yang sudah majmuk ini bukan sahaja tidak selesa malah berkecamuk.

jenayah

Kos sara hidup di bandar metropilitan seperti Kuala Lumpur adalah tinggi, apa akan jadi bila mereka tidak cukup wang untuk membiayai kehidupan harian seperti makan minum dan sewa rumah, maka kemelesetan ekonomi sebegini bakal mengundang jenayah, mereka akan lakukan apa sahaja demi kelangsungan hidup.

Tidak semua pelajar asing warga Afrika ini buruk perangai, malah ada juga yang baik dan berbudi bahasa serta menjaga tatasusila malah kadangkala menjadi tenaga profesional dan mendapat pekerjaan yang baik dan turut sama membangunkan negara kita.

Masalah tidak akan selesai selagi wujud kapitalis yang mencari laba melalui bidang pendidikan, mereka berjaya mendapat lesen dari kerajaan untuk mendirikan kolej dan universiti swasta (kadang kala hanya rumah kedai sahaja), olok-olok memberi khidmat dalam menyampaikan ilmu tetapi dalam masa yang sama meraih keuntungan maksima atas kesusahan warga yang datang dari jauh ini untuk mencari ilmu. Sampai masanya yang memberi lesen termasuk Pak Menterinya pun mesti dan patut dipersalahkan atas segala masalah yang menimpa... Anda setuju atau tidak?



Mari Berhujah Dengan Rasional Bukan Sentimen : Dr. Mujahid

mujahid300

PETALING JAYA: Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional PAS Pusat, Datuk Dr. Mujahid Yusof Rawa berkata, Pakatan Rakyat (PR) adalah wadah terbaik setakat ini untuk meneruskan proses kematangan politik yang amat diperlukan oleh rakyat Malaysia demi perubahan kepada politik baru.

Dr. Mujahid mengakui PR mempunyai sedikit masalah kerana ia membawa cita-cita besar yang kadangkala ianya tidak difahami oleh pemimpinnya sendiri tetapi beliau tidak dapat memikirkan apa akan terjadi kepada aspirasi politik baru jika PR berpecah dan terus tiada di persada politik negara ini.

“ PR telah berjaya melahirkan generasi pemimpin yang membuka minda baru kepada makna berpolitik dan rasional berhujah atas advokasi dasar dan bukan sentimen. “ PR telah menyegarkan proses kematangan demokrasi dan memperjuangkan pilihanraya bersih serta membawa wahana media alternatif kepada satu tahap membungkah apa yang selama ini dianggap taboo,” katanya di dalam laman Faceboknya.

merentas kaum

Tegasnya lagi, politik Malaysia tidak pernah menyaksikan berlakunya satu peralihan paradigma politik yang besar melainkan dengan PR apabila politik merentas kaum diterjemahkan dalam peti-peti undi. “Pengundi tidak lagi memilih dan mengenal calon atas jalur perkauman tetapi atas perkongsian manifesto yang hebat.

“Tembok perkauman berjaya diruntuhkan dengan semua kaum melihat kepentingan negara dan masa depannya lebih utama dari politik rasuah dan rasis yang menjadi barah pada negara,” jelasnya. Katanya lagi, beliau menyeru agar seluruh kepimpinan PR menjaga amanah yang diberikan oleh rakyat ini dengan terus membela rakyat dan bukannya bercakaran antara satu sama lain.

Nota : Dr Mujahid anak kepada Almarhum TG Yusuf Rawa Mursyidul Am Pas yang pertama adalah antara pemimpin muda yang sangat sesuai memimpin generasi masa depan, terbukti melalui lujnah perpaduan nasoinal yang berjaya meraih kepercayaan yang bukan Islam dan berjaya memberi gambaran baik terhadap Pas dan dengan kerekternya berjaya merapatkan jurang berbeza agama dan ras kepada cintakan keindahan Islam bukan menakut-nakutkan.

Friday, August 1, 2014

Himpunan Selamatkan kanak-kanak GAZA

Viva Palestina Malaysia

AQSA SYARIF MESIR

Kuala Lumpur: Viva Palestina Msia (VPM) bersama Aqsa Syarif berhasrat menghimpunkan lebih 10,000 orang pada himpunan soladiriti Palestin esok di Dataran Merdeka bermula jam 3 hingga 5 petang.

Usaha itu bagi menunjukkan bantahan terhadap kekejaman tentera Israel menyerang penduduk Palestin yang tidak berdosa sejak bulan lalu.

Dalam kenyataan semalam, VPM berkata, himpunan aman bertemakan ‘Selamatkan kanak-kanak Gaza’ itu adalah platform bagi menyatakan kemarahan terhadap pihak Zionis iaitu tentera Israel yang sehingga kini menyerang rakyat Palestin.

Himpunan Selamatkan Kanak-kanak Gaza
2 Ogos 2014 Sabtu
3.00 - 5.00 petang
Dataran Merdeka
Permit PDRM Diperolehi

Ayuh bersatu demi Palestin

Amalan Yang Berpanjangan Bagi Allahyarham Imam



SHAH ALAM: “Saya akan menunaikan hasrat terakhir arwah suami saya. Dia mahu saya meneruskan hajatnya yang tidak kesampaian untuk mencetak naskah Mushaf Tartil untuk diwakafkan kepada sekolah pondok, rumah anak yatim dan masjid serta surau,” kata balu Imam Besar Masjid Negeri, Allahyarham Ahmad Mustafa Al- Muqri. Nurazira Ahmad Bashir, 35, ibu kepada lima orang anak ketika ditemui pemberita begitu cekal menghadapi dugaan yang menimpa.

Bagaimanapun, untuk berkongsi kisah keluarganya, beliau menganggap ia perlu dirahsiakan kerana tidak mampu untuk meneruskan perbualan kerana masih lagi bersedih. Dalam kejadian 9 Jun lalu, Allahyarham Ahmad Mustafa menghembuskan nafas terakhir pada usia 39 tahun di Institut Jantung Negara akibat komplikasi jantung selepas enam hari dimasukkan ke institut itu.

Beliau dilantik menjadi Imam Besar Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah sejak 2008 dan banyak pembaharuan dilakukan termasuk program mengimarahkan masjid. Menceritakan hajat suaminya itu, beliau yang lebih disenangi dengan panggilan Kak Zira berkata, sebelum Allahyarham meninggal dunia, Ahmad Mustafa sangat sibuk dengan naskah Mushaf Tartil dan rakaman cakera padat, bacaan doa, tahlil serta yassin. “Apabila saya melihat tajuk VCD, ‘hadiah buat yang tersayang’ benar-benar menyentuh hati saya.

Mushaf Tartil

Ia seakan seperti tahu beliau akan pergi meninggalkan kami. “Sebelum Allahyarham pergi, selain meminta saya menjaga anak dengan baik, itu adalah perkara yang keluar daripada mulutnya untuk saya meneruskan niat dalam mencetak semula naskah Mushaf Tartil. “Manakala, VCD itu juga saya mungkin boleh menjualnya semula sebagai pendapatan untuk menyara keluarga,” katanya.

Selain itu, Nurazira berkata, ketika Allahyarham masih hidup, beliau sangat mementingkan solat jemaah bersama keluarga. “Menjaga solat lima waktu, itu juga adalah antara pesanan terakhir arwah. Semasa hayatnya, beliau sangat menitik beratkan solat,” katanya.

Beliau berkata, Ahmad Mustafa juga seorang bapa yang sangat penyayang dan lemah lembut dengan semua anaknya. “Apabila beliau pulang dari masjid atau sebarang tempat, perkara pertama selepas menjejakkan kaki ke dalam rumah adalah bertanya di mana anaknya. Itu yang menjadikan beliau sangat rapat dengan mereka,” katanya.

Mengakhiri perbualan, Nurazira memberitahu, beliau bersyukur kerana semua anaknya begitu tabah dengan pemergiannya walid mereka itu. “Alhamdulillah, anak saya boleh menerimanya,” katanya. Selangor Kini