Trafik

Monday, September 1, 2014

Putrajaya Menakut-nakutkan Orang Melayu - Musa Hitam

Putrajaya punca Melayu jadi rendah diri, kata Musa Hitam

KL : Bekas Timbalan Perdana Menteri Tun Musa Hitam menyifatkan masyarakat Melayu menjadi hilang keyakinan dan rendah diri akibat daripada pendirian Putrajaya dalam menangani isu. Dalam wawancara dengan The Malaysian Insider, Musa berkata Putrajaya berterusan mengatakan kaum Melayu ketinggalan dan memerlukan bantuan, walhal sudah banyak kejayaan yang berjaya dikecapi.

"Putrajaya beberapa kali mengatakan mereka mensasarkan peningkatan ekuiti Bumiputera dalam ekonomi negara kepada 30% pada 2020. "Tapi, kerajaan tidak mengambil kira syarikat berkaitan kerajaan (GLC) apabila mengatakan pemilikan ekuiti Bumiputera ketika ini adalah 24%. Kita menipu diri sendiri apabila menunding jari kepada kaum Cina.

Tiada yang sempurna," kata Musa. Musa yang juga pengerusi untuk Yayasan Ekonomi Islam Dunia semasa ditemui di pejabatnya berkata isu kaum yang sering dimainkan oleh ahli politik memberi imej tidak baik kepada negara. "Hanya ahli politik bankrap berterusan menggunakan agama dan kaum untuk meraih sokongan.

"Jangan salah anggap pada saya, saya adalah ahli Umno yang setia walaupun saya tidak bercakap seperti ahli Umno yang kebiasaannya," katanya. Bagi Musa, masyarakat Melayu khususnya tidak boleh lagi mengikut cara pemikiran seperti 50 tahun dahulu, sebaliknya perlu pandang ke hadapan.

DEB

"Kita tidak boleh guna lagi cara pemikiran 50 tahun lalu, kita perlu melangkah dan pandang ke depan," katanya. Menurut Musa, Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang diperkenalkan bekas perdana menteri Tun Abdul Razak Hussein bertujuan meningkatkan kehidupan kaum Melayu.

"DEB diperkenalkan untuk tingkatkan masyarakat Melayu di Malaysia dan membuang rasa rendah diri mereka," kata Musa. Beliau menerangkan, sekarang lebih ramai Melayu berjaya yang dilahirkan dan ketika ini berada dalam kumpulan kelas pertengahan dalam Malaysia.

 "Orang Melayu ini boleh berfikir sendiri, secara rasional dan matang," kata Musa. Bagaimanapun, Musa menyifatkan terdapat percanggahan antara generasi sedia ada dengan pemimpin tertentu di Putrajaya kerana mereka berada di dalam dua arus berbeza.

"Sesetengah pemimpin tidak searus dengan mereka yang dilatih," katanya. Beliau memberi contoh semasa sedang bercuti dengan isterinya di Johor dan sedang makan di Plaza Damas. "Sekumpulan 30-40 remaja Melayu singgah di restoran tempat saya dan isteri sedang makan. Ada daripada mereka kenal saya dan menyapa saya.

"Selepas bertukar kata, salah seorang remaja tersebut bertanya kepada saya sama ada boleh berkongsi sesuatu dengan saya. Saya kata boleh, apa salahnya. Kemudian remaja tersebut memberitahu saya tanpa rasa bersalah bahawa mereka anti kerajaan," kata Musa.

Musa kemudian berkata kepada remaja tersebut bukanlah satu kesalahan untuk anti kerajaan, tetapi sebaliknya mencerminkan gambaran sebenar persepsi generasi sekarang terhadap kerajaan sedia ada. "Sebilangan orang mengambil mudah dengan mengatakan pemimpin Melayu adalah faktor terpenting, tapi sebenarnya lebih banyak cabaran lain yang kita hadapi dalam masyarakat yang lebih terbuka sekarang," katanya.

kesal

Musa juga kesal dengan kenyataan pemimpin politik kerana bercakap tanpa melakukan kajian terlebih dahulu. "Saya juga kecewa dan sedih dengan komen dan kenyataan yang dibuat oleh pemimpin sekarang ini. "Mereka seolah-olah tidak membuat kajian dan kerja rumah sebelum bercakap sesuatu. "Malah kebanyakan mereka bercakap dahulu dan kemudian bila tersalah, baru tersedar sudah terlambat untuk menarik kenyataan tersebut," kataya.

Lebih memburukkan keadaan adalah apabila pentadbiran sedia ada tidak mampu menangani isu sensitif seperti agama. "Masyarakat Melayu seolah-olah terkeliru tentang agama, bukan Melayu pula kebingungan dengan apa yang berlaku dalam kepimpinan di Putrajaya," katanya. Musa merujuk kepada tuntutan oleh penganut Kristian dalam isu kalimah 'Allah', kemelut yang berpanjangan hinggalah ia dibawa ke Mahkamah Persekutuan tahun ini.

"Apa sahaja hujah yang dibangkitkan, fakta mudah tentang itu ialah keputusannya yang hanya orang Islam di Semenanjung boleh menggunakan perkataan 'Allah'," katanya. Musa terkejut dan tidak menjangkakan isu tersebut diperbesarkan sehingga terpaksa diselesaikan ke mahkamah. "Jika kamu yakin dengan agama kamu, tidak perlu risau jika bukan Melayu menggunakan perkataan 'Allah'," katanya.

Menurut Musa, ketika menjawat jawatan Menteri Pendidikan antara 1978 hingga 1981, beliau didatangi wakil daripada masyarakat Kristian untuk berbincang mengenai penggunaan Bible dalam bahasa Malaysia. "Ketika itu, kerajaan menggalakkan penggunaan bahasa Malaysia oleh semua kaum, termasuk Kristian," katanya.

Musa berkata kebenaran diberikan untuk mengimport Bible berbahasa Malaysia ke dalam negara, tetapi ia mesti mematuhi syarat tertentu. "Syaratnya termasuklah Bible tersebut mestilah untuk kegunaan sendiri, perlu disimpan dalam gereja dan tidak boleh dijual secara terbuka luar dari gereja," katanya. Bagi Musa, keputusan tersebut adalah tepat dan berjaya dikompromi hinggalah ianya diselesaikan secara senyap dan baik.

kontroversi

"Jika mahu semua menggunakan bahasa kebangsaan, tidak wajar membuat sekatan atau menghalang," kataya. Sama juga dalam isu hudud, Musa berkata tiada pendirian tegas disuarakan oleh Putrajaya malahan menunjukkan kegagalan untuk mendapat kesepakatan untuk menangani undang-undang kontroversi tersebut.

"Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata Malaysia tidak bersedia untuk hudud, kemudian Pemuda Umno kata, siapa yang kata mereka menentangnya?" kata Musa. Musa mempertikaikan mengapa semua pihak tidak duduk semeja dan berbincang secara rasional sebelum membuat pendirian yang melulu dan tidak cekap itu. "Lakukan kajian dan rasionalisasikan, beri penjelasan.

Sekarang ini semua orang boleh buat kenyataan tanpa usul selidik," katanya. Melihat situasi yang berlaku dalam negara sekarang, bekas ahli politik berusia 80 tahun tersebut mengakui sedikit tertekan dan kecewa.

"Malaysia berisiko menjadi negara gagal kerana tidak tahu menangani kejayaan yang dikecapi dan selok-belok politik. "Semestinya ada yang positif, orang luar kagum dengan Malaysia dan infrastrukturnya. Mungkin mereka beranggapan rakyat Malaysia gembira dan baik hati," katanya.

Musa juga mengulas kehilangan majoriti dua pertiga dalam dua pilihan raya umum, situasi yang tidak pernah berlaku dalam sejarah pemerintahan negara. "Malaysia perlu belajar untuk menghayati erti demokrasi dan sedia untuk kalah," kata Musa. "Kita berbangga dengan diri sendiri sebagai demokratik dan mengamalkan gaya politik Westminster," katanya.

situasi sukar

Dalam pilihan raya umum 2008 dan 2013, Barisan Nasional buat kali pertamanya berdepan situasi sukar menghadapi pembangkang Pakatan Rakyat yang terdiri daripada PAS, PKR dan DAP. "Demokrasi juga bermakna memahami peranan kritikan dan mampu menerimanya," kata beliau.

Musa berkata kemodenan yang dikecapi ketika ini mengubah segalanya, menyifatkan "demokrasi digital" sudah tiba dan penuh dengan liku-liku, sama ada kepada kerajaan mahupun masyarakat.

"Demokrasi digital sudah tiba di dunia ini, ia tidak dapat dijangka, terbuka, baik dan boleh juga menjadi kejam," katanya. Harapan Musa sempena kemerdekaan ini ialah, Allah akan menyelamatkan negara dan membawa kita ke arah jalan yang lurus. – 31 Ogos, 2014.TMI

Nota : Lagi orang melayu takut, lagi sokong UmnoBn, berbagai ancaman kaum Tionghua direka-reka supaya orang melayu bersatu dan benci dengan kaum yang kononnya menguasai ekonomi. Padahal dari segi politik dan kekuasaan melayu masih juara.

Agong melayu, Sultan orang melayu, PM melayu, MB melayu ramai, parlimen melayu ramai, Panglima ATM melayu, Ketua Polis melayu.

Sudahlah... macam kembali ke zaman pasca merdeka pula... cipta musuh untuk tutup kelemahan, tutup rasuah dan sorok ketirisan.

Ia boleh diumpamakan sang bomoh menakut-nakutkan orang kampung dengan hantu jembalang kononnya, padahal syaitan jembalang itu belaan atau perewangan si bomoh cilaka itu sendiri.


No comments:

Post a Comment