Trafik

Tuesday, February 4, 2014

Lakonan Teresa Kok Sempena Tahun Baru Cina Mendapat Perhatian

Polis menerima lebih 40 laporan berhubung isu klip video berbaur sindiran yang didakwa melibatkan Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
  
Beliau berkata siasatan terperinci video sempena Tahun Baharu Cina yang tersebar luas dalam Youtube sejak Isnin lepas itu dilakukan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM).
  
"Ini adalah bidangkuasa SKMM, jika hasil siasatan itu mendapati ada isu melibatkan Akta Hasutan, tindakan mahkamah akan diambil sebaik sahaja siasatan selesai," katanya kepada pemberita selepas menyaksikan perlawanan bolasepak PBAPP FC menentang PDRM di Stadium Bandaraya, di George Town malam tadi.

Beliau meminta masyarakat, tanpa mengira fahaman politik, tidak memainkan isu melibatkan sensitiviti agama sehingga menjejaskan keharmonian rakyat pelbagai kaum di negara ini.
  
Dalam video klip berdurasi hampir 12 minit itu, Kok dikatakan 'berlakon' sebagai pengacara yang menemuramah tiga tetamu mengenai Feng Shui pada Tahun Baru Cina tahun ini dan tetamu undangannya pula mengeluarkan kenyataan menyindir dalam beberapa perkara, antaranya ialah sistem pendidikan negara dan isu keganasan di Sabah.

Nota : Promosi percuma kepada Teresa Kok. Sindiran atau jenaka satira itu biasa dalam politik supaya rakyat mudah faham tetapi adakalanya menyinggung kerana ia umpama bidalan "Siapa makan cili akan terasa pedasnya"

Kajang Bukan Nak Alih Isu : Prof. Redzuan

Keputusan Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding dalam pilihan raya kecil Kajang dilihat bukan bertujuan mengalih perhatian terhadap rayuan kes liwat, kata ahli akademik.

Pengarah Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (Umcedel) Prof Mohammad Redzuan Othman (kiri) berpendapat, Anwar sudah mangli dengan kes mahkamah kerana menghadapinya sejak 1998 lagi.

“Sejak 1998, Anwar sudah sering keluar masuk mahkamah dan saya tidak fikir langkah bertanding di Kalang untuk mengalih perhatian daripada rayuan pasukan pendakwaan dalam kes pembebasannya dari Liwat II kerana beliau sudah sering keluar masuk mahkamah dan malah pernah dipenjara.

“Hakikatnya, orang ramai juga sedar tentang kes berprofil tinggi seperti Zon Bebas Pelabuhan Klang dan lain-lain yang dilihat sebagai kegagalan pendakwaan dan bagaimana kerajaan menguruskannya berbanding kes Anwar,” katanya kepada Malaysiakini.

[Baca berita penuh]

Keistimewaan Nasi Lemak tercemar kerana dihidang Naked : Chef Wan

Bagi rakyat Malaysia, nasi lemak begitu istimewa.

Oleh kerana itu, langkah seorang selebriti rancangan masakan memuat naik nasi lemak 'telanjang' Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) mendapat perhatian besar.

Chef Wan atau nama penuhnya Redzuawan Ismail pada 29 Januari lalu yang mengambil penerbangan kelas ekonomi ke Bangkok kesal dengan nasi lemak yang dihidangkan padanya.

Beliau memuat naik nasi lemak dengan telur rebus separuh dan sambal, tampa potongan timun, kacang dan ikan bilis seperti kebiasaan, ke laman perkongsian gambar Instagram.

Beliau juga menulis, penerbangan negara seperti tidak mengambil peduli terhadap sarapan rakyat Malaysia yang diagung-agungkan ke seluruh dunia.

“Untuk pamerkan ini dalam penerbangan antarabangsa tanpa timun, kacang dan ikan bilis membuatkan sarapan rakyat Malaysia ini nampak sungguh miskin,” katanya.

Status itu kemudian digemari lebih seribu pembaca di Instagram.

MAS: Terima kasih Chef Wan

Sementara itu, Astro Awani melaporkan, dalam kenyataannya, MAS berkata akan terus mempertingkat mutu makanan mereka.

"Malaysia Airlines ingin berterima kasih kepada Chef Wan atas komen beliau tentang nasi lemak yang dihidangkan dalam kelas ekonomi dalam penerbangan ke Bangkok.

"Kami menghargai segala maklum balas dan akan mengambil tindakan segera untuk mempertingkatkan mutu makanan di dalam penerbangan kami," MAS dilapor sebagai berkata.

Malaysiakini sedang cuba mendapatkan reaksi MAS berhubung perkara itu.

Insiden JDT VS T-Team mendukacitakan media dan peminat bolasepak

Seorang petugas media yang merakamkan insiden pergaduhan pegawai pasukan bola sepak Johor Darul Takzim (JDT) dan T-Team di Stadium Tan Sri Hassan Yunos di Larkin Johor malam semalam, diugut sekiranya beliau tidak menghentikan rakamannya.

Astro Arena malam semalam menyiarkan satu video yang mana seorang lelaki menjerit: “Pergi belakang! Pergi belakang! Kalau tak nak kamera pecah pergi belakang!".

Klip video berdurasi 65 saat yang dimuatnaikkan oleh pengguna maya di laman Facebook Media Soccer News menunjukkan ugutan itu dihamburkan selepas kamera menggerakkan lensa ke arah pergaduhan yang hanya berlaku beberapa saat.

Sebelum pergaduhan tercetus, kamera menunjukkan seorang lelaki berjambang berlari ke kiri dan keluar daripada bingkai lensa kamera.

Kamera itu kemudiannya turut menggerakkan ke kiri bagi merakam kekecohan dan pergaduhan itu tetapi tidak jelas siapa yang mengasari siapa.

Tiba-tiba kemudiannya lensa kamera bergerak ke kanan menunjukkan lelaki berjambang itu beredar dengan dikelilingi beberapa lelaki lain.

[Baca berita penuh]

Bukan Saya, Tiada Pecat Cuma Tak Sambung Kontrak oleh Pengurusan PKNS Holdings : MB Khalid

Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menafikan penglibatan beliau dalam pemecatan hampir 30 kakitangan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor Holdings Sdn Bhd (PHSB).

Beliau ketika ditemui berkata keputusan itu dilakukan sendiri pihak pengurusan PHSB dan menganggap tiada sebarang pemecatan pekerja berlaku melainkan pemberhentian disebabkan mereka tidak melanjutkan kontrak kakitangan terbabit.
  
Abdul Khalid berkata menerusi nota yang diberikan kepadanya, pihak pengurusan PHSB memaklumkan tindakan itu adalah sebagai langkah untuk menentukan jumlah pekerja yang sesuai dalam organisasi berkenaan memandangkan pekerja yang diberhentikan itu adalah pekerja kontrak.
  
"Itu adalah keputusan pengurusan PHSB dan saya percaya pasti ada sebabnya malah pada saya konsep dipecat boleh jadi tiada tetapi konsep tidak diteruskan pelantikan boleh jadi," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Menghafaz Al-Quran Peringkat negeri Selangor anjuran Jabatan Agama Islam Selangor di Shah ALam malam tadi.
  
PHSB memecat 30 kakitangannya semalam, tanpa sebarang sebab munasabah, dengan notis 24 jam berkuat kuasa semalam.
  
Kesemua kakitangan PHSB, yang juga anak syarikat PKNS, menerima surat pemecatan itu dalam satu pertemuan dengan pihak pengurusan pagi tadi selepas hadir bekerja seperti biasa. Surat itu ditandatangani Pengerusi PHSB, Datin Paduka Norazlina Zakaria.
  
Ketika diminta mengulas sama ada pemberhentian itu ada kaitan dengan isu dalaman yang dihadapi PKNS kini, Abdul Khalid turut menafikan ia disebabkan perkara berkenaan malah kes itu masih lagi dalam proses pendengaran yang dikendalikan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor.

- Bernama

Anwar Mengaku Kalah Dengan Jaguh Badminton?


Walaupun tarikh pilihan raya kecil Kajang belum diketahui, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah mula mengorak langkah mendekati pengundi-pengundi Kajang susulan kekosongan kerusi DUN tersebut yang disandang PKR.

Bertempat di Dewan Orang Ramai, Taman Mesra, Kajang, Anwar berceramah di hadapan ratusan penduduk setempat yang memenuhi dewan itu bagi mendengar penjelasan 'Langkah Kajang' seperti dijanjikannya sebelum ini.

Dalam ceramah ringkas selama kira-kira 20 minit itu, Anwar mengambil kesempatan berjenaka tentang cadangan agar jaguh bulu tangkis negara, Datuk Lee Chong Wei (kiri), dicalonkan BN di Kajang untuk menyaingi popularitinya.

Menurut Anwar, beliau peminat tegar personaliti sukan itu dan sentiasa mendoakan kejayaannya dalam setiap perlawanan, tetapi beliau akan 'mengaku kalah' seandainya perlu berhadapan dengan Chong Wei.

"Kalau dia nak datang sini saya mengaku kalah... (tetapi) mengaku kalah dalam badminton.

"Setiap kali dia bertanding, saya akan doakan kemenangan dia. Saya yakin jika saya bertanding (di Kajang), dia pun akan doakan kejayaan saya," kata Anwar mengundang ketawa sebahagian hadirin.

Khalid pengarah p'raya PKR

Beliau turut mengambil kesempatan merakamkan penghargaannya kepada bekas wakil rakyat, Lee Chin Cheh yang menurutnya mengosongkan kerusinya secara sukarela untuk memberi laluan kepada beliau.

Tegasnya, beliau tidak pernah membincangkan perkara itu dengan Lee (kanan) yang dirujuk sebagai 'CC Lee', sebelum surat peletakan jawatan diserahkan kepada Speaker DUN Selangor, Hannah Yeoh.

"Saya hanya menemui CC Lee dua jam sebelum peletakan jawatan CC Lee, sebelum beliau menemui Hannah Yeoh .

"Tidak (pernah) ada perbincangan antara saya dan dia.

"Dan CC Lee membuat keputusan itu untuk memberi laluan kepada saya," kata Anwar.

Turut hadir pada majlis semalam adalah Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim dan Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali yang duduk sebelah menyebelah di atas pentas dewan.

Selesai majlis berlangsung, pengarah komunikasi PKR, Fahmi Fadzil memaklumkan petugas media yang Khalid akan memikul tanggungjawab sebagai pengarah pilihan raya kecil DUN Kajang dengan dibantu MP Ampang, Zuraida Kamaruddin selaku timbalannya.